Iktibar agung surah al-Isra’ (4)

- Advertisement -

BERDASARKAN perbincangan dalam kuliah yang lalu, Allah S.W.T menjelaskan dalam ayat ke-9 bahawa Al-Quran merupakan petunjuk kepada manusia dan ia memberi petunjuk kepada jalan yang betul iaitu ajaran agama Islam. Allah S.W.T juga menyebut bahawa orang-orang yang tidak beriman akan disediakan azab yang pedih pada hari akhirat. 

Selain itu, pertukaran siang dan malam yang berlaku merupakan tanda kebesaranNya serta membolehkan manusia untuk mencari nafkah kehidupan pada waktu siang dan berehat pada waktu malam. Kejadian ini juga membantu kita untuk mengetahui bilangan tahun dan hari serta menentukan bulan dan ibadah.

Misalnya di Malaysia yang berada di garisan Khatulistiwa, orang pada zaman dahulu bergantung pada matahari untuk menentukan waktu solat. Waktu Zohor adalah ketika matahari tergelincir. Waktu tengah hari (noon) adalah ketika dipacak tiang secara menegak namun bayang-bayang tidak kelihatan. Jika bayang-bayang kelihatan sikit di sebelah Timur, maka sudah masuk waktu Zohor. Waktu Asar pula adalah ketika bayang-bayang kelihatan melebihi objek asal. 

Waktu Maghrib pula adalah ketika terbenamnya matahari di kaki atau ufuk langit. Selepas hilang warna merah matahari tersebut, ia menandakan sudah masuk waktu Isyak. Sesetengah kitab menyebut bahawa antara Maghrib dan Isyak adalah waktu yang amat pendek. 

Waktu Subuh adalah ketika terbit fajar. Pada zaman dahulu ketika tiada lampu, waktu Subuh ditentukan dengan melihat benang. Jika kita sudah dapat melihat warna benang itu, maka tamatlah waktu Imsak dan waktu Subuh sudah masuk. Maka, ketika itu sudah tidak boleh makan jika berpuasa. Ada sahabat yang mengikat benang di jendela rumah. Apabila bangun untuk bersahur, dia memerhati benang tersebut. Menurutnya susah kerana benang itu halus. 

Lalu, dia pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad S.A.W dan mengadu akan susahnya untuk menentukan waktu Subuh. Rasulullah S.A.W memberitahunya bahawa waktu Subuh ditentukan dengan melihat terbitnya fajar. Cara lain adalah dengan kita berjalan di luar rumah, jika kelihatan sedikit sahaja bayang-bayang, maka masuklah waktu Subuh. Oleh sebab itu, solat Subuh juga dikenali sebagai solat Fajar. Jika fajar sudah meninggi dan terbit matahari, maka habislah waktu Subuh. 

Menurut mazhab Hanafi, waktu Subuh adalah waktu yang panjang. Jika kita mengerjakan solat di masjid yang mengamalkan mazhab Hanafi, setelah selesai solat dan keluar dari masjid, kita akan mendapati di luarnya sudah cerah. Barangkali kita akan berasa ragu-ragu sama ada solat kita tadi sah atau tidak. Ia terjadi sedemikian kerana waktu Subuh di sana lewat, begitu juga dengan waktu Asar. Perbezaan masa bagi waktu Asar di sana dengan di Malaysia adalah lebih kurang satu jam.

Inilah hikmahnya Allah menjadikan pertukaran siang dan malam. Dalam Islam, kita dianjurkan untuk bekerja pada waktu siang dan berehat atau beribadah pada waktu malam. Namun, sesetengah daripada kita tidur pada siang hari dan berjaga pada waktu malam:

- Advertisement -

وَكُلَّ إِنسَٰنٍ أَلْزَمْنَٰهُ طَٰٓئِرَهُۥ فِى عُنُقِهِۦ وَنُخْرِجُ لَهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ كِتَٰبًا يَلْقَىٰهُ مَنشُورًا

“Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk ditatapnya).”

(Al-Israk: 13)

Pada hari kiamat, kita dan amal perbuatan kita ibarat loket yang digantung di leher kita. Semasa kita menghadap Allah S.W.T kelak, segala catitan amal baik mahupun buruk tergantung di leher kita yang menyebabkan kita tidak dapat melarikan diri daripadanya. Umpama orang yang ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara mempunyai nombor siri dan fail. Itulah gambaran yang Allah S.W.T tunjukkan kepada kita seolah-olah kita memakai kalung di leher dan segala suratan amalan kita sama ada baik atau buruk, secara sembunyi atau terbuka, di belakang atau hadapan manusia lain akan dibentangkan di hadapan kita kelak. 

Terdapat dua malaikat yang mencatit dan menghitung segala amalan kita iaitu Raqib dan Atid. Perkataan ‘Raqib’ dan ‘Atid’ bukan merujuk kepada nama kedua-dua malaikat itu tetapi merujuk kepada tugasnya. Begitu juga dengan ‘buah Khuldi’ yang mana ia bukan nama sebenar bagi buah tersebut. Ia tidak disebut dengan nama yang jelas dalam Al-Quran, cuma godaan Iblis mengatakan buah tersebutlah yang akan menyebabkan Nabi Adam A.S. dapat kekal di dalam syurga sehingga akhirnya Baginda makan buah tersebut.

Malaikat ibarat SB (Special Branch) kepada Allah S.W.T. Sama juga seperti sesiapa yang menjadi pemimpin politik atau wakil rakyat, masing-masing akan mempunyai SB yang menjaganya dan menyimpan laporan mengenai segala pergerakannya. Malaikat mengikuti kita di mana sahaja dan pada setiap masa. Namun, SB ada kalanya tidak mengikuti kita pada setiap masa, contohnya ketika kita berada di dalam rumah.

Segala amal perbuatan sama ada baik atau buruk akan dicatit. Oleh itu, kita digalakkan untuk beristighfar sebanyak yang boleh supaya keburukan kita tidak menjadi bebanan kepada kita pada hari akhirat kelak. Mustahil juga sekiranya kita sebagai manusia biasa ingin terlepas daripada dosa kecuali Nabi dan Rasul yang sifatnya maksum. Kita sering terdedah kepada dosa dan maksiat yang masing-masing ada lebih dan kurangnya.

Pendirian orang alim adalah jauh berbeza dengan orang jahil. Bagi orang alim, menjadi satu kesalahan jika lambat mengerjakan solat atau tidak berpuasa sunat. Bagi orang jahil pula, lambat mengerjakan solat adalah tidak menjadi masalah, yang masalahnya adalah tidak mengerjakan solat langsung atau puasa wajib pun kita abaikan.

Pentingnya untuk kita beristighfar. Istighfar merupakan salah satu cara untuk membersihkan dosa-dosa kecil. Setelah selesai mengerjakan solat juga, kita digalakkan untuk beristighfar. Ada beberapa riwayat yang menjelaskan pelbagai bacaan istighfar. Nak membaca mana-mana pun boleh belaka. Bacaan istighfar ini boleh membantu kita untuk diampunkan dosa walaupun dosa kita sebanyak buih di lautan. 

Menurut ulamak, dosa-dosa kecil boleh dihapuskan melalui istighfar tetapi dosa-dosa besar seperti mencuri, merompak, berzina, berjudi dan membunuh orang hanya dapat dihapuskan melalui taubat. Barangkali ada ketika kita lupa yang kita pernah bercakap sesuatu yang buruk, melihat perkara yang tidak baik atau mendengar perkara yang tidak elok, tetapi apabila kita beristighfar sebanyak tiga kali selepas solat, insya-Allah dosa kita antara dua solat akan dibersihkan. 

Nabi Muhammad S.A.W sendiri selalu beristighfar setiap kali selepas mengerjakan solat sebanyak tiga kali [1]. Istighfar ini adalah untuk diri kita sendiri. Sesibuk mana pun kita biarlah sempat untuk beristighfar walaupun sekali setelah selesai mengerjakan solat.

Selain itu, cara untuk membersihkan diri daripada dosa adalah dengan mengambil wuduk. Rasulullah S.A.W pernah menyebut kepada Sahabat mengenai keadaan orang yang di hadapan rumahnya terdapat sungai dan dia mandi lima kali sehari, adakah suci tubuhnya atau tidak? Sahabat menjawab tubuhnya menjadi suci. Baginda S.A.W memberitahu bahawa begitu juga dengan wuduk [2].

Wuduk boleh membersihkan dosa-dosa yang dibuat oleh tangan, mata dan anggota-anggota lain. Kadang-kadang, kita tidak mengumpat tetapi telinga kita mendengar orang lain mengumpat. Jadi, wuduk boleh membersihkan perbuatan-perbuatan buruk yang dilakukan oleh anggota badan kita. 

Sesetengah ulamak menggalakkan kita untuk sentiasa memperbaharui wuduk walaupun ada orang yang wuduknya masih sah sehingga kelima-lima waktu solat. Namun, yang lebih baik adalah kita sentiasa memperbaharui wuduk kerana ia boleh membersihkan dosa-dosa yang kecil. Ada Sahabat R.A yang bernama Bilal bin Rabah R.A, setiap kali selepas dia mengambil wuduk, dia akan mengerjakan solat sunat dua rakaat. Inilah amalan yang dilakukan oleh Bilal sehingga Rasulullah S.A.W mendengar bunyi seliparnya di dalam syurga [3]. Mashaa-Allah hebatnya Bilal!

Jauh beza dengan kita. Kita ada yang seliparnya tak berbunyi pun di masjid. Masjid pun tidak pernah melihat selipar kita. Adapun ketika solat Jumaat, ada yang sanggup pergi ke masjid berkaki ayam sebab ketika balik nanti nak mengambil selipar orang lain. Dia berbuat sedemikian selepas mendengar khutbah Jumaat, imam ada berkata bahawa tinggallah yang buruk dan ambillah yang baik. Oleh sebab itu, dia mengambil selipar yang cantik dan membawanya pulang. 

Membaca Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar selepas mengerjakan solat lima waktu masing-masing sebanyak 33 kali dan Laa ilaha illallah sebanyak satu [4] atau seratus kali [5] juga boleh membersihkan dosa. Begitu juga dengan solat Jumaat, Rasulullah S.A.W berkata bahawa dengan melakukan solat jumaat akan membersihkan dosa kita antara dua Jumaat [6].

Bacaan ‘Subhanallahi Wabihamdihi, Subhanallahil ‘Adzim’ digalakkan juga kepada kita untuk membacanya pada setiap pagi. Inilah dua kalimah yang ringan untuk disebut tetapi berat di timbangan mizan [7]. Maknanya, besar pahala yang bakal diperoleh jika kita membacanya dan kita akan dikasihi oleh Allah Yang Maha Pengasih. 

Inilah antara amalan-amalan yang boleh kita lakukan untuk membersihkan diri kita daripada dosa kerana kita mempunyai banyak dosa. Ulamak menyebut bahawa jika dosa kecil sentiasa dilakukan dan tidak dibersihkan, lama-lama ia akan menjadi dosa besar ibarat pepatah Melayu yang berbunyi; ‘Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.’ Oleh itu, kita jangan memandang rendah terhadap dosa walaupun sedikit: 

ٱقْرَأْ كِتَٰبَكَ كَفَىٰ بِنَفْسِكَ ٱلْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًا

“(Lalu Kami perintahkan kepadanya): “Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)”.”

(Al-Israk: 14)

Pada hari kiamat, Allah S.W.T. akan menggantung suratan amal di leher manusia masing-masing dan apabila kita menghadapNya, kita diminta untuk membaca segala amal sama ada baik atau buruk. Sesetengah daripada kita tidak menyedari akan perbuatan buruk yang telah kita lakukan. Kita mengira bahawa kita sudah berbuat kebaikan seperti solat, sedekah dan lain-lain. Hakikatnya, solat kita itu mungkin kerana riak, ujub dan takabbur. Maka, ia menjadi sia-sia.

Kita juga mungkin pernah berbuat kebaikan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Contoh, kita mengerjakan solat sunat selepas solat fardhu Asar demi nak menunjuk-nunjuk kepada mertua dan mertua kita pula ialah seorang imam. 

Pernah juga berlaku semasa musim pilihan raya, ada yang mengerjakan solat Asar banyak kali. Pergi ke beberapa buah masjid atau musolla dan ada yang singgah di rumah orang berpura-pura untuk tumpang solat. Tindakan menunjuk-nunjuk ini boleh menyebabkan amalan kita menjadi sia-sia. Walaupun solat itu sah dari segi cukup syarat dan rukun, tetapi tiada faedah. Begitulah kesannya jika amalan yang kita lakukan bukan kerana ikhlas lillahi taala

Allah S.W.T membentangkan amalan kita di hadapan kita. Dia memberitahu mengenai setiap amalan yang kita laksanakan kerana manusia dan Dia menyuruh kita untuk mencari si fulan bin si fulan [8] kerana kita solat, sedekah, korban dan sebagainya kerana manusia tersebut dan bukan keranaNya. 

Ada satu kisah diceritakan bahawa seorang raja menyuruh askarnya membina sebuah masjid yang paling cantik dan besar serta menamakan masjid itu dengan namanya. Setelah hampir siap masjid dibina, raja itu bermimpi pada tiga malam berturut-turut dan dalam mimpinya datang satu lembaga besar menjerkahnya. Lembaga itu menyuruh raja menamakan masjid itu dengan nama seorang wanita yang langsung tidak dikenalinya. Raja itu terkejut kerana dia sudah berhabis duit tetapi disuruh untuk meletakkan nama orang lain. Lalu, raja meminta askarnya mencari siapakah wanita yang disebut oleh lembaga itu. Akhirnya, wanita itu dijumpai yang mana wanita itu sudah pun berusia yang tinggal di rumah buruk berdekatan dengan masjid. 

Raja bertanya kepada wanita itu akan sebab dan apa yang telah dia lakukan sehingga namanya yang perlu diletakkan. Wanita itu menjawab soalan raja bahawa dia tidak berbuat apa-apa kerana dia ialah seorang wanita yang miskin dan tidak mampu untuk memberikan sesuatu seperti batu-bata, simen dan sebagainya untuk pembinaan masjid.

Kehairanan raja berakhir setelah mengetahui bahawa rupa-rupanya wanita tua itu sentiasa mengirim air minuman sejuk kepada pekerja-pekerja yang membina masjid sehingga masjid itu siap dibina. Ia kerana wanita itu tidak mempunyai wang mahupun tenaga yang cukup untuk disumbangkan. Raja termenung lalu memberitahu bahawa perbuatan wanita itu adalah ikhlas. Sedangkan raja yang mahu meletakkan namanya adalah kerana ingin menjadi raja tersohor dan selalu disebut-sebut oleh orang lain. Akhirnya, masjid itu dinamakan dengan nama wanita tersebut. 

Justeru, pentingnya ikhlas walaupun kecil di mata kita namun pahalanya besar di sisi Allah S.W.T. Sedekahlah walaupun sedikit bukan tunggu kaya baru nak bersedekah. Memberi setakat yang kita mampu. Ketika solat Jumaat, bersedekahlah walaupun RM1. Jika tidak mampu, 50 sen pun boleh. Jumlah tiada makna kerana yang pentingnya adalah ikhlas. 

Begitu juga dengan ibadah korban, Allah S.W.T menyebut dalam Surah Al-Haj bahawa darah atau daging yang disembelih tidak sampai kepadaNya kerana kita memperolehnya untuk menjamu, makan atau membahagikan kepada orang lain. Yang sampai kepada Allah S.W.T adalah taqwa dalam hati kita, ikhlas kepadaNya serta untuk mendapat pahala dan redhaNya. 

Bukannya kerana ingin tersohor. Beritahu pula kepada orang lain yang kita buat ibadah korban yang berharga RM10,000 sehingga satu kampung boleh makannya dan kemudian berita itu tersebar di dalam Facebook. Perbuatan ini tidak menunjukkan bahawa kita ikhlas. Duit habis, lembu habis tetapi kita tidak mendapat pahala. Jadi, jika kita hanya mampu melaksanakan ibadah korban dengan harga yang tidak seberapa, usahlah bersedih hati:

مَّنِ ٱهْتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهْتَدِى لِنَفْسِهِۦ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا

“Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).”

(Al-Israk: 15)

Pada hari akhirat nanti, kita akan menanggung perbuatan kita sendiri. Jika kita berbuat hal yang baik, kita akan menerima kebaikan dan begitu juga sebaliknya. Tiada seorang pun yang menanggung perbuatan orang lain. Contoh, seorang anak yang jahat tidak akan memberi kesan terhadap bapanya melainkan jika bapanya sendiri yang mengajar anaknya untuk mencuri. Jadi, hukuman akan dikenakan terhadap bapa bukan kerana perbuatan mencuri anaknya tetapi perbuatan bapanya sendiri yang mengajar. 

Tetapi, jika seorang bapa dah melarang dan menghantar anaknya ke sekolah agama, namun anaknya tetap bermasalah dan terlibat dalam hal yang tidak baik, maka bapanya tidak akan menanggung akibatnya. Kita sendiri yang akan dipertanggungjawabkan atas perbuatan diri masing-masing. 

Kita juga tidak boleh bergantung dengan orang lain. Walaupun bapa kita ialah seorang yang alim, tok guru, orang soleh atau wali, kita tidak boleh bergantung dengannya. Bapa kita memang soleh tetapi kita sendiri tidak mengerjakan solat, puasa dan sebagainya, maka tiada faedahnya. Seorang bapa tidak dapat menolong anaknya walaupun merayu-rayu di hadapan Allah S.W.T. Contoh lain, seorang bapa yang menghantar anaknya ke tahfiz dengan harapan agar anaknya dapat menolongnya daripada azab api neraka. Seorang ibu pula menghantar anaknya ke tadika Islam tetapi dia sendiri belum menutup aurat dengan sempurna. Setiap individu perlu berubah untuk dirinya sendiri, berubahlah sedikit demi sedikit. Tiada orang yang mampu berubah dengan segera kerana ianya memerlukan masa tetapi berazamlah untuk mengubah diri kita ke arah yang lebih baik.

Kisah Nabi Nuh A.S. amat jelas untuk kita hayati bersama. Terdapat salah seorang anaknya yang ingkar dan tidak mahu menaiki bahtera. Dia tetap berlari menaiki bukit dan mengira bahawa bukit boleh menyelamatkannya kerana dalam fikirannya, tiada banjir yang tingginya sehingga menenggelamkan bukit. Nabi Nuh berkata bahawa ketika itu tiada satu pun yang akan selamat daripada ketentuanNya kecuali orang yang Dia sayangi. 

Sambil Nabi Nuh memujuk anaknya supaya bersamanya dalam bahtera, datang ombak besar lalu menghilangkan anaknya. Lalu, Nabi Nuh berdoa dan mengadu dengan Allah S.W.T bahawa itu ialah anaknya. Allah S.W.T menjawab bahawa dia bukan anaknya dari segi akidah kerana dia melakukan amal yang tidak baik iaitu melawan dan mengingkari perintah ayahnya sendiri serta tidak mengikuti agama yang dibawa oleh ayahnya. Oleh itu, hubungan kekeluargaan dalam agama adalah berdasarkan akidah. 

Begitu juga pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, walaupun ada ahli keluarga yang sedarah dan sedaging, dia tetap dikira bukan adik-beradik kerana dia bukan-Islam. Oleh sebab itu, berlaku pertempuran antara adik-beradik dan juga bapa sendiri di dalam Perang Badar. Pentingnya penjagaan akidah supaya tidak rosak. 

Ada antara kita yang tersohor kerana Melayu, padahal Melayu menjadi mahal adalah kerana berpegang dengan agama Islam. Kita salah memetik kata-kata yang diungkapkan oleh Laksamana Hang Tuah kerana barangkali tidak membaca sehingga habis. Kata-katanya bukan sekadar ‘Tak akan Melayu hilang di dunia’ tetapi ada sambungan lagi selepasnya iaitu ‘Tak akan Melayu hilang di dunia selagi Melayu berpegang kepada agama’. Sehingga ada yang memperjuangkan Melayu tetapi solat entah ke mana kerana atas dasar Melayu sahaja. 

Hakikatnya, Melayu sebenarnya ada kaitan rapat dengan Islam. Dalam Perlembagaan Malaysia, disebut takrif kepada Melayu ialah seorang yang beragama Islam dan secara lazimnya mengamalkan adat istiadat Melayu dan bercakap dalam Bahasa Melayu, bukan disebabkan oleh keturunan. Inilah yang diperjuangkan oleh Profesor Burhanuddin Al-Helmi suatu ketika dahulu bahawa orang Melayu ialah orang yang berpegang teguh pada agama Islam. Melayu bukan hanya di Semenanjung tetapi di seluruh Nusantara termasuk Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand selagimana beragama Islam. Dalam pantunnya juga ada disebut, ‘Kalau roboh Kota Melaka, papan di Jawa saya dirikan.’ Yang bermaksud jika Kota Melaka jatuh, akan dibina kekuatan di Jawa. Inilah konsep Melayu yang diperjuangkan iaitu Nasionalisme Melayu yang berasaskan agama Islam. 

Profesor Syed Naquib pernah menyebut bahawa Melayu menjadi hebat apabila menerima Islam. Sebelum menerima Islam, Melayu tidak tersohor kerana tamadun tidak membangun. Dia pernah menyebut dalam kuliahnya, ‘Bangsa Melayu menemukan makna dirinya dengan Islam’ yang bermaksud orang Melayu mengenali diri adalah kerana Islam. Dengan Islam, orang Melayu menjadi ‘orang’ dan bangsa yang hebat, bahasa Melayu menjadi ‘lingua franca’ iaitu bahasa pertuturan di Nusantara, Acheh, Sumatera, Pasai dan Melaka. Inilah kehebatan kerajaan Melayu pada ketika itu. 

Urusan perniagaan contoh jual beli melibatkan Bahasa Melayu. Tulisan yang digunakan dalam dokumen bertulis ialah tulisan Jawi contoh perjanjian dengan penjajah, surat menyurat dan geran tanah kerajaan Melayu seperti Kelantan. Setelah dijajah, tulisan Jawi dihapuskan selama satu generasi dan ditukarkan kepada tulisan rumi. Sehinggakan surah Yasin pun ditulis dalam tulisan rumi. Ulamak mengeluarkan fatwa yang mengharamkan Al-Quran yang ditulis dalam tulisan rumi. Akhirnya, ia diperbetulkan semula semasa pemerintahan Perdana Menteri Malaysia iaitu Abdullah Ahmad Badawi. JQAF (Jawi, Quran, Agama, Fardhu ‘Ain) telah diperkenalkan dan menghidupkan semula tulisan jawi.

Mujurlah dihidupkan semula kerana satu generasi dahulu telah buta tulisan Jawi. Pada hari ini pun, bukan semua boleh menulis Jawi. Jadi, harapan agar semua orang Islam boleh membaca dan menulis Jawi kerana tulisan Jawi ada kaitan dengan Al-Quran. Orang Melayu pada zaman dahulu mencipta huruf Jawi berdasarkan Al-Quran. Bangsa Arab Islam telah mencipta 3 bahasa iaitu Swahili di Afrika, Urdu di India dan Jawi di Tanah Melayu. 

Bangsa Melayu terkenal dengan tamadun ilmu bukan bangunan. Mereka tidak bersungguh untuk membina bangunan. Bangunan pula dibina daripada kayu. Jadi, mereka lebih membina ilmu atau akal sehingga muncul orang-orang hebat yang boleh bercakap mengenai perundangan dan perbincangan falsafah peringkat tinggi seperti pengajian Sifat 20 untuk para ulamak ketika itu melawan pemikiran di Greek. Sifat 20 bukan satu-satunya cara untuk menyampaikan akidah tetapi ia adalah salah satu kaedah. Masalah kita pada hari ini ialah disebabkan kita tidak belajar sejarah, kita menganggap bahawa Sifat 20 adalah wajib dan selain daripada itu tidak benar belaka. 

Nabi Muhammad S.A.W pernah bertanya kepada orang Arab Badwi yang jahil mengenai kewujudan Tuhan. Dia berkata bahawa Tuhan ada di langit. Rasulullah S.A.W bertanya pula mengenai siapakah dirinya? Orang Badwi itu menjawab: Muhammad, Rasulullah S.A.W [9]. Maka, orang Badwi itu sudah menjadi Islam dan cukup sekadar di situ. Tidak perlu lagi bertanya kepadanya mengenai sifat-sifat Allah S.W.T yang lain kerana kita perlu mengambil kira tarafnya. Inilah kaedahnya. Justeru, amat penting untuk kita mengenali sejarah agar kita tahu sebab, punca dan tujuan sesuatu perkara dan kita menjadi lebih terbuka, bertolak ansur dan saling menghormati. 

Pada zaman Nabi Muhammad S.A.W sudah pun berlaku perselisihan. Walaupun zaman Rasulullah S.A.W adalah zaman yang terbaik tetapi tetap berlaku perbezaan pandangan dalam kalangan Sahabat. Ada Sahabat yang tidak bersetuju [10] dengan tindakan Saidina Uthman R.A. yang menghimpunkan Al-Quran menjadi satu supaya ia dibuat sebanyak 7 naskhah. Saidina Uthman telah bertindak sedemikian dengan menggunakan kuasanya sebagai seorang khalifah. 

Apabila kita mempelajari mengenai Al-Quran, kita perlu belajar mengetahui sebab setiap ayat yang diturunkan. Barulah kita boleh merumuskan hukum yang tepat. Oleh sebab itu, bukan mudah sebenarnya untuk mentafsirkan Al-Quran, tidak mencukupi hanya sekadar mengetahui makna dan ilmu-ilmu dalam Bahasa Arab sahaja, tetapi perlu juga mengetahui asbab nuzulAsbab nuzul dapat membantu kita untuk memahami Al-Quran dalam konteks yang sebenar. 

Begitu juga dengan hadis, kita juga perlu mengetahui asbab wurud. Contoh soal menyimpan janggut. Ada antara kita yang mengira menyimpan janggut adalah wajib. Seurat pun wajib disimpan dan haram mencukurnya walaupun seurat. Sedangkan kebanyakan ulamak berpandangan bahawa menyimpan janggut adalah sunat. Selain itu, ada juga yang tidak menganggap ‘thiqah’ (diyakini) terhadap mana-mana ustaz yang tidak meletakkan kain di atas bahu. 

Rujukan: 

[1] Hadis sahih riwayat Imam Muslim dalam kitab Sahihnya (no.hadis 591).

[2] Hadis sahih mutafaqun alaih dalam riwayat Bukhari dan Muslim.

[3] Hadis sahih riwayat Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya (no.hadis 1111).

[4] Hadis sahih riwayat Imam Muslim dalam kitab Sahihnya (no.hadis 1607)

[5] Hadis sahih riwayat Imam Muslim dalam kitab Sahihnya (no.hadis 2691).

[6] Hadis sahih riwayat Imam Muslim dalam kitab Sahihnya (no.hadis 233).

[7] Hadis sahih mutafaqun alaih dalam riwayat Bukhari dan Muslim.

[8] Hadis riwayat Imam al-Nasa’I (no.hadis 3137) mengenai mereka yang mati syahid, mereka yang mengajar Al-Qur’an dan mereka yang bersedekah kerana manusia. 

[9] Sebahagian daripada hadis sahih riwayat Imam Muslim dalam kitab Sahihnya (no.hadis 537).

[10] Sahabat yang dimaksudkan adalah Ibnu Mas’ud, rujuk Al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibnu Kathir.

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 27 Jun 2022 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 30/7/2022

- Advertisement -