Cecair merah mungkin dibuang waktu malam

KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengucapkan terima kasih kepada semua yang prihatin dan tag beliau berhubung kes pencemaran Sungai Chandong, Pulau Indah.

Katanya, aduan tersebut sama seperti yang pernah disiasat pada 13 Jun lalu.

Tambahnya, pencemaran berlaku di hilir kolam tebatan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Jalan Sungai Pinang.

Advertisement

Katanya lagi, tinjauan turut dilakukan di jeti nelayan dan mendapati air masih berwarna merah dan ujian asid menunjukkan bacaan pH 6.44.

Siasatan diteruskan di Jalan Pinang 5/5 dan mendapati kesan aliran cecair merah dalam longkang monsun.

“Lokasi disyaki tempat pembuangan cecair merah dan perbuatan tidak bertanggungjawab ini mungkin dilakukan pada waktu malam,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Sehubungan itu, kata beliau pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan PDRM mengesan pihak tersebut.

Beliau berkata, Ops Gempur telah dijalankan malam tadi di beberapa premis yang telah ditetapkan.

“Terima kasih kepada warga netizen dan pihak JAS Selangor!” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/6/2022