Ada rumah roboh dibawa arus deras

Oleh SARINA ISMAIL

SIK:
Di mana ada bencana di situ ada mereka. Orang kampung pun tahu ‘hero tak didendang’ itu sentiasa bersedia memberi khidmat percuma tanpa mengira masa.

Pada 25 Jun lepas anggota Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia (JAM) Sik turun padang membantu mangsa banjir di beberapa kampung di Sik. Pada kejadian itu ada rumah yang roboh dibawa arus deras.

Pengerusi Khidmat Malaysia Sik Rizuan Md Zain, bantuan yang diberikan melibatkan semua kampung yang terjejas.

Advertisement

Katanya pada malam kejadian pihaknya menyediakan penempatan sementara kepada penduduk Kampung Lintang berikutan keadaan banjir begitu membimbangkan.

“Kita memerlukan lebih ramai tenaga sukarela untuk membantu. Ada rumah yang roboh dan dihanyutkan air deras pada kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya bantuan awal tenaga Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia Sik digerakkan untuk membantu kerja-kerja pembersihan di beberapa kampung terlibat antaranya Kampung Pinang dan Belantik Luar.

Kata beliau selain mencuci selut di rumah mangsa, sukarelawan juga membersihkan kawasan persekitaran yang terkesan akibat air bah tersebut.

Menurut Rizuan, banyak rumah terkesan iaitu di Kampung Lintang sebanyak 11 buah, Kampung Belantik Dalam (25), Kampung Belantik Luar (7), Kampung Kubang (1), Kampung Lubok Tualang (20) dan Kampung Pinang (40).

Oleh itu katanya sukarelawan yang berminat menyertai program anjuran Khidmat Malaysia Sik dan Jabatan Amal boleh menghubunginya di talian 013-449 2287.

Sementara itu Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sik mengagihkan makanan dan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Lintang dan Bukit Berangan.

Adun Belantik, Dato’ Mohd Isa Shafie turut turun padang melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika dihubungi memaklumkan semua mangsa akan menerima sumbangan dari Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) sebanyak RM1,000 setiap keluarga. – HARAKAHDAILY 30/6/2022