Siri ‘serangan’ NGO pembangkang tidak jejas PAS Kelantan

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Kerajaan PAS Kelantan dianggap tidak terjejas dengan siri pendedahan dilakukan Ketua Amanah Kota Bharu Dato’ Husam Musa.

Ketua Penerangan PAS Kelantan Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, rakyat Kelantan sudah lama mengenali pemimpin terbabit dengan tindak tanduknya sejak dahulu lagi.

Katanya, sesiapa pun boleh membuat sebarang kenyataan berkaitan kerajaan Kelantan kerana amalan kebebasan bersuara dalam sistem demokrasi di negara ini.

- Advertisement -

Bagaimanapun kata beliau pihak terbabit perlu berhati-hati kenyataan yang dibuat kerana ia boleh mendatangkan kesan kepada mereka sekiranya ada pihak mengambil tindakan undang-undang.

“PAS Kelantan tidak mempunyai masaalah dengan pelbagai pendedahan termasuk isu bekalan air dan pembalakan oleh NGO yang dikenali sebagai Save Kelantan.

“Orang ramai tahu Pengerusi Save Kelantan seperti tidak mempunyai pendirian tetap kerana sering ‘menyerang’ kerajaan negeri setelah tidak lagi berada dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya di sini.

Sebelum itu beliau merasmikan Klinik, Hospital dan Farmasi Patuh Syariah di Hotel Perdana. Turut hadir Timbalan Mufti Kelantan, Dato’ Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.

Sebelum ini Save Kelantan difahamkan pernah terbabit dengan perhimpunan di hadapan Kota Darulnaim membantah dakwaan aktiviti pembalakan di kawasan tadahan air di Mengkebang, Kuala Krai.

Perhimpunan itu hanya disertai beberapa penyokong Amanah yang berselindung di sebalik Save Kelantan.

Begitu juga perhimpunan membantah tindakan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) meroboh rumah setinggan di Kampung Atas Paloh Jumaat lepas hanya dihadiri beberapa penyokong. – HARAKAHDAILY 29/6/2022

- Advertisement -