PKINK peruntuk RM140,000 usahawan kecil sejak 2020

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) membelanjakan hampir RM140,000 bagi membantu Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) sejak tahun 2020.

Ketua Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab Aziz Yunus berkata, seramai 16 usahawan PMKS dalam pelbagai sektor menerima bantuan dalam bentuk peralatan bagi meningkatan produk.

Katanya bantuan itu untuk membolehkan usawahan terbabit bangkit setelah terjejas akibat pandemik Covid-19.

Advertisement

“Menjadi polisi anak syarikat kerajaan negeri membantu golongan tersebut di bawah program pembangunan usahawan dan usaha terbabit diterjemahkan dengan penubuhan Kala Sentral.

“Kita hanya bantu mereka yang sudah berniaga dan ada potensi untuk berjaya. Bantuan diberi dalam bentuk mesin dan peralatan dan bukannya modal,” katanya selepas merasmikan pembukaan kedai Syafiq’s Cake Confession di Kota Bharu Center Point (KBCP) di sini semalam.

Syafiq’s Cake Confession dimiliki Mohd Syafiq Mohd Hasnan, 31 merupakan salah seorang usahawan yang menerima bantuan PKINK dalam bentuk peralatan membuat kek.

Bekas pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bachok itu pernah berkerja di hotel bertaraf lima bintang, Hotel Marriot Putrajaya dan Hotel Equatorial Melaka.

Pada 2017 beliau menamatkan kerjaya di Hotel Grand Riverview dan selepas itu memulakan perusahaan ‘bakeri’ secara kecil-kecilan di rumahnya di Kampung Kok Pasir, Tumpat. – HARAKAHDAILY 29/6/2022