Pengeluaran ikan di Danau To’ Uban meningkat berkali ganda

- Advertisement -

Oleh NORZANA RAZALY

PASIR MAS:
Dakwaan pembangkang kononnya penternak ikan dalam sangkar di Danau To’ Uban terjejas ekoran projek solar yang dilaksanakan di tasik tersebut ternyata meleset.

Namun, keadaan sebaliknya berlaku apabila 77 peserta Projek Penternakan Ikan Sangkar di lokasi terbabit berpuas hati dengan pengeluaran ikan semakin meningkat.

Menurut mereka pada tahun lepas pengeluaran ikan sebanyak 110 tan metrik berbanding 49 tan metrik tahun sebelumnya.

- Advertisement -

Peningkatan jumlah pengeluaran tersebut membolehkan nelayan terbabit meraih pendapatan RM0.76 juta pada tahun 2021 berbanding RM0.39 juta tahun 2020.

Seorang penternak Mohd Rozailan Nordin, 33, dari Sungai Rasal To’ Uban berkata, pengeluaran ikan yang diternak di sangkar di Danau To’Uban antara 700 hingga 1,000 kilogram sebulan.

“Saya mewakili 77 nelayan merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri yang bersungguh-sungguh membantu kami dengan membekalkan benih, makanan ikan dan peralatan seperti pukat, bubu, unjam dan jala,” katanya.

Menurutnya juga anggota Exco kerajaan negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan pegawai Jabatan Perikanan banyak membantu penternak di Danau To’ Uban.

Baru-baru ini ketika Forum Rakyat Ketua Pemuda Amanah Hazmi Hassan mendakwa penternak ikan di Danau To’ Uban terjejas ekoran projek solar yang dilaksanakan sekarang. – HARAKAHDAILY 29/6/2022

Ikuti pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak.

- Advertisement -