Lebih RM1 juta telah dibelanja untuk projek Wakaf Air

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM1,095,228.98 telah dibelanjakan untuk projek Wakaf Air sehingga 19 Jun lalu di seluruh negara, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, usaha yang dirintis itu adalah untuk membiayai projek perkhidmatan air berskala kecil khususnya terletak di kawasan luar bandar, kawasan penduduk yang tidak mempunyai sistem perpaipan awam,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata, sebanyak 27 projek telah berjaya disiapkan.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menambah, Wakaf Air bukan hanya untuk manfaat orang Islam sahaja bahkan untuk orang bukan Islam juga.

“Bukan hanya di Semenanjung sahaja, bahkan di Sabah dan Sarawak dengan nilai ambang projek dinaikkan kepada RM75,000 setiap satu,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kepada sesiapa yang mempunyai maklumat kawasan penduduk yang memerlukan bantuan seperti pembelian pam air, pemasangan paip, penggalian perigi, penyambungan paip ke rumah, penyediaan tangki simpanan air, penyenggaraan paip dan penyenggaraan tangki septik supaya menghantarkan maklumat lokasi dan maklumat individu yang boleh dihubungi kepada Unit Wakaf Air, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di emel [email protected]

“Terima kasih kepada para pewakaf. Insya-Allah, semoga Allah menerima projek ini dan memberikan ganjaran pahala yang luas,” ujarnya lagi.

Wakaf Air merupakan produk wakaf khas yang diwujudkan di bawah Wakaf Tunai Malaysia Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), kerjasama antara YWM dan KASA.

Pelaksanaan kerjasama itu telah diluluskan oleh Lembaga Pemegang Amanah YWM pada 20 Oktober 2020.

Wakaf Air bertujuan mengumpul dana wakaf bagi membiayai projek-projek perkhidmatan air berskala kecil bernilai di bawah RM50,000.00, antaranya sistem pengepaman sumber air dari perigi, pembelian alat-alat ganti, penyelenggaraan bersifat ‘sekali beri’ (one-off), dana bantuan operasi pencegahan serta pemulihan sistem bekalan air luar bandar; dan penyediaan sumber air alternatif yang melibatkan kos penyelenggaraan yang rendah dan selamat digunakan.

Masyarakat boleh turut sama dalam pelaksanaan Wakaf Air, dengan berwakaf secara tunai melalui Sistem Wakaf Tunai Malaysia.

Masyarakat juga boleh menyumbang secara tunai ke akaun Yayasan Waqaf Malaysia di RHB Islamic Bank melalui nombor akaun 2124-57600-01304.

Kelulusan potongan cukai kepada pewakaf yang berwakaf kepada YWM di bawah Subseksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967 telah tamat pada 31 Disember 2021 dan dalam tindakan penyambungan.

Justeru, semua pewakafan bermula 1 Januari 2022 adalah tidak layak mendapat potongan cukai sehingga dimaklumkan oleh YWM dari semasa ke semasa. – HARAKAHDAILY 29/6/2022

- Advertisement -