Anggota Bomba tingkat kemahiran menyelam

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN |Foto RIZAL TAHIR

TUMPAT:
Seramai 700 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengikuti kursus kemahiran menyelam di air bagi tujuan menyelamat mangsa banjir atau lemas.

Pengarahnya Zainal Madasin berkata, walaupun kebanyakan mereka sudah mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan, namun usaha memperkemaskan kemahiran berkenaan perlu dilakukan.

- Advertisement -

Katanya seramai 700 pegawai dan anggota yang bertugas di 22 Balai Bomba dan Penyelamat di Kelantan mengikuti kursus kemahiran tersebut.

“Semua pegawai dan anggota tidak kira sudah lama berkhidmat atau baharu menyertai JBPM perlu menyertai latihan bagi memudahkan sebarang operasi menyelamat di mana-mana sahaja,” katanya ketika ditemui semasa Kursus Pengukuhan Pemandu Bot JPBM Kelantan di Pulau Ular, Pengkalan Kubor dekat sini semalam.

Zainal juga berkata, biarpun tugas anggota Bomba memadam kebakaran, namun tugas menyelamat mangsa ketika banjir dan lemas juga penting.

Menurutnya juga fenomena atau peralihan monsun tidak menentu sekarang membuat JBPM perlu melakukan persiapan awal.

“Anggota bomba sentiasa bersiap sedia untuk turun ke lapangan bagi tujuan menyelamat bukan hanya ketika musibah kebakaran sahaja,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/6/2022

- Advertisement -