Sukan patuh syariah semakin mendapat tempat

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Penglibatan aktif PAS dalam aktiviti sukan secara tidak langsung mencetus transformasi baru apabila sukan patuh syariah kini semakin mendapat tempat di negara ini.

Elemen patuh syariah bukan perkara rumit diamalkan memandangkan di Kelantan pertandingan bina badan patuh syariah dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas.

Dan terbaharu di Perlis acara Guar Sanji Fun Race Cubcross 2022 yang diadakan Ahad lepas juga mengetengahkan elemen patuh syariah.

- Advertisement -

Adun Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim berkata, ajaran Islam juga boleh diterjemahkan dalam acara sukan lasak seperti dunia permotoran.

“Ajaran Islam meliputi seluruh aspek kehidupan manusia termasuk dalam perkara hiburan, sukan dan sebagainya.

“Namun syaratnya aktiviti itu tidak melanggar batas-batas syariat dan beradab termasuk mengutamakan waktu solat dan berpakaian menutup aurat,” katanya di sini.

Petandingan itu julung kali diadakan dianjurkan bersama Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Guar Sanji dan komuniti Anak Muda Jelempok di Kampung Jelempok Kecil.

Lebih 140 penunggang menyertai pertandingan tersebut yang berlangsung bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.

Mohd Ridzuan juga berkata, aktiviti sukan tersebut secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan penduduk tempatan.

“Sukan permotoran dapat merapatkan hubungan penduduk setempat terutamanya anak-anak muda yang berminat dalam sukan permotoran lasak,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau merakam ucapan tahniah kepada jawatankuasa penganjur, penaja serta dermawan yang terbabit dalam pertandingan terbabit. – HARAKAHDAILY 29/6/2022

- Advertisement -