Rakyat Johor mohon cuti hujung minggu dikekal

Oleh  ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Orang ramai di Johor memohon kerajaan negeri itu agar mengekalkan cuti hujung minggu sedia ada pada hari Jumaat dan Sabtu bertujuan bagi menghormati penghulu segala hari  iaitu Jumaat, selain mempermudahkan urusan rakyat Johor yang majoritinya Muslim untuk menunaikan ibadah solat Jumaat.

Penjawat awam, Basir Zahrom, 39, berkata, cuti pada hari Jumaat dan Sabtu di negeri Johor perlu dikekalkan bagi menghormati penghulu segala hari itu dan orang ramai boleh fokus kepada ibadat solat Jumaat.

Advertisement

Menurutnya yang berasal dari Kota Tinggi, Johor, cuti rehat Jumaat dan Sabtu yang dinikmati warga Johor seperti sekarang ini bukan yang pertama berlaku kerana sebelum tahun 1994 pernah dipraktikkan, justeru ia bukan sesuatu yang asing. 

Basir Zahrom

“Cadangan ini bagi memudahkan golongan lelaki yang beragama Islam menunaikan solat Jumaat dalam keadaan tidak tergesa-gesa.

“Jika diperhatikan sebelum ini orang ramai terkejar-kejar ke masjid untuk solat Jumaat pada waktu rehat yang singkat apabila bekerja. 

“Pada waktu khutbah Jumaat pula sering dijadikan waktu untuk berehat dan tidur, malah selepas selesai solat mereka bergegas meninggalkan masjid sehingga tidak sempat untuk menunggu imam membaca doa dan mengaminkannya,” katanya kepada HarakahDaily.

Sementara itu, eksekutif komunikasi korporat, Fawwaz Najmi Kamaruzaman, 30, dari Bandar Baru Uda, Johor Bahru berharap agar cuti hujung minggu di Johor dikaji lebih mendalam memandangkan ia melibatkan peruntukan masa antara ibu bapa dan anak anak.

Katanya, rata-rata ibu bapa bekerja mulai Isnin hingga Jumaat, manakala anak-anak yang bersekolah bermula dari Ahad hingga Khamis. Berdasarkan kualiti masa bersama keluarga pula, ia tidak mencukupi dan terhad, serta keberangkalian akan menyebabkan berlakunya perselisihan dengan mana-mana program.

Fawwaz Najmi

“Justeru, sebagai ibu bapa yang bekerjaya, pertukaran cuti sewajarnya dikaji  kerana di Johor majoriti pekerja berkerja di sektor swasta berbanding kerajaan,” ujarnya. 

Mengulas lanjut, Fawwaz berkata, dari segi menunaikan ibadah solat, dia pasti mana-mana syarikat telah menetapkan jadual masa yang panjang berbanding hari bekerja biasa. 

Dalam pada itu, kakitangan kerajaan, Harith Mohammad, 35, pula berkata, sewajarnya cuti di Johor dikekalkan seperti sedia ada kerana majoriti rakyat negara Malaysia merupakan penganut Islam dan sebaiknya umat Islam diberikan kebebasan pada hari Jumaat untuk lebih memfokuskan masa terluang kepada hal-hal berkaitan agama Islam.

Menurutnya yang menetap di Batu Pahat, Johor, memandangkan Malaysia merupakan salah sebuah daripada anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), seharusnya umat Islam digalakkan menghormati hari Jumaat dengan melebihkan amalan sunat dan juga sunnah-sunnah yang ditekankan oleh Rasulullah SAW kerana hari Jumaat ialah hari umat Islam bersatu dan doa amat mustajab.

Harith Mohammad

Katanya, banyak kelebihan yang boleh diperoleh oleh mereka yang menyedari atau tidak hakikat dan kebesaran hari Jumaat ini.

“Umum mengetahui, hari Jumaat mempunyai kelebihannya yang tersendiri, iaitu ketua kepada hari-hari lain dan ada amalan tersendiri yang jika dilakukan pada hari ini, maka pahalanya berlipat kali ganda,” katanya lagi. 

Sebelum ini, kerajaan Johor dilaporkan akan mengkaji semula cuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu di negeri iru berikutan banyak keluhan disuarakan rakyatnya.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dilaporkan berkata, beliau maklum mengenai keluhan rakyat mengenai cuti hujung minggu yang berbeza antara pihak kerajaan dan swasta.

Katanya, penyelarasan cuti hujung minggu Johor hebat dibicarakan malah menjadi buah mulut bangsa Johor kerana ramai ibu bapa yang bekerja di sektor swasta hanya dapat meluangkan masa selama satu hari sahaja dengan anak-anak mereka. – HARAKAHDAILY 28/6/2022.