Pemuda Amanah peralat media sosial cari pengaruh politik

KOTA BHARU: Pemuda Amanah bergabung dengan Umno memburukkan kerajaan negeri dengan membuat kenyataan berunsur fitnah dengan mengolah semula kuliah agama disampaikan pemimpin PAS.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed berkata, pemuda Amanah dan Umno seperti tiada modal politik dengan mengeditkan semula kuliah agama Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Katanya, melalui usaha itu mereka berharap anak muda di Kelantan terpengaruh dengan memberi gambaran kerajaan negeri tidak mampu menyediakan peluang pekerjaan.

Advertisement

“Pemimpin muda Amanah sepatutnya menggunakan Forum Rakyat yang diadakan baru-baru ini menjelaskan apa perancangan parti itu untuk membantu anak muda di Kelantan.

“Ketika diberi peluang di pentas forum nampaknya Pemuda Amanah seperti tiada idea, namun di media sosial galak menghodohkan kerajaan Kelantan.

“Kali ini Pemuda Amanah bergabung dengan Pemuda Umno pula membuat ulasan politik di media sosial. Nampaknya Amanah lebih selesa melempar tuduhan di media sosial daripada mengemukakan idea di forum terbuka,” katanya di sini.

Baru-baru ini pemuda Amanah terus menghodohkan kerajaan Kelantan melalui video di Facebook dan Tiktok termasuk mengulangi naratif lama.

Sedangkan ketika Forum Rakyat anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri baru-baru ini Ketua Pemuda Amanah Hazmi Hassan tidak menggunakan peluang membentang perancangan parti itu untuk membantu anak muda di Kelantan.

“Jika pemimpin muda parti itu sememangnya ‘kaki langgar’ pesan saya jangan sampai tersadung kaki sendiri. Berpada-padalah,” ujar Kamal. – HARAKAHDAILY 28/6/2022