Pegawai masjid banteras amalan khurafat

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), takmir dan pegawai masjid perlu memain membanteras fahaman dan amalan khurafat dalam masyarakat.

Menteri Besar Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pegawai masjid mempunyai tanggungjawab dan peranan yang besar dalam kariahnya.

Katanya, tanggungjawab mereka merangkumi segala urusan termasuk menggalakkan dan mengendalikan program-program pengajian dan memantapkan ilmu agama anak kariah.

Advertisement

“Masjid sebagai pusat kecemerlangan dalam pembinaan syahsiah dan ketamadunan ummah,” katanya ketika merasmikan majlis Multaqa Murabbi Ummah (MMU) Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, baru-baru ini.

Menurutnya juga para murabbi juga perlu menjadi benteng mempertahankan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah khususnya di Kedah untuk mengelak masyarakat terjerumus kecelaruan amalan.

Sanusi juga berkata, bermula 2022 guru takmir ditempatkan di beberapa agensi termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Penjara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyampaikan kuliah agama.

Menurutnya juga pelaksanaan itu akan menyemarakkan lagi proses mendidik masyarakat ke arah ‘khaira ummah’.

“Guru takmir perlu mempersiapkan diri dengan ilmu agar kuliah yang disampaikan dapat memaksimumkan kefahaman masyarakat terhadap agama Islam secara komprehensif dan holistik.

“Pastikan penyampaian didasari dengan sumber yang autentik (tulen) dan bukan perkara yang tidak pasti, dongeng atau diperolehi secara ‘hear-say’. 

“Sekarang saban hari ada sahaja berita mengenai kemunculan doktrin, ajaran dan aliran kefahaman baharu yang perlu dipandang serius kerana ia boleh menggugat akidah umat Islam,” tambah beliau.

Sementara itu kata beliau seramai 1,158 pegawai masjid yang terdiri daripada 501 imam, 973 (bilal) dan 927 (siak) dilantik bagi mengemudi pengimarahan masjid di seluruh Kedah.

Katanya, pelantikan itu untuk membantu melahirkan masyarakat bertaqwa dan berintegriti tinggi.

Kata beliau apabila masyarakat berilmu dan mengamalkannya sudah tentu akan mewujudkan suasana masyarakat yang harmonis.

“Ia akan membantu untuk merealisasikan agenda ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ serta ‘Keluarga Malaysia’ dalam usaha menjayakan aspirasi ‘Kedah Negeri Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti’,” kata beliau.

Sanusi juga berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan menyediakan peruntukan bagi melaksana aktiviti dan program di jabatan dan agensi kerajaan.

Menurutnya peruntukan itu sebagai imbuhan kepada pegawai masjid yang menguruskan 578 masjid di seluruh Kelantan.

Manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula memperluaskan Bantuan Selenggara dan Naik Taraf Sekolah Agama.

“Ini menunjukkan keprihatinan JAKIM terhadap KAFA khususnya berkaitan prasarana dan kemudahan di masjid, surau dan dewan orang ramai.

“Bermula 2020, kerajaan negeri meluluskan sejumlah peruntukan Pembangunan Pendidikan Rendah Islam (KAFA dan Tadika Islam) yang disalurkan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah,” ujar beliau.

Beliau juga berkata, sebuah bangunan kelas KAFA dibina di Kulim bagi menggantikan bangunannya lama. Selain itu lima bangunan lagi dinaik taraf dan dibaik pulih di beberapa buah daerah lain.

Kerajaan juga memperkenalkan kaedah bayaran elaun guru KAFA di Kedah melalui ‘payroll’ (i-Sara) bermula tahun 2020. Melalui platform i-Sara bayaran elaun guru KAFA dipercepatkan. – HARAKAHDAILY 28/6/2022