Gadis Mesir mati dikelar sebab tak berhijab?

Naira Ashraf dibunuh kerana berkata tidak kepada lelaki psikotik yang menghendap dirinya melalui Facebook. (FOTO Tellerreport)
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR dan YUSMAN AWANG

Ditohmah sebab tidak berhijab sehingga menyebabkan dirinya terdedah sebagai mangsa yang tersedia untuk dibunuh. Itulah nasib malang berganda yang menimpa gadis muda berusia 21 tahun, Naira Ashraf Abdelkader, pelajar Universiti Mansoura yang mati dibunuh di kampus pengajiannya itu.

Pembunuhan kejam gadis cantik itu telah menggemparkan dunia Arab, sehingga kredibiliti kerajaan Mesir sebagai pelindung kepada keganasan berleluasa terhadap golongan wanita dan kanak-kanak perempuan di negara itu telah dipersoalkan umum.

- Advertisement -

Menurut laporan Arab News dan shethepeople pada Ahad (26 Jun), kontroversi yang melingkari pembunuhan Ashraf dicetuskan oleh campur tangan bekas pengacara TV kontroversi yang juga profesor di Universiti al-Azhar, Mabrouk Attia; badan hak asasi kemanusiaan antarabangsa, Amnesty International yang bangkit lantang bersuara untuk membela kematian mangsa.

Penghendap obsesif

Ashraf merupakan pelajar tahun tiga fakulti sastera universiti berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian akibat leher dan badannya dikelar pada pagi Isnin (20 Jun) lalu di tempat terbuka dengan kehadiran orang ramai bertempat di pintu pagar kampus pengajiannya ketika dia dalam perjalanan menuju ke dewan kuliahnya.

Suspek kejadian yang tular di media sosial melalui rakaman video itu ialah seorang pelajar lelaki tahun tiga fakulti seni di universiti yang sama dikenali sebagai Mohamed Adel, 21, dengan kejadian dikatakan kerana Ashraf menolak lamaran kahwin pemuda yang boleh dikategorikan sebagai psikotik itu.

Mohamed Adel sudah lama menjadi penghendap obsesif di Facebook Ashraf dan sering menhantar mesej berbaur cinta sebelum bertukar kepada ugutan dan ancaman yang menyebabkan gadis cantik itu diserang ketakutan lalu bertindak menghalang pemuda itu daripada mengakses Facebooknya.

Menurut kenyataan polis sebelum ini, suspek yang sebelum ini ditahan di lokasi kejadian oleh orang ramai setelah disoal siasat mengakui bahawa dia didorong untuk membunuh Ashraf kerana gadis itu enggan berinteraksi dengannya di Facebook, selepas dia melamarnya di media sosial itu. 

Jenayah terancang

Pihak pendakwa raya menurut laporan egyptindependent, telah memutuskan pada Selasa (21 Jun) untuk menahan suspek selama empat hari, sementara menunggu siasatan.

Dalam pada itu, Egypttoday dan AFP melaporkan Mohamed Adel membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Jenayah Mansoura, yang terletak 130 kilometer di utara Kaherah pada Ahad (26 Jun) bahawa dia membunuh Nayera dan waras sepenuhnya ketika melakukan ‘jenayah terancang’ itu. 

Lokasi kejadian Naira Ashraf Abdelkader mati dibunuh di Universiti Mansoura, Mesir pada 20 Jun 2022. (FOTO Celebrity Buzz)

Pihak pendakwa raya menurut Egyptindependent juga telah mewujudkan keterangan di hadapan tertuduh daripada 25 orang saksi, termasuk pelajar, anggota keselamatan universiti, dan pekerja kedai yang berada di sekitar lokasi kejadian.

Keluarga dan rakan-rakan mangsa juga memberi keterangan bahawa defendan pernah mengganggu dan mengugut mangsa  kerana  enggan menerima lamarannya yang dibuat melalui Facebook untuk mengahwini Ashraf, dan dia cuba lebih daripada sekali untuk memaksa Nayera berbuat demikian, yang menyebabkan mereka melaporkannya kepada pihak polis.

Sementara, laporan Egyptindependant turut berkata bahawa mahkamah berkenaan telah menangguhkan perbicaraan tertuduh ke hari ini, Selasa (27 Jun) bagi memberi lebih masa kepada peguam bela untuk meneliti lebih lanjut kes itu.

Mabrouk Attia menimbulkan kontroversi melalui kemunculan video yang tular di media massa. (FOTO YouTube)

Dalam pada terpaksa menghadapi tekanan emosi akibat kematian Ashraf dan kini menghadiri perbicaraan mahkamah, keluarga mangsa menjadi semakin tertekan apabila Mabrouk Attia dalam video tular di media sosial pada Isnin (20 Jun) mengulas tentang  kejadian tragis itu bahawa golongan wanita Islam di negara-negara Teluk khususnya wajib memakai hijab bagi menghalang lelaki daripada membunuh mereka.

“Golongan wanita seharusnya bertudung sepenuhnya jika mereka tidak mahu ‘menghadapi nasib yang sama’ seperti pelajar universiti Mansoura itu (Naira).

“Setiap wanita hendaklah bertudung, untuk hidup. Mereka harus memakai pakaian yang longgar supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi … anda berada dalam kalangan  ‘raksasa’,” tegas Attia dalam video berkenaan. 

Naira Ashraf mati dibunuh oleh suspek yang sudah lama menhendapnya di media sosial miliknya. (FOTO News Unzip)

Walau bagaimanapun menurut laporan Egyptindependent lagi, sebilangan penyokong badan hak asasi wanita, Majlis Kebangsaan untuk Wanita (NCW), dan pengguna media sosial mengecam kenyataan Attia itu dengan memfailkan aduan rasmi di hadapan ketua pendakwa raya, dan menuduh lelaki itu melakukan beberapa kesalahan undang-undang, termasuk menghasut melalui ucapan benci dan keganasan terhadap golongan wanita Mesir khususnya.

Satu catatan di media sosial menjelaskan bahawa Attia secara memalukan telah menyalahkan Naira dibunuh kerana dia tidak berhijab. 

“Kami selalu diberitahu ‘menutup (aurat) anda’, ‘jangan memprovokasi lelaki, ‘bersederhana’. Namun, ia bukan tentang mengajar lelaki cara berkelakuan dan menghormati wanita. Kami enggan hidup dalam ketakutan,” ulas seorang pengguna di media sosial. 

Nihad Aboul Qumsan mengecam tindakan yang dilakukan Mabrouk Attia. (FOTO Egyptianstreets)

Namun, selepas meraih kecaman orang ramai termasuk pihak Universiti Al-Azhar sendiri, pada Rabu (22 Jun), Attia akhirnya telah mengumumkan bahawa bahawa dia akan memadam akaun media sosialnya.

“Video itu jelas… Saya tidak mengatakan bahawa gadis itu (Naira) tidak berhijab atau keluar tanpa menutup rambutnya… Saya tidak membenarkan pembunuhan itu atas nama hijab,” ujarnya,

Bertindakbalas terhadap video Attia, Majlis Kebangsaan untuk Wanita (NCW) menurut egyptindependent telah menyerahkan laporan kepada pendakwa raya yang mengecam kenyataan berkenaan.

NCW berkata ia mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Attia di akaun Facebook peribadinya, yang mana dia menulis: “Jika anda mahu melindungi diri anda, pakai hijab semasa keluar rumah.”

Universiti Mansouri tiba-tiba digemparkan dengan tragedi berdarah yang menimpa Naira Ashraf. (FOTO admission.zone)

Presiden NCW, Maya Morsy menyatakan kesedihannya yang mendalam atas kematian Ashraf sambil mengutuk keras kenyataan Attia, dengan menegaskan bahawa seorang pendakwah seperti Attia tidak boleh berkata sedemikian dan menyelar penghinaannya terhadap wanita Islam yang tidak berhijab dan hasutan untuk keganasan dan pembunuhan terhadap mereka, yang merupakan jenayah yang boleh dihukum oleh undang-undang. 

Morsy memberi jaminan bahawa NCW akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Attia yang turut dikritik hebat oleh ketua Pusat Hak Wanita Mesir, Nihad Aboul Qumsan, susulan kenyataan dalam videonya itu.

Aboul Qumsan menuduh Attia sebagai telah menyeru keganasan terhadap golongan gadis dan wanita yang tidak berhijab, dan menegaskan bahawa tindakan undang-undang mesti diambil terhadapnya.

Dalam temu bual telefon dengan hos Azza Mustafa, semasa program Dewan Tahrir, Aboul Qumsan turut berkata dia akan memfailkan aduan dengan pendakwa raya terhadap Attia.

Ahli keluarga Naira Ashraf tidak dapat menahan kesedihan ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Mansoura, Mesir pada 26 Jun 2022. (FOTO AFP/Getty Images)

“Apa yang dia (Mabrouk Attia) katakan adalah lanjutan daripada rantaian pendapat yang agresif,” ujar Morsy.

Dia seterusnya memberi amaran tentang wacana di internet, dan YouTube khususnya yang menghasut keganasan terhadap wanita.

“Retorik kebencian, permusuhan dan keganasan terhadap golongan wanita mesti dihentikan,” tegasnya.

Hutang darah

Morsy menambah dalam akaun Facebooknya pada Selasa (21 Jun), bahawa setiap orang yang menentang wanita dan membenarkan keganasan terhadap mereka kerana pakaian mereka, termasuklah golongan pendakwah berhutang darah dengan Ashraf.

“Mabrouk Attia mengeluarkan ucapan yang mengecam gadis dan wanita Mesir, walaupun penampilan atau pakaian tidak membenarkan jenayah, dan kami mempunyai undang-undang yang melindungi kami dan sistem keadilan yang melindungi kami,” selar Morsy.

“Video Attia menghasut dan menghina Mesir dan lelaki Mesir; kerana ia menunjukkan bahawa negara ini tidak mempunyai undang-undang. Sedangkan Mesir mempunyai polis, badan kehakiman dan undang-undang yang mempertanggungjawabkan pesalah,” tambahnya.

“Kenyataan ini menunjukkan bahawa ini adalah persekitaran di mana wanita Mesir hidup. Saya menuntut supaya pendakwa raya membuka siasatan terhadap Attia kerana kami bimbang kenyataannya akan bertukar menjadi fenomena yang mengancam golongan seperti kami di negara ini,” luah Morsy.

Pembunuhan kejam Naira Ashraf menimbulkan isu tentang perlindungan kepada keganasan berleluasa terhadap golongan wanita dan kanak-kanak perempuan di Mesir. (FOTO Getty Images)

Dalam pada itu, shethepeople melaporkan bahawa Amnesty International telah menyelar pihak berkuasa Mesir sebagai gagal dalam ‘mencegah dan menyiasat keganasan berleluasa terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan’ di negara itu.

Sementara itu, CNN melaporkan kenyataan pegawai jantina dan hak asasi manusia dan jantina  di Inisiatif Mesir untuk Hak Peribadi (EIPR), Lobna Darwish sebagai berkata bahawa pembunuhan Naira bukan  insiden terpencil memandangkan pihaknya telah melihat lebih banyak liputan keganasan terhadap wanita.

Trend membimbangkan

“Data mengenainya kurang kerana insiden sebegitu tidak didokumentasikan dengan betul oleh kerajaan tetapi kes penderaan dilihat dalam laporan berita hampir setiap bulan yang mana kami melihat trend yang membimbangkan,” katanya.

Bapa mangsa, Ashraf Abdelkader, memberitahu CNN bahawa Mohamed Adel telah melamar untuk mengahwini anaknya beberapa kali tetapi ditolak. Pemuda itu menurutnya lagi, juga bertindak mencipta akaun palsu untuk mengakses Facebook Ashraf yang menyebabkan anaknya itu telah memfailkan perintah sekatan terhadap suspek pada April lalu.

“Nayera belum mahu berkahwin. Dia cuma mahu meneruskan pengajiannya dan bercita-cita mahu menjadi pramugari,” kata Abdelkader. – HARAKAHDAILY 27/6/2022

- Advertisement -