Kod Kandungan jadi garis panduan pihak terlibat penyiaran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, Kod Kandungan akan menjadi garis panduan kepada pihak yang terlibat dalam penyiaran.

Menurutnya, perkara itu dibincang dalam pertemuan dengan Pengarah Eksekutif Communications & Multimedia Content Forum Malaysia (CMCF), Puan Mediha Mahmood, sebuah badan yang mengawal selia kandungan-kandungan di stesen TV dan radio, hari ini.

Katanya, pihak CMCF sebuah badan berdaftar di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

- Advertisement -

Tambahnya, perbincangan tertumpu kepada kod kandungan baru yang disediakan pihak CMCF untuk memastikan etika dalam kandungan agama yang disiarkan di dalam TV dan radio.

“Sudah tentu Kod Kandungan ini akan menjadi garis panduan kepada pihak yang terlibat dalam penyiaran.

“Ia juga akan mengawal sifat melampau dalam menghasilkan kandungan yang dihidangkan kepada masyarakat,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Ini, ujarnya kerana hari ini terdapat kandungan di TV yang dipaparkan mengundang resah masyarakat kerana terdapat unsur yang bercanggah dengan agama dan budaya.

Menurutnya, ada yang cuba menormalisasikan perkara yang jelas bertentangan dengan hukum dan sistem nilai. 

“Kami bersetuju untuk memberikan kesedaran kepada pihak penyiaran untuk mengeluarkan kandungan yang berkualiti dan tidak melanggar batas agama dan peraturan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berpendapat aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di pihak SKMM juga perlu dipergiatkan.

“Isu ini perlu menjadi tanggungjawab bersama sama ada pemimpin negara, parti politik, karyawan, stesen TV dan Radio, pembekal kandungan, influencer, para peniaga, pencipta kandungan, asatizah dan semua golongan yang melibatkan diri dalam penghasilan kandungan yang ditatapi seluruh masyarakat,” ujarnya lagi.

Justeru, beliau akan memastikan daripada masa ke semasa perkara itu terus dipantau, diperkemas dan diperketat supaya kesedaran berterusan mampu dihayati oleh semua masyarakat.

Tambahnya, Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama akan sentiasa bekerjasama erat bersama CMCF dan SKMM. – HARAKAHDAILY 28/6/2022

- Advertisement -