Kisah Mat Kilau pun masih dipolitikkan ke atas Kelantan?

- Advertisement -

HARI ini apa jua isu negara yang berlegar dalam kalangan rakyat baik secara amnya, mahupun secara khusus di negeri lain, tetapi ada sahaja puak atau kumpulan akan mengaitkannya dengan PAS dan juga Kelantan.

Terbaru, filem Mat Kilau sedang ‘trending’ kini turut dicubitkan juga dengan parti Islam yang mentadbir beberapa buah negeri cuma ia tersorot khasnya kepada Kelantan. Bagi kami, terima kasih ada yang mahu jadikan Kelantan sebagai ‘pembaris’.

Filem epik pahlawan Melayu ini ditayangkan hampir serentak dengan beberapa filem antarabangsa, antaranya Jurassic World dan Top Gun Maverick. Akan tetapi jumlah kutipan hari keempat semalam seperti diumumkan GSC Cinemas telah mencapai RM12.2 juta. Ia mengatasi semua filem tempatan lain dan juga Hollywood berkenaan.

Tahniah dan syabas kita ucapkan kepada Pengarah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan iaitu Syamsul Yusof yang telah berjaya dalam memaparkan hasil seni dan karya kreatifnya ke layar perak, sekali gus mengangkat sejarah perjuangan tokoh itu.

Diharap, pihak Kerajaan Persekutuan sedia menambah peruntukkan menerusi Belanjawan Malaysia kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) untuk disalurkan kepada industri filem dan seni kreatif serta para pengkarya untuk menghasilkan lebih banyak genre patriotisme.

Kejayaan filem ini, selain premis asas wataknya iaitu nama besar Mat Kilau itu sendiri, ia juga disusun dengan plot dan jalan cerita yang cukup menarik, menyentuh jiwa dan emosi penonton. Selain dibarisi juga oleh pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhan, Johan As’ari dan ramai lagi.

Pendek kata, bermula dengan skrip bagus, plot dan jalan cerita bijak, pengarah kompeten, barisan pelakon tersohor, ‘marketing’ yang bagus serta semuanyalah. Ia pakej yang meruntun perasaan rakyat negara ini untuk menyaksikannya.

Luahan itu dibuktikan antaranya kehadiran para penonton ke pawagam membawa roh dan semangat kepahlawanan biarpun secara penampilan busana Melayu, tanjak, keris dan aksesori berkaitan.

Seiring itu juga, kejayaan filem epik ini pada hari pertamanya ditayangkan, turut ditambah dengan rencah politik para politikus yang terserlah kebuluran isu.

Ia bermula dengan tiba-tiba sahaja apabila Ketua Pemuda PAS Malaysia membuat hantaran di Facebook akan kehadirannya ke pawagam untuk turut sama berkongsi keterujaan rakyat Malaysia dalam menyaksikan filem sejarah agung ini.

Terus sahaja musuh politik PAS menimbulkan persoalan kenapa masuk pawagam sedangkan di Kelantan tidak diwujudkan pun pawagam sebegitu? Mereka menerobos ‘terowong masa’ kembali ke beberapa tahun dahulu mengenai cadangan membuka pawagam di Kelantan.

Ya, Ketua Pemuda PAS melontar pandangan tersebut kerana tiada keperluan untuk Kelantan kepada pawagam dalam realiti di negeri ini sudah sarat dengan kebudayaan dan seni serta aktiviti sektor ini yang subur dalam kalangan penggeraknya.

Beliau tidak menghukum haram atau membantah halang, malah tidak juga terhadap premis sedia ada di negeri lain. Sedang perbahasan mengenai hukum-hukum berkaitan, telah banyak diterang oleh pelbagai pihak.

Harus, halal, haram bukan hanya untuk Kelantan

Jawapannya mudah sahaja bagi yang mahu memahami, iaitu tidak semua perkara halal perlu dibuat di Kelantan, tetapi jangan sekali-kali ada perkara haram mahu dibuat di negeri ini. Ini prinsip bagi negeri Serambi Makkah ini.

Maksudnya, jika ada perkara yang harus hukumnya di sisi syarak, ia tak bermakna Kelantan wajib buat. Tuntutan halal memang banyak, tetapi bukan semua ada di negeri Kelantan. Namun, kenapa tidak ditanya juga kepada mereka yang mempertikai itu, mengapa tuntutan seumpama tidak cuba diadaptasi di negeri lain?

Itupun jika kita bicara mengenai tuntutan-tuntutan halal. Kalau perkara yang syubhah? Benda yang dikaburi akan duduk sifatnya? Atau yang terang nyata haram? Mana suara pertikaian menghalang atau mencegah mungkar itu?

Ia perbahasan yang luas, namun mesti diletak hukum itu mengikut keadilan neraca agama, bukan kesempitan sentimen. Jika wujud mereka yang marah pada PAS kerana tidak wujudkan pawagam di Kelantan, kenapa tidak pula mereka puji pawagam yang sedang menayangkan filem-filem tertentu itu di Terengganu dan Kedah sebagai misalnya?

PAS yang memerintah dua negeri lainnya, adalah PAS yang sama juga memerintah Kelantan. Dasarnya sama, akidah perjuangannya serupa, panduan mereka adalah al-Quran dan as-Sunnah yang dipimpin ulamak memadu ijmak dan qiyas.

Cuma perlukah perkara yang ada di Kedah kena ada di Kelantan? Perkara yang wujud di Kelantan pula wajib ada di Terengganu biarpun semua mereka ini ditadbir PAS? Sudah pasti tidak bukan?

Ada negeri yang PAS tadbir menetapkan sekian-sekian syarat kepada operator pawagam. Perubahan berlaku secara berfasa-fasa untuk difahami dan dituruti rakyat. Begitu dan begini agar ia sentiasa terpandu dengan agama, patuh syariah.

Kelantan juga menerima banyak prospek pemaju yang menyatakan minat serta sanggup mematuhi apa jua syarat Kelantan tetapkan dalam kerangka patuh syariah. Mereka wujud dan bersedia.

Tetapi Kerajaan Negeri ambil keputusan untuk tidak membuka semula pawagam di negeri ini. Walaupun mereka patuh syariah, pendek katanya halal, tetapi tak membawa maksud Kelantan perlu mengadakannya. Kita sudah pilih untuk tidak mahu, sedang ‘pilihan lain’ atau pergi memasuki pawagam di negeri lain tidak di halang.

Ada yang mempersoalkan ramainya anak Kelantan ke Terengganu dan juga Kuala Lumpur untuk menonton filem, ya silakan. Tidak ada apa-apa halangan. Pilihlah filem dan cerita yang bermanfaat dan tidak membawa kepada kelalaian, serta menjauhi sebarang tingkah laku dilarang agama. Itu sahaja asasnya.

Tidak berbangkit isu Ketua Pemuda PAS terlupa atau tidak berpendirian, tetapi menunjukkan betapa sesuatu itu mesti diletakkan pada tempatnya dengan mengambil kira persekitaran dan masyarakatnya.

Kecuali oleh mereka yang bermata lalat, di mana selama ini terdesak dan ketandusan isu, lalu hal tersebut cepat dihukum sebagai hipokrit. Hakikatnya, mereka mengutip dan menghurung isu secara dangkal dan tidak matang, memanaskan sisi jelik modal politik untuk menyerang reputasi semata-mata.

Kesian mereka ini, jika nanti tersepak batu dan tersadung kaki pun, mereka akan menyalahkan PAS dan Kelantan. Ketika filem Mat Kilau menjulang semula sejarah dan Jurassic World pula mencetus fiksyen sains menghidupkan fosil, mereka ini pula politikus yang bakal ditenggelam menjadi fosil sejarah.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 28/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -