Kerajaan digesa kekal subsidi minyak masak ‘botol’

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa meneruskan subsidi minyak masak seperti sediakala sehinggalah harga minyak masak kembali menjadi stabil dalam pasaran.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata, gesaan itu dibuat kerana mempertimbangkan keadaan ekonomi rakyat yang masih belum stabil akibat daripada pandemik Covid-19.

“Kerajaan harus meneruskan subsidi minyak masak seperti biasa dan tunda sementara projek-projek mewah lain yang sedang dibangunkan.

“Gunakan dana yang ada untuk kegunaan subsidi minyak, kita ada banyak projek mewah dalam keadaan ekonomi tidak stabil, mengapa kita mahu bangunkan banyak projek mewah?” katanya semasa dihubungi Harakahdaily, semalam.

Jelas Dr Marimuthu, kerajaan tidak perlu bimbang jika subsidi digunakan golongan yang tidak layak menikmatinya.

Katanya, ini kerana golongan berkemampuan menggunakan minyak masak jenis lain yang berjenama dan lebih mahal.

Mengulas mengenai isu penyeludupan minyak sawit, katanya, aktiviti tidak bermoral itu tidak dilakukan oleh pengguna atau rakyat Malaysia yang membeli minyak untuk kegunaan memasak.

Katanya, isu penyeludupan minyak harus ditangani melalui penguatkuasaan dan rakyat tidak sewajarnya menjadi mangsa akibat daripada tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak itu.

“Kita mempunyai pihak penguatkuasaan, apa pihak penguasaan itu buat? Tidak wajar rakyat yang menjadi mangsa.

“Tiada pengguna yang mahu beli sampai 10 botol minyak masak untuk simpan di rumah, kita beli minyak masak untuk kegunaan memasak, alasan ini tidak logik, ” katanya.

Sementara itu, Dr Marimuthu berpandangan subsidi bersasar yang menjadi hasrat kerajaan sukar untuk dilaksanakan tanpa sistem yang mempunyai data seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Katanya, kerajaan perlukan data yang cukup untuk pelaksanaan subsidi bersasar. Namun, beliau juga berpandangan subsidi barangan asas tidak wajar menganaktirikan M40 dan T20.

“Kalau ada data, mungkin subsidi bersasar boleh dilaksanakan, tetapi kita tidak boleh anak tirikan golongan berada dan tidak berada.

“Kerajaan mungkin boleh tolong menggunakan BSH dan sebagainya kepada B40 dan M40, tetapi telur, ayam dan minyak adalah kegunaan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram akan dimansuhkan bermula 1 Julai ini.

Katanya, keputusan itu akan menyebabkan harga minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram akan mengalami kenaikan.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, subsidi bagi minyak masak paket satu kilogram (kg) masih diteruskan. – HARAKAHDAILY 28/6/2022

- Advertisement -