Kebocoran gas klorin: 12 maut, 251 cedera

Gas klorin yang bocor di pelabuhan Aqaba
- Advertisement -

AQABA: Sekurang-kurangnya 12 orang maut dan 251 cedera dalam kebocoran gas klorin dari tangki simpanan di pelabuhan Aqaba, semalam.

Kebocoran itu berlaku selepas tangki yang diisi dengan 25 tan gas klorin yang dieksport ke Djibouti terjatuh ketika diangkut, kata pegawai Jordan.

- Advertisement -

Sebuah video yang disiarkan di laman Twitter televisyen negara itu menunjukkan tangki simpanan terjatuh dari takal dan terhempas ke dek kapal, diikuti gas berwarna kuning naik ke udara ketika orang ramai melarikan diri.

Pegawai Kementerian Kesihatan Jordan berkata, mereka menjangkakan hanya segelintir orang masih dirawat di hospital hari ini.

Klorin ialah pembasmi kuman dan agen penulenan air yang digunakan secara meluas, tetapi jika dihidu, gas ini bertukar kepada asid hidroklorik yang boleh menyebabkan pembakaran dalaman dan lemas melalui tindak balas dalam paru-paru.

Silo bijirin Aqaba menghentikan kerja bagi membolehkan pemeriksaan terhadap sebarang tanda pencemaran bijirin, manakala operasi maritim di pelabuhan diteruskan. Ketika kejadian, tiada kapal yang memunggah sebarang kargo bijirin.

Pelabuhan Aqaba di hujung utara Laut Merah telah lama menjadi laluan transit utama untuk import dan eksport Iraq.

Mengikut laporan televisyen kerajaan, Perdana Menteri, Bisher al-Khasawneh, tiba di Aqaba dan menuju ke hospital untuk melawat mangsa yang cedera.

Al-Khasawneh juga menubuhkan pasukan penyiasat berhubung insiden itu yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri. – REUTERS

- Advertisement -