Jepun dilanda gelombang haba terburuk sejak 1875

Kakitangan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Jepun, menutup lampu, untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik - REUTERS
- Advertisement -

TOKYO: Jepun seperti dibakar akibat suhu terik buat hari keempat berturut-turut dengan bahang di ibu negara bulan ini memecahkan rekod hampir 150 tahun.

Suhu ibu negara hari ini, dijangka meningkat hingga 36 Celcius (C), selepas tiga hari berturut-turut suhu mencecah 35 C, cuaca panas terburuk bulan Jun sejak 1875.

- Advertisement -

Kes kemasukan ke hospital akibat strok haba meningkat pada awal hari ini. Ramai penduduk di ibu negara terus mengingkari nasihat kerajaan supaya terus memakai topeng muka di luar rumah, legasi pandemik Covid-19 selama lebih dua tahun.

Pihak berkuasa juga mengulangi gesaan kepada pengguna di kawasan Tokyo supaya menjimatkan penggunaan tenaga elektrik bagi mengelak bekalan terputus.

Gelombang haba berlaku kurang daripada dua minggu sebelum pilihan raya negara dengan kenaikan harga, termasuk elektrik dinilai sebagai kebimbangan utama pengundi dalam tinjauan pendapat yang menunjukkan sokongan terhadap kerajaan merosot.

Setakat jam 9 pagi waktu tempatan, Rangkaian Berita Fuji melaporkan bahawa 13 orang dmasukkan ke hospital kerana disyaki strok haba. Mengikut media massa, sekurang-kurangnya dua orang dipercayai maut akibat strok haba, mendorong pihak berkuasa mengurangkan gesaan supaya menjimatkan penggunaan kuasa elektrik.

“Nampaknya ada beberapa warga emas menutup penghawa dingin mereka kerana kami meminta orang ramai menjimatkan tenaga, tetapi tolong dalam keadaan panas begini, jangan teragak-agak untuk menyejukkan badan,” kata Menteri Perdagangan dan Industri, Koichi Hagiuda.

Semalam, kerajaan memberi amaran bahawa kapasiti rizab penjanaan elektrik boleh turun di bawah 5 peratus pada petang hari ini, hampir kepada minimum 3 peratus untuk memastikan bekalan stabil di Tokyo dan lapan wilayah sekitar. Kapasiti rizab di bawah 3 peratus berisiko menyebabkan gangguan kuasa elektrik.

Pejabat kerajaan pada hari Isnin, termasuk Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI), menutup beberapa lampu pada sebelah petang dan malam, dengan METI menghentikan penggunaan 25 peratus lif di bangunannya.

Walaupun dijangka mencatat keputusan yang baik dalam pilihan raya pada 10 Julai ini, parti pemerintah Perdana Menteri, Fumio Kishida, menghadapi masalah akibat kenaikan harga, diburukkan lagi dengan penurunan nilai Yen yang menjadikan import lebih mahal.

Sokongan terhadap Kabinet Kishida mencapai 50 peratus dalam tinjauan pengundi yang dijalankan oleh penyiar awam NHK pada 24 hingga 26 Jun, turun daripada 55 peratus minggu lalu. – REUTERS

- Advertisement -