Industri vape yang membimbangkan

- Advertisement -

BERMULA dengan sejarah penciptaan ecig atau vape di China yang sebenarnya ditaja oleh syarikat rokok terkemuka dan berakhir dengan menjual secara komersial. Menyedihkan, Malaysia adalah antara pengguna yang tertinggi vape dan bahkan Malaysia adalah pengeluar cecair yang tertinggi di dunia. 

Pembancuh vape begitu inovatif dengan mencampurkan bahan-bahan cairan itu; ada yang pelbagai perisa termasuk perisa durian, perisa budu, harum manis dan pelbagai lagi.

Beberapa perkara yang perlu lihat dengan serius oleh masyarakat dan kita perlu membuka mata untuk menentangnya bukan saja penguatkuasaan KKM tetapi kita semua.

1. Kedai vape tumbuh ibarat cendawan selepas hujan. Masalahnya, premis mereka diisytiharkan bukan untuk menjual vape tetapi di atas nama menjual barangan elektronik. Pihak Berkuasa Tempatan meluluskan premis berkenaan kerana pengisytiharan mereka untuk menjual barangan elektronik. Tetapi apabila dilihat iklan yang dinaikkan dan barang yang dijual kesemuanya adalah produk vape ataupun aksesorinya.

2. Apabila serbuan dibuat atau teguran dilakukan mereka akan menuduh pihak berwajib sengaja ingin kacau periuk nasi orang Melayu dan Islam. Ditambah pula dengan campur tangan dari orang kenamaan berkepentingan dalam perniagaan, yang menjadikan amat sukar untuk dicegah sepenuhnya.

3. Laporan mendapati lebih dari 95 peratus cairan vape yang pernah disita telah pun dikenal pasti mengandungi nikotin yang melebihi dari akta kawalan tembakau 1983. Cuma apabila berjaya didakwa, denda hanya ciput, sedangkan jualan mereka jutaan. Lekat celah gigi sahaja.

4. Terdapat laporan siasatan kimia bahawa cairan vape mengandungi bahan terlarang lain seperti ganja dan bahan khayal lain. Fenomena inilah yang membimbangkan kita. Vape akan menjadi pintu kepada penyalahgunaan dadah terlarang lain. Campuran dadah ini tidak diisytiharkan oleh jurujual.

Semoga masyarakat sedar dan sama-sama memberi nasihat anak beranak, rakan taulan supaya tidak terjebak.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 28/6/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -