Demokrasi musyawarah selesai isu harga barang, kos sara hidup

- Advertisement -

ISU kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin meningkat hingga menekan rakyat pada ketika ini perlu diatasi dengan segera. Krisis ini dijangka akan bertambah parah sekiranya penyelesaian yang tuntas dan holistik tidak diambil oleh kerajaan dalam masa terdekat.

PAS menjunjung tinggi titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyeru semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah untuk mencari penyelesaian dalam apa jua permasalahan.

Sehubungan itu, PAS ingin mencadangkan kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob beberapa langkah yang akan dapat membantu kerajaan menangani krisis ini:

1. Mengadakan perbincangan bersama dengan semua ketua parti politik daripada pihak kerajaan dan juga pembangkang untuk mencari solusi terbaik dalam mengatasi peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang.

2. Mengkreditkan secara bersasar bantuan tunai bulanan melalui Kad Pengenalan atau e- dompet kepada golongan B40 dan sebahagian M40 untuk membeli barang keperluan harian dan langkah ini adalah selaras dengan prinsip Islam. Kerajaan perlu memungut dan mengagihkan kekayaan secara adil dan saksama. Pemberian bantuan tunai bulanan secara bersasar ini akan dapat membantu meringankan beban rakyat yang jelas amat terkesan disebabkan oleh krisis kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup.

3. Mengadakan Sidang Parlimen Khas bagi membincangkan isu ini secara mikro untuk mendapatkan pandangan dan cadangan penyelesaian dari Ahli Parlimen yang lebih dekat dengan rakyat di kawasan mereka.

PAS yakin dengan kebijaksanaan dan kerjasama semua pihak, isu ini dapat ditangani dan diselesaikan dengan sebaiknya.

PAS menyeru semua pemimpin politik untuk bersama menyumbangkan idea dan tenaga dalam usaha membantu kerajaan menyelesaikan krisis kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup ini.

Jadikan kesejahteraan rakyat keutamaan dalam masa sukar ini dan lupakan perbalahan yang merugikan negara.

Sekian.

“Islam Menyatukan Ummah”

YB SENATOR IR. TS. HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN 
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – HARAKAHDAILY 28/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -