TH sumbang 40 van serba guna RM5.4 juta

Datuk Idris Ahmad (tengah) menyampaikan kunci replika kepada wakil Surau Al-Mutmainnah, Pandan Perdana (kiri)
- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE

PUTRAJAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) menyumbang sebanyak 40 van serba guna bernilai RM5.4 juta kepada masjid, surau, pusat tahfiz dan rumah kebajikan terpilih menerusi Program Mobiliti TH.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, berkata sumbangan itu bertujuan untuk memenuhi tuntutan fardhu kifayah dalam pengurusan jenazah, terutama kepada pihak masjid yang memerlukan di luar bandar.

- Advertisement -

Melalui program ini, katanya TH menyumbang van serba guna yang boleh digunakan untuk pengurusan jenazah dan juga sebagai van penumpang untuk kegunaan ahli kariah ketika menjalankan aktiviti bermanfaat.

“Program Mobiliti TH juga merupakan antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan dalam Aspirasi Keluarga Malaysia untuk pencapaian enam bulan pertama tahun ini,” katanya di Majlis Serahan Perdana Program Mobiliti TH di Dataran Kompleks Islam di sini, hari ini.

Turut hadir ialah wakil ketua-ketua agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri, pengurusan kanan TH, Ahli Jawatankuasa Zakat Wakalah TH dan wakil pertubuhan kebajikan dan persatuan seluruh negara.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin, berkata sejak diperkenalkan pada 2016, TH menyumbang lebih 96 kenderaan kepada masjid, surau, pusat tahfiz serta rumah kebajikan terpilih di seluruh negara yang memberi manfaat kepada lebih 300,000 ahli kariah.

Datuk Idris Ahmad (tiga dari kiri) bersama wakil penerima van serba guna TH

“Pada peringkat awal, sumbangan dibuat kepada masjid yang memerlukan kenderaan untuk pengurusan jenazah dan aktiviti ahli kariah setempat.

“Namun sejak 2021, program ini telah diperluaskan meliputi badan kebajikan seperti rumah anak yatim, rumah orang tua dan pusat penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.

Beliau berkata, ini kerana terdapat banyak badan kebajikan di negara ini tidak mempunyai pengangkutan yang selamat dan sesuai untuk penghuni menjalankan aktiviti harian. – HARAKAHDAILY 27/6/22

- Advertisement -