Rancangan Tempatan: Anda perlu ambil tahu

- Advertisement -

MAJLIS Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sedang mempamerkan Draf Rancangan Tempatan 2035 di pejabat mereka di Menara MPAJ, Pandan Indah dan beberapa lokasi di sekitar kawasan pentadbirannya. Mereka telah menjemput orang ramai untuk meneliti draf tersebut dan mengemukakan sebarang pandangan, cadangan dan bantahan terhadap rancangan itu. Pameran di Menara MPAJ telah bermula pada 29 Mei lepas dan sepatutnya berakhir pada 29 Jun ini. Walau bagaimanapun pameran tersebut akan dilanjutkan selama 14 hari. Sementara pameran di lokasi-lokasi seperti kompleks membeli-belah adalah sepertimana jadual yang ditetapkan.

Tetapi apakah Rancangan Tempatan atau RT dan kenapa anda perlu mengambil tahu? Menurut Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Malaysia atau PLANMalaysia, RT adalah suatu dokumen rasmi yang mentafsir dasar-dasar dan cadangan-cadangan umum yang terkandung di dalam Rancangan Struktur kepada bentuk fizikal yang lebih terperinci dan praktikal.

Tetapi apakah Rancangan Struktur? Menurut PLANMalaysia juga, Rancangan Struktur adalah suatu pernyataan bertulis yang menerangkan dasar dan cadangan-cadangan strategik berkenaan dengan pemajuan dan penggunaan tanah di dalam sesuatu negeri.

Apakah bentuk RT itu? PLANMalaysia menerangkan bahawa RT:

1. Mengandungi peta-peta dan pernyataan bertulis yang disokong oleh garis panduan pelaksanaan.

2. Menerangkan dengan lebih terperinci segala cadangan-cadangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk pemajuan dan penggunaan tanah.

3. Menterjemahkan dan memperincikan dasar-dasar strategik Rancangan Struktur.

4. Mengadakan rumusan dan perincian yang difikirkan sesuai oleh PBT mengenai cadangannya bagi memajukan, menggunakan tanah dalam:

a. Melindungi dan memperelok alam sekitar dari segi fizikal.

b. Memelihara topografi semula jadi.

c. Memperelok landskap.

d. Memelihara dan menanam pokok.

e. Mengadakan tanah lapang.

f. Memelihara dan mengindahkan ciri dan rupa bangunan.

g. Memperbaiki sistem komunikasi.

h. Mengendalikan lalu lintas.

Justeru apakah fungsi RT? Menurut PLANMalaysia juga:

1. Menterjemahkan strategi-strategi Rancangan Struktur yang mengandungi polisi dan cadangan am PBT berkenaan dengan kuasa tempatan.

2. Menyediakan garis panduan bagi kawalan pembangunan.

3. Dasar-dasar dan cadangan dalam Rancangan Tempatan akan digunakan sebagai asas untuk menyelaraskan keputusan-keputusan, aturcara pembangunan, perbelanjaan awam dan persendirian terhadap kawasan yang diliputi oleh Rancangan Tempatan.

4. Mengemukakan isu-isu dan cadangan yang terperinci kepada orang awam.

Pelan-pelan tempatan akan menjadi garis panduan bagi urusan mengatur dan mengawal pembangunan di kawasan yang diliputi oleh pelan-pelan tersebut.

Kenapakah RT itu penting? Menurut PLANMalaysia RT penting kerana:

1. Melaksanakan strategi Rancangan Struktur dengan lebih terperinci.

2. Menerangkan dengan lebih jelas dasar kawalan perancangan bandar.

3. Mampu menerangkan kepada pihak awam mengenai isu-isu perancangan yang terperinci.

4. Membolehkan pemilik, pemaju dan pihak lain mengetahui bagaimana tanah-tanah mereka terlibat dengan perancangan semasa dan akan datang.

Justeru RT memberi kesan kepada setiap rakyat yang tinggal di dalamnya. Sama ada yang tua atau yang muda. Sama ada yang kaya atau yang miskin. Tiada siapa yang akan terkecuali. Oleh yang demikian, setiap rakyat perlu mengambil tahu. Contohnya bagi pemilik tanah, mereka ingin tahu adakah zon di mana tanah mereka berada telah berubah. Perubahan ini mungkin membawa kebaikan atau keburukan.

Ketika saya Exco Kerajaan Negeri Selangor dahulu, terdapat satu kawasan di sebuah kampung yang telah menjadi zon yang membenarkan kilang-kilang didirikan dan beroperasi. Keputusan ini telah mengakibatkan mereka yang memiliki rumah kediaman di situ berasa tertekan kerana terdapat kilang-kilang di sebelah kediaman mereka. Tetapi mereka tidak dapat melakukan apa-apa kerana RT telah diwartakan. Sepatutnya bantahan dibuat semasa RT dipamerkan iaitu sebelum diluluskan dan diwartakan.

Penduduk juga boleh menggunakan peluang pameran RT ini untuk menuntut kemudahan-kemudahan seperti perpustakaan atau dewan. Mereka juga boleh mengemukakan aduan terhadap kemudahan-kemudahan yang sedia ada. Masalah lalu lintas juga boleh dimajukan. Pendek kata penduduk akan menggunakan peluang pameran ini untuk mengemukakan apa sahaja aduan atau cadangan. Walaupun kadang-kala ia tidak relevan namun ia adalah peluang untuk memberi publisiti kepada sesuatu isu. Justeru ia adalah satu peluang yang tidak seharusnya dilepaskan.

Kadang-kala di sesuatu kawasan PBT terdapat isu-isu khusus seperti projek-projek baharu yang akan dilaksanakan. Contohnya terdapat laluan MRT yang baharu dan sudah tentu dengan stesen-stesen yang baharu. Sudah tentu ini akan memberi kesan kepada penduduk. Adakah terdapat bangunan-bangunan seperti rumah kediaman yang akan dirobohkan? Adakah laluan ini akan mengganggu kesejahteraan penduduk dan apakah pelan-pelan mitigasi untuk menghadapinya? Penduduk perlu tahu dan perlu memberi cadangan atau membuat bantahan.

Tetapi masalahnya tidak ramai yang mengetahui mengenai RT ini walaupun publisiti oleh PBT selalunya adalah meluas. Ramai yang hanya melenting apabila telah terlambat. Ketika itu RT telah diwartakan atau projek-projek telah diluluskan. Malah parti-parti politik juga kadang-kala tidak sedar atau gagal bertindak. Mungkin tidak ramai pemimpin politik di akar umbi yang memahami isu-isu perancangan. Contohnya di MPAJ, mungkin tidak sampai satu pertiga yang sedar akan pameran RT ini walhal ia akan memberi kesan kepada hidup mereka sehingga sekurang-kurangnya tahun 2035. Parti-parti politik dan NGO-NGO perlu memainkan peranan mereka.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 27/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -