Pulau Batu Puteh: Apa rahsia yang disembunyikan PH?

- Advertisement -

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad begitu tegas mengingatkan bahawa sebarang cubaan untuk membawa keluar mana-mana negeri daripada Persekutuan Malaysia adalah satu jenayah!

Anehnya, dalam isu Pulau Batu Puteh beliau seakan tersepit dalam suatu dilema hingga ketika mengetuai Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu bertindak ‘mengalah’ seakan memberikan hak dan pemilikan kepada Singapura.

Daripada mempolemikkan sesuatu kekaburan di masa lampau, ada baiknya beliau tampil jujur atau menjelaskan sebab tindakannya pada masa itu. Dalam perkembangan terakhir dahulu, Kerajaan PH telah membuat keputusan ‘u-turn’ mengejut hingga menimbulkan banyak persoalan.

Ini penting demi masa depan negara dan generasi akan datang untuk mengetahui sebab kukuh Malaysia tidak lebih berhak atau terpaksa melepaskan pulau tersebut kepada Singapura. Apatah lagi setelah bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mahu membuat pendedahan susulan mengenai tindakan Tun M menarik balik kes itu.

Ini menunjukkan terdapat sesuatu ketidakwajaran munasabah untuk menjadi pertikaian dan dibincangkan atas kesangsian yang lebih awal dicurigai mengenai kes tersebut. Walhal, semuanya telah difailkan dan ditetapkan untuk pendengaran kes. Malaysia sudah melantik tiga Queen’s Counsel, selain beberapa pakar perundangan antarabangsa dan pengkaji isu tersebut.

Semakan kes yang sepatutnya berakhir pada 22 Mei 2018 itu bagaimanapun berjaya mendapat ketetapan tarikh perbicaraan dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Tetapi setelah tarikh pertengahan Jun 2018 diberikan ICJ, Kerajaan PH secara tiba-tiba membuat keputusan menarik diri dan tidak meneruskan prosiding akan diadakan.

Tindakan tersebut seolah-olah menyerahkan tuntutan dan hak Pulau Batu Puteh kepada Singapura secara ‘percuma’. Sedangkan bersama persediaan pasukan perundangan negara, termasuk pihak dilantik yang dinyatakan, Malaysia juga telah bersedia dengan dokumen lengkap diperolehi dari Arkib British berupa fakta ampuh untuk semakan semula itu.

Bahkan isu ini lebih membangkitkan keraguan serta syak besar terhadap kepentingan pihak tertentu di dalam PH yang mungkin terpaksa Tun M pendam atau rahsiakan atas sebab tertentu. Antara menjadi pertikaian: 

▪︎Adakah berlaku perjanjian sulit antara Malaysia-Singapura?

▪︎Apakah ada balasan atau pemberian ganti diperolehi?

▪︎Mungkinkah wujud sesuatu yang lain menjadi korban dan cagaran? 

▪︎Siapa yang mendapat manfaat dari semua itu?

Perkara ini sama sekali tidak boleh dipandang remeh di mana negara mungkin akan hilang Pulau Batu Puteh untuk selama-lamanya. Tetapi lebih buruk adalah implikasinya atas maruah dan sempadan kedaulatan yang bakal ada perubahan serta mengurangkan lagi hak Malaysia. Apatah lagi status maritim Tubir Selatan belum dimuktamadkan.

Pegawai Khas Perdana Menteri, Dr Kamarul Zaman Yusoff dalam satu tulisannya menyatakan, jelas tercatat di dalam penghakiman ICJ pada 23 Mei 2008 iaitu, setelah menyemak bukti yang diserahkan oleh Malaysia dan Singapura, Pulau Batu Puteh asalnya milik Kesultanan Johor (the Sultanate of Johor had original title to Pulau Batu Puteh) dan ia tidak pernah dicabar oleh mana-mana Kuasa lain di rantau ini (was never challenged by any other Power in the region).

“Apa yang menjadi masalah hanyalah kewujudan surat bertarikh 21 September 1953 daripada Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, yang menjawab surat Setiausaha Jajahan Singapura kepada Penasihat British Sultan Johor yang mahu tahu status Pulau Batu Puteh, bahawa Kerajaan Negeri Johor tidak menuntut pemilikannya (does not claim ownership).

“Mengikut ICJ, surat ini menunjukkan bahawa pada 1953 Johor faham bahawa ia tidak mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh (it did not have sovereignty over Pulau Batu Puteh), dan ditambah dengan perlakuan Malaysia dan Singapura sehubungan dengan pulau itu selepas 1953, yang mendorong ICJ memutuskan kedaulatan ke atasnya adalah milik Singapura,” ujar beliau.

Katanya, bayangkanlah betapa sedihnya Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar setelah menerima keputusan itu, di mana ketika baginda merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor pada 19 Jun 2008 bertitah:

“Suka beta ingatkan bahawa beta tidak lupa pada Pulau Batu Puteh. Pulau Batu Puteh bukan hak Singapura tetapi hak milik Johor. Sampai bila pun beta akan cari ikhtiar untuk mendapatkan semula pulau milik Johor itu.”

Menurut Dr Kamarul, setelah Sultan Iskandar mangkat, tekad untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh ini diteruskan oleh Sultan Ibrahim di mana sewaktu bertitah merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor pada 29 Mei 2014 mahukan keputusan ICJ dirayu kerana ia berpunca daripada orang luar yang tidak memahami sejarah Johor dalam mengendalikannya.

“Usaha untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh ini menjadi rancak setelah Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Peguam Negara pada 27 Julai 2015 dalam mana beliau dan lima penyelidik beliau telah berkunjung ke London mulai Julai 2016 bagi menyemak lebih 3,000 dokumen yang baharu dideklasifikasikan di Arkib Negara United Kingdom.

“Hasil daripada kerja keras mereka, tiga dokumen baharu telah ditemui dari 4 Ogos 2016 ke 30 Januari 2017, iaitu surat menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada tahun 1958, satu laporan kejadian yang difailkan oleh seorang pegawai tentera laut British pada tahun 1958 dan satu peta beserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an.

“Tiga dokumen baharu ini akan membuktikan bahawa selepas tahun 1953 pihak British dan Singapura sendiri mengakui bahawa Pulau Batu Puteh bukanlah milik Singapura (Officials at the highest levels in the British colonial and Singaporean administration appreciated that Pulau Batu Puteh did not form part of Singapore’s sovereign territory during the relevant period),” imbas beliau.

Dalam tulisan tersebut juga, Dr Kamarul mengemukakan bahawa Tun M sendiri mengkritik keras wakil Malaysia pada 31 Mei 2008 kerana tidak mempersoalkan kesahihan surat bertarikh 21 September 1953 daripada Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor kerana, kata beliau, “Our official was probably not independent and was advised by the British to verify that Batu Puteh was not ours”?

Tambahnya juga, Dr Mahathir sendiri mengkritik keras keputusan ICJ pada 31 Julai 2008 yang disifatkan mengejutkan beliau kerana keputusan itu “didasarkan kepada satu surat yang ditulis pegawai rendah Johor semasa di bawah jajahan British kepada pegawai British di Singapura” sedangkan “sepatutnya ianya hendaklah dititah dan ditulis di bawah kuasa Sultan”?

“Mengapakah setelah peluang terbuka luas untuk Malaysia mendapatkan kembali Pulau Batu Puteh Dr Mahathir melepaskannya tanpa memberikan apa-apa penjelasan yang konkrit serta hanya membiarkan Timbalan Menteri Undang-Undang menjawabnya dan tidak berani menjawabnya sendiri bila isu ini ditimbulkan di Dewan Negara pada 3 September 2018?

“Mengikut Timbalan Menteri Undang-Undang, setelah Mohamed Apandi diarahkan untuk bercuti, satu taklimat telah diberikan oleh Jabatan Peguam Negara kepada Dr Mahathir pada 17 Mei 2018 di mana keputusan untuk tidak meneruskan kes tersebut dibuat “setelah mengambil kira dengan teliti pandangan dan nasihat yang diberikan oleh Dr Brendan Plant” (“orang luar”),” persoal Dr Kamarul.

Sekiranya nanti kerana tindakan tarik diri itu menjadi sebab negara kehilangan Pulau Batu Puteh, maka sewajarnya PH dikenang sebagai pengkhianat negara. Dengan rekod banyaknya aset negara telah dijual sepanjang pemerintahan singkat 22 bulan itu, maka adalah tidak mustahil kes Pulau Batu Puteh ini juga menjadi sebahagian tindakan PH menggadai negara. Biar sejarah menjadi saksi.

IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 27/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -