Perjuangan Mat Kilau: Jihad dan suluhan Ulama Rabbani mendobrak penjajah British

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

FILEM adalah mesin propaganda yang ampuh dalam membina naratif hitam dan putih terhadap sesuatu isu atau pengkisahan sejarah, filem adalah polaraid yang mampu menyelitkan kurikulum tersembunyi serta menyampaikan mesej dengan berkesan kepada khalayak.

Memahami betapa efektifnya filem dalam membentuk laras pemikiran manusia maka kelompok Yahudi berusaha untuk menguasai industri perfileman Hollywood serta mengembangkan bidak catur mereka di seluruh dunia.

- Advertisement -

Minggu ini tanah leluhur ini geger gegak dengan fenomena filem epik “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan”, diulas dengan meluas dengan pelbagai pandang sisi oleh netizen, juga media arus perdana bahkan melibatkan pelbagai kelompok yang rencam.

Bukan perkara baru, filem dijadikan alat untuk membugar semangat patriotisme, menegaskan jati diri dan bercermin dengan sejarah. Jangan lupa lakonan Anthony Quin sebagai Sheikh Omar Mokhtar dalam “The lion of the desert”, filem perjuangan ulama besar Libya yang berjuang menentang penjajah Itali sehingga syahid ditali gantung. Kerajaan Libya memperuntukkan 26 juta USD untuk menjadikan filem epik ini menjadi buah mulut di seluruh dunia.

Anak cucu cicit Khilafah Uthmaniah tak mengalah untuk mempromosikan sosok penting perjuangan mereka, 600 tahun memayungi bumi ummat Islam bukanlah tempoh yang singkat.

Filem “Feith 1453” telah menjadikan generasi muda Turki membusung bangga dengan Sultan Muhammad Al-Fateh, sang penakluk kota Konstantinople. Filem yang menjadikan menonton meremang bulu roma, merasa akar kekuatan utama ialah akidah Islam kepada bangsa Turki sehingga mampu menguasai dunia.

Negara jiran kita, sarat dan lumayan dengan kisah-kisah tokoh perjuangan menentang penjajah, kisah sosok yang berjuang untuk memandaikan bangsa, filem bernuansa perang melawan imperialisme yanb digerakkan oleh para alim ulama.

Antara filem epik yang meluruskan sejarah ialah “Fatahillah”, menjulang kisah benar perjuangan ulama dari Indonesia. Fatahillah mengisahkan tentang tokoh ulama serta pendokongnya yang berjuang melawan penjajah Portugis.

Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, ulama ini kemudiannya mendirikan Jayakarta atau Kota Jakarta yang menjadi ibu negara Indonesia sekarang. Menarik untuk diketahui oleh generasi muda Islam bahawa Jakarta berawal dengan ruh perjuangan ulama. Almarhum Kiai Rahmat Abdullah sering mengingatkan bangsa Indonesia akan hakikat ini.

Asal muasal nama “Jayakarta” ni asalnya diambil dari kata “Fathammubina” berdasarkan dalam surah Al-Fath (Surah Kemenangan) daripada ayat pertama, “Kemenangan yang nyata” yang kemudiannya dialih bahasa ke dalam bahasa sanskrit. Filem lain seperti “Sang Pencerah”, ” Sang Murabbi”, serta belasan filem yang lain termasuk pengkisahan sejarah tentang Walisongo yang penuh ibrah.

Filem Mat Kilau adalah filem pertama negara ini yang dihasilkan dengan berani meletakkan British sebagai penjajah yang kejam, zalim, pelit dan berselingkuh dengan kelompok aristokrat Melayu. Sebelum ini filem “Sarjan Hassan” , “Paloh” dan “Leftenan Adnan” menjadikan Jepun sebagai sasaran kebencian penonton.

Ini mungkin kerana faktor mitos” the white man burden”, penjajah British membina sistem, fasilitas Malaya diupayakan seperti sekolah, bangunan kerajaan, pusat latihan tentera, polis , jaringan kemudahan awam yang menyebabkan orang Melayu “lembik tengkuk” untuk meletakkan British sebagai watak antagonis.

Perjuangan Mat Kilau meliputi banyak pihak dan jaringan yang besar, perluasan pengaruh British ke Pahang pada tahun 1888 telah menimbulkan kemarahan pembesar Melayu yang membawa kepada pemberontakan pada tahun 1891.

Antara kebangkitan yang dirakamkan ialah serangan ke atas polis British di Lubuk Terua oleh Dato’ Bahaman, Orang Kaya Pahlawan Indera Semantan. Perlawanan ini turut melibatkan Tok Gajah (Imam Perang Rasul) iaitu ayahanda Mat Kilau dan Mat Kilau sendiri.

Berlakunya serangan pahlawan Pahang ini ke atas Kuala Lipis pada 1892. Walaubagaimanapun, pemberontakan ini gagal atas pelbagai faktor dalaman dan luaran untuk menghalau British.

Pejuang-pejuag Pahang ini terpaksa berundur ke Kelantan dan Terengganu. Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menyokong Dato’ Bahaman tetapi terpaksa menghantar tentera menyokong British kerana tekanan penjajah itu. Bahkan, Sultan Pahang diberitakan pernah menghubungi Kerajaan Uthmaniyyah untuk meminta bantuan.

Di Kelantan, pejuang-pejuang Pahang ini telah diselamatkan oleh Sultan Mansur Shah, manakala di Terengganu oleh Sultan Zainal Abidin III dan penasihat Sultan Terengganu iaitu Tokku Paloh.

Di Kelantan mereka hanya berlindung sementara bergerak ke Terengganu kerana dikehendaki oleh pihak British. Semasa di Terengganu, pejuang-pejuang Pahang dilindungi sepenuhnya oleh Tokku Paloh, ulama yang berketurunan Rasulullah SAW (lapis ke-32).

Pejuang Pahang ini pernah berlindung di pondok Rusila, Marang. Pada tahun 1894, Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau menghubungi Tokku Paloh untuk meminta perlindungan dibenarkan tinggal di Paloh di bawah perlindungan Tokku Paloh.

Ulama besar Terengganu ini terkenal dengan kebenciannya kepada penjajah British, bahkan selepas kematian beliau, barulah Inggeris boleh campur tangan di Terengganu. Di Paloh, mereka diberikan didikan agama dan mendapat seruan jihad daripada Tokku Paloh.

Jang Aishah mengatakan telah berlaku “ikatan yang menentukan partisipasti lebih kuat bermotifkan agama kerana seorang tokoh dari elite religious (Tokku Paloh). Tokku Paloh mengarahkan supaya pejuang Pahang melancarkan seruan jihad ke atas British dengan memberikan bantuan melalui wirid-wirid dan senjata.

Di Terengganu, pejuang-pejuang Pahang ini mendapat inspirasi dan kekuatan semula untuk bangkit melawan penjajah British.

Pada Jun 1894, para pejuang Pahang dengan semangat jihad dan perang sabil ke atas balai polis Kuala Tembeling dan seterusnya berjaya menawan Kubu Jeram Ampai selama empat bulan.

Namun beberapa serangan balas British telah memaksa mereka sekali lagi berundur ke Terengganu dan Kelantan. Pejuang ini menyusuri kawasan Pasir Raja Hulu Dungun, Hulu Terengganu termasuk Jenagor dan Kenyir untuk mengelakkan pemburuan British dan juga pengkhianat dikalangan orang melayu.

Ayahanda Mat Kilau, Tok Gajah telah meninggal dunia di Terengganu, manakala yang lain berusaha mendapatkan perlindungan Tokku Paloh pada November 1894, sebelum mereka dibenarkan tinggal di Kemia pada 1895 dan dipindahkan ke Paloh kemudiannya.

Serangan jihad pejuang Pahang ke atas Kuala Tembeling pada 1894 memberi kesan yang buruk ke atas British dan kemenangan moral kepada pejuang. Penjajah bertindak agresif sehingga tindakan memburu ketiga-tiga pahlawan tersebut digerakkan dengan lebih serius.

Bagi memburu para pejuang itu, Residen British di Pahang telah pergi ke Terengganu untuk mengesan pejuang Pahang. Hugh Clifford bergerak bersama 250 orang tentera ke Terengganu pada bulan April 1895 dan berjaya mendapat surat kuasa daripada Sultan Terengganu untuk menyiasat sesiapa yang melindungi pejuang Pahang.

Sultan Terengganu walaubagaimanapun tidak memberi izin penyiasatan ke atas kerabat istana, keluarga Syed dan pembesar negeri. Clifford walaubagaimanapun pernah menyiasat Tokku Paloh namun tidak mendapat kerjasama kerana Tokku Paloh mengatakan penjahat sebenar ialah British, bukan Dato’Bahaman atau Mat Kilau. Clifford juga cuba mempengaruhi Sultan bagi memaksa Tokku Paloh menyerahkan orang-orang Pahang, tetapi usaha ini juga gagal menangkap pejuang-pejuang Pahang.

Clifford menjelaskan:

“I’m not in least surprised by the Sultan of Terengganu’s unsatisfactory conduct. He and all his people live in the superstitious awe of the powers of his uncle, the Mullah, Ungku Saiyid Kramat, who practically rules the state”

Mat Kilau dan pejuang Pahang dilindungi di Terengganu dalam perjuangan mereka bangkit melawan penjajah. Kanvas perjuangan ini telah diangkat menjadi filem epik terbaik setakat ini yang pernah dihasilkan.

Syabas Samsul Yusuf dan team, paling kurang fenomena Mat kilau akan membuka mata untuk masyarakat melihat sejarah perjuangan ulama dan golongan agamawan, bermandi darah dan keringat mendobrak kezaliman penjajah.

Paling menarik kesakralan ” the white man burden” kononnya penjajah British baik dapat dihakis serta membuakkan semangat penyatuan ummah, menegaskan jatidiri orang melayu serta meluruskan sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu.

Penulis ialah AJK PAS Pusat, dan juga merupakan Pengerusi LESTARI. – HARAKAHDAILY 27/6/2022

- Advertisement -