Penyatuan ummah rumah besar smart integriti

- Advertisement -

DUA asas penting jadi fokus utama PAS ialah Islam dan penyatuan ummah.

Suara-suara penyatuan Melayu mula berkumandang setelah perpecahan umat. Akibat dari itu, puak yang takut penyatuan ini berlaku mula mencatur langkah agar tidak akan berlaku penyatuan umat Islam ini.

Begitu takut mereka jika penyatuan ini berlaku yang tentu menggelapkan masa depan politik mereka. 

Formula yang dicanai oleh PAS ialah Memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) dan Memantapkan Muafakat Nasional (MN) adalah bom jangka kemusnahan Pakatan Harapan (PH) yang didominan oleh DAP dan parti serpihan. 

Penyatuan yang menjurus kepada perpaduan ummah adalah terlalu besar gelombangnya untuk dihadapi puak PH. 

Semacam terlalu sukar dan gelap masa depan politik mereka sekiranya usaha yang diterokai oleh PAS ini menemui kejayaan. 

Hakikatnya, semua umat Islam sangat mengharapkan ianya berlaku dan menjadi satu gabungan dan gelombang tsunami dalam PRU15.

PN dan MN jika dapat ditempatkan di bawah satu bumbung akan menarik semua NGO Melayu dan NGO Islam untuk memperkukuhkannya. 

Ianya akan menjadi tumbukan padu bagi menumbangkan PH secara mudah, malah rakyat akan melihat PH sebagai jembalang yang menakutkan dan perlu dihindari. 

Adakah PAS King Maker?

Benar, dalam percaturan ini, rata-rata rakyat mula menilai dan jadi cerdik politik. PAS ibarat penasihat yang sangat konsisten sebagai agensi penyelamat. Bukan saja penyelamat bagi Umno dan BERSATU malah penyelamat sebenar negara bangsa.

Umno sangat memerlukan PAS begitu juga BERSATU. Formula ini amat dinanti dan ditunggu oleh orang Melayu Islam. Dengan Islam berdaulat, Melayu pasti dimartabat. 

Parti dan NGO Melayu Islam perlu diletak di bawah satu bumbung untuk mengukuhkan markas gerakan politik umat Islam itu sendiri. PN dan MN satu gabungan wadah yang mampu meraih kemenangan besar dalam PRU15 ini.

Kita tidak perlukan khemah besar, sebab itu PAS menolak agenda khemah besar ini yang sering dilaungkan oleh PH. Kita hanya perlu molekan rumah kita dengan penyatuan ummah ini. Usaha semua pihak perlu digembleng dengan bersungguh-sungguh demi survival umat Islam sejagat. 

PAS telah mengorak langkah pendekatan holistik ini, dari itu rakyat serta akar umbi parti-parti politik Melayu khasnya Umno dan BERSATU serta parti lain yang tidak ekstrem perlu sama-sama berusaha untuk menjayakan dan melestarikannya demi menyelamatkan negara ini. 

Bagi ahli-ahli PAS mereka perlu sentiasa bersedia dengan arahan dan walak kepada pimpinan. Asas kekuatannya ialah Islam. Rencana kehebatan PAS ialah tarbiyah,usrah dan kuliah haraki.

Firman Allah maksudnya:

- Advertisement -

“”(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? “Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

(Az-Zumar: 9)

HALIM OTHMAN KEPOL
Yang Dipertua PAS Kawasan Parit Sulong – HARAKAHDAILY 27/6/2022

- Advertisement -