Pemimpin politik wajar ambil iktibar dari filem Mat Kilau

MUNGKIN ramai yang telah mengetahui mengenai latar belakang Mat Kilau. Sehinggakan kisah riwayat sang pahlawan Melayu ini telah difilemkan dan mula ditayangkan di seluruh negara. 

Sesungguhnya sutradara cuba menyampaikan pelbagai mesej dalam filem ini. Bermacam kandungan dan intipati tersirat yang cuba diasimilasi buat para penonton

Daripada agenda musuh Islam (New World Order) yang cuma melemahkan umat Islam melalui pelbagai unsur atau cara hatta ke ‘moral point’ filem tersebut.

Suka saya gariskan apa yang cuba disampaikan oleh pengarah dalam filem ini.

Mengikut perspektif pertama, acap kali lontaran suara keramat berkaitan dengan penyatuan dan perpaduan menjadi bibit kepada kebangkitan perjuangan.

Teranglah pepatah Melayu mengatakan ‘Bersatu teguh, bercerai roboh’.

Mengimbas kembali apa yang diungkap penjajah (musuh Islam) bahawa ‘Orang Melayu (Islam) tidak akan kuat sekiranya mereka berpecah belah. Berhasad dengki sesama sendiri’.

Jelas ini juga sebuah amaran kepada pemimpin-pemimpin Melayu supaya tidak berpecah ataupun bertelagah sesama sendiri. Bahkan, sentiasa jujur melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat. Usah kita prejudiskan nasib rakyat di luar sana.

Tugas seorang pemimpin ialah memperbaiki Ummah. Waktu ini, mata kita selalu disajikan dengan penyakit-penyakit sosial yang mula merebak merasuki ke dalam setiap lapisan masyarakat. Ini adalah tugas pemimpin untuk bersatu hati dalam menyelesaikan masalah Ummah dengan mengutamakan perpaduan.

Justifikasi utamanya ialah menyelesaikan sesuatu masalah menggunakan kaedah Islam yang telah disyariatkan kepada kita semua.

Secara langsung mengetepikan ideologi politik masing-masing. Dalam konteks ini kita memperkenalkan perpaduan Ummah kepada semua pemimpin parti politik.

Supaya Islam itu terus memimpin tanpa mengetepikan hak bermasyarakat majmuk di Malaysia. Seperti ungkapan ‘Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’.

Hanya manusia yang berperanan untuk memakmurkan bumi, kerana ciri-ciri fitrahnya yang mempunyai jasad, akal, roh dan hidup bermasyarakat. Fitrah penciptaan yang tiada pada makhluk yang lain.

Rasulullah S.A.W menegakkan negara dengan mendahulukan konsep perpaduan rakyat dalam masyarakat majmuk, bermula dengan menyatukan umat Islam.

Misi perpaduan ummah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W setelah berjaya mengumpulkan orang-orang yang memeluk Islam dan beriman di Makkah. Begitu juga selepas berjaya berdakwah dan mengIslamkan suku Aus dan Khazraj yang menetap di Madinah serta beberapa suku kaum yang kecil dan beberapa orang individu. 

Maka, Allah S.W.T menegaskan konsep perpaduan dengan mendahulukan dalam kalangan umat Islam terlebih dahulu, sebagaimana yang disimpulkan oleh firman-Nya:

Advertisement

﴿إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ١٠﴾

Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudara kalian itu dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kalian mendapat rahmat.” 

(al-Hujurat: 10)

Iman menjadi syarat pertama bagi menyatukan umat sebelum aspek ilmu dan akhlak yang mencipta syakhsiyah. Tanpa keimanan, maka integriti seseorang itu hanyalah suatu pembohongan dan penipuan. Syarat beriman menjadi rukun terpenting dalam konsep persaudaraan Islam.

Sering kali filem ini ketengahkan mengenai asas kepada sesebuah perjuangan ialah agama. Meletakkan kepercayaan dan keyakinan yang teguh pada Allah S.W.T.

Perjuangan itu hendaklah seiring dengan keimanan kepada Allah yang Maha Berkuasa. Jagalah agama Islam di tanah air kita adalah sebuah jihad.

Pada babak akhir filem dinyatakan bahawa kekuatan Melayu bukan semata-mata terletak pada tradisi, budaya, adat mahupun pembesar atau raja. Kerana ia akan luntur ditelan zaman. Namun, kekuatan yang hakiki itu adalah hasil keimanan yang teguh serta ketakwaan pada Allah S.W.T. 

Sesungguhnya iman adalah senjata utama orang Melayu. Lindungilah iman dan jagalah aqidah Islam.

Dengan lafaz kalimah Lailahaillallah (لاَ إِلَهَ إِلَّاالله) adalah kalimah yang besar ertinya di sisi Islam. Ia adalah suatu kalimah yang mengandungi makna yang menafikan terhadap segala bentuk penyembahan selain daripada Allah S.W.T dan ia juga menetapkan bahawa penyembahan itu wajib ditujukan kepada Allah S.W.T semata-mata. Firman Allah S.W.T:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللَّهُ 

“Maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.”

(Muhammad: 19)

Ia termasuklah kalimah Muhammad Rasulullah (محمد رسول الله) juga cukup sinonim bagi umat Islam di seluruh dunia sama seperti kalimah Lailahaillallah لاَ إِلَهَ إِلَّاالله. 

Nabi Muhammad S.A.W sebagai utusan Allah S.W.T. Secara langsung kita mesti membenarkan apa yang dikhabarkan oleh Baginda, mentaati apa yang diperintahkan, meninggalkan segala larangan dan tegahan dan apa yang Baginda ingatkan serta beribadah kepada Allah S.W.T seperti mana yang telah Rasulullah S.A.W, ajarkan melalui sunnah-sunnahnya.

Di luar konteks ini, pada era globalisasi sekarang. Dalam apa jua bidang yang diceburi ataupun kerjaya. Kita sebagai Umat Islam wajib meletakkan agama sebagai misi utama. Niatkan di hati melakukan sesuatu kerana Allah. 

Saya amat yakin sekiranya semua pemimpin parti politik di Malaysia faham soal perpaduan dan tahu keutamaan perjuangan adalah Islam. Pasti segala permasalahan yang timbul pada rakyat dapat diatasi dan bukan lagi sebuah fatamorgana.

Seterusnya, ini adalah sebuah anjakan paradigma kepada kebangkitan kuasa besar Islam. Bukan sahaja di Malaysia tetapi merangkumi seluruh nusantara sehinggakan ke seluruh negara Islam dunia. Membentuk kembali tamadun Islam yang gagah!

Tahniah saya ucapkan kepada syarikat penerbitan Skop Productions Sdn Bhd & Studio Kembara Sdn Bhd khususnya pengarah, Syamsul Yusof kerana membawa dakwah alaf baru. Setidaknya ini adalah usaha yang positif untuk ‘brainwash’ pemimpin serta rakyat di luar sana.

DR USTAZ AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Yang Dipertua
PAS Kawasan Kuala Kedah – HARAKAHDAILY 27/6/2022