Murabbi Ummah terjemah semangat kesatuan penggerak dakwah

KERAJAAN sentiasa menghargai usaha-usaha yang telah dilakukan oleh para Murabbi Ummah dalam menyebarkan ilmu dan kefahaman Islam kepada masyarakat. 

Institusi masjid, surau, sekolah pondok, tahfiz dan sekolah agama menjadi medan pendidikan rabbani selain medan penyatuan ummah. 

Semalam, saya bersama YB Senator Ustaz Idris Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah dalam program Multaqa Murabbi Ummah (MMU) Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, Alor Setar. 

Kedah kini merupakan sebuah negeri yang sedang pesat membangun, dan masyarakatnya sentiasa hidup dalam suasana penghayatan beragama. 

Semasa Forum MMU, Ustaz Afnan Hamimi bin Dato’ Taib Azamudden memaklumkan kepada saya lesen terakhir pengoperasian judi di Kedah akan tamat pada akhir tahun ini dan bermula 2023, tiada lagi pusat perjudian di Kedah. 

Inilah natijah yang kita mahukan, bermula daripada peranan Murabbi Ummah memandaikan masyarakat, lalu menjadikan masyarakat berilmu dan mendukung syariat.

Atas dasar itu, sejumlah RM66,014,610 telah pun disalurkan untuk Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir dan Guru KAFA Negeri Kedah pada tahun 2022 ini. 

Syabas dan tahniah kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kerajaan Negeri Kedah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah dalam menjayakan program ini.

Semoga penganjuran program Murabbi Ummah menterjemahkan semangat kesatuan para penggerak dakwah demi kemaslahatan umat Islam.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 27/6/2022

Advertisement