Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan

- Advertisement -

Oleh PENDEKAR SAKTI

SEINGAT
saya, kali terakhir saya masuk panggung ialah semasa saya berada di Tingkatan 3 selepas tamat peperiksaan SRP pada masa itu. (tahun 1985)

Filem Mat Kilau menarik perhatian saya untuk kembali ke pawagam. Terutama apabila saya mendapat maklumat bahawa filem ini bukan sahaja memaparkan aksi persilatan Melayu dan berinspirasikan sejarah perjuangan Islam di Tanah Melayu, malah filem ini juga bersih dari adegan yang bercanggah dengan syariat.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal tahun 2020 yang lalu, saya telah terjebak dalam filem aksi yang berinspirasikan sejarah kebangkitan perjuangan Islam melalui siri Dirilis Ertugrul (Kebangkitan Ertugrul). Kisah perjuangan ayah kepada Osman pendiri khilafah Othmaniyah Turki.

- Advertisement -

Filem itu mempunyai 150 episod dan setiap satu episod berdurasi dua jam. Sepanjang PKP, saya sempat khatam 150 episod filem Dirilis Ertugrul.

Tidak saya sahaja, bahkan seluruh dunia menontonnya dan menjadi fenomena. Pakistan menjadi negara paling tinggi jumlah penonton. Filem yang berasaskan perjuangan ini telah menarik 700 juta penggemar dari 146 buah negara di seluruh dunia.

Tidak hairan apabila filem Mat Kilau ini tiba-tiba meletup. Masyarakat sekarang sudah jemu dengan filem yang bercorak cinta pula disogok dengan adegan berahi separa lucah dan sebagainya.

Seawal babak dalam filem Mat Kilau ini telah memaut emosi penonton agar benci pada penjajah. Marah pada kekejaman dan penindasan. Selanjutnya berbangga dengan pahlawan dan pejuang Islam yang bangkit menentang kekejaman.

Bukan sahaja air mata mengalir menyaksikan betapa jerihnya mereka mendepani derita, degupan jantung semakin kencang bersama semangat kebangkitan pahlawan menjalar tanpa sedar dengan diiringi laungan Allahu Akbar, penonton terdidik dengan pengisian iman dan jihad bagi menegakkan Islam di bumi bertuah ini.

Saya bersama keluarga, rakan dan anggota Kluster Dakwah Persilatan Melayu MAIM sekitar 30 orang yang terpaku menonton Mat Kilau, segera menyerap motivasi dari nilai persahabatan para pejuang serta keberanian dan pengorbanan mereka demi Islam, bangsa dan tanah air.

Penyatuan ummah asas kekuatan Islam adalah fakta sejarah yang tiada siapa boleh menafikannya dan telah diketengahkan dengan baik dan bijak menerusi filem ini.

Perpecahan menjadikan umat Islam dan bangsa kita mudah dijajah. Pengkhianat bangsa tumbuh di sepanjang denai hanyir perpecahan ini.

Demi masa depan Islam dan umatnya, kita mesti bangkit berjuang. Tidak boleh berpeluk tubuh. Jangan benarkan umat ini berpecah belah. Biar tubuh berkalang tanah, biar jasad dan nyawa berpisah, perjuangan Islam ini wajib ditegakkan. Perpaduan wajib dipelihara.

Menonton filem Mat Kilau tidak ubah seperti mengambil pengisian taujihah dan tausiyah dari usrah harakiah dalam sebuah gerakan Islam untuk mengkader para pejuang.

Terima kasih buat Saudara Syamsul Yusof yang berani dan berjaya membawa filem ini ke tengah masyarakat. Tepat dan kena pada masanya.

Lebih 10 tahun yang lalu, saya pernah bertemu dengan beberapa pengarah filem hebat negara dan mencadangkan supaya mereka hasilkan filem sejarah perjuangan Islam. Tapi pada waktu itu, mereka tidak berani kerana memikirkan apakah filem genre begini mendapat tempat di hati masyarakat sedang kos pembikinan filemnya sangat tinggi.

Terbaharu, beberapa bulan yang lalu, saya berusaha melalui YADIM dengan usahasama syarikat penerbitan filem untuk menerbitkan filem Tok Guru dan Tok Janggut. Kami telah kemukakannya kepada FINAS. Tahu-tahu muncul filem Mat Kilau. Masya-Allah.

Semoga selepas ini, banyak lagi filem berasaskan inspirasi sejarah perjuangan Islam menempa fenomena di layar perak. Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Tokku Paloh dan ramai lagi yang boleh difilemkan bagi mendidik generasi agar kembali bangkit memperjuangkan Islam. – HARAKAHDAILY 27/6/2022

- Advertisement -