Haji Senik Seligi: Ulamak Melayu pertama di Al-Azhar

- Advertisement -

UNIVERSITI al-Azhar, Mesir merupakan salah sebuah universiti terulung di dunia dan ditubuhkan dalam tahun 972M (361H) oleh Sultan al-Muizz Diinillah, Khalifah Fatimiyah. Selepas kejatuhan Fatimiyah di tangan Sultan Salahuddin al-Ayyubi pada 1174M, Universiti al-Azhar telah menjadi institusi pengajian tinggi Islam yang terkemuka bagi penganut Islam beraliran Sunni. Namun begitu, di Alam Melayu, pengajian tinggi agama hanya wujud secara formal di Perlak dengan tertubuhnya Dayah Cot Kala pada 899M yang melanjutkan peranan Dayah Bukit Ce Brek yang ditubuhkan pada 864M, iaitu setelah Kerajaan Perlak tertubuh pada 840M. Atas sebab itu, Perlak dan kemudiannya Samudera Pasai menjadi pusat pendidikan tinggi Islam yang utama di Nusantara sehingga abad ke-16.

Prof Azyumadi Azra mencatatkan bahawa pada abad ke-17, ulamak-ulamak Melayu dari Sulawesi, Patani, Terengganu dan lain-lain mendalami agama di Aceh, sebelum mereka mula belajar di Makkah pada abad ke-17 di bawah bimbingan Sheikh Ibrahim al-Kurani (m. 1690), iaitu murid ke Sheikh Ahmad Qusyasyi (m. 1661). Dalam abad ke-17 ini, boleh dikatakan ulamak-ulamak Melayu mula menjadikan Makkah sebagai kiblat ilmu mereka, selain Aceh dan Patani yang menjadi pusat pengajian Islam terbesar di Nusantara. Pada pertengahan abad ke-19, buat pertama kali dalam sejarah keilmuan Nusantara, anak Melayu telah menerokai pengajian tinggi Islam di Universiti al-Azhar apabila, Haji Senik Seligi telah belajar di halaqah ilmu Masjid Jamik al-Azhar itu sekitar 1860-an.

Semenjak kedatangan Haji Senik di Universiti al-Azhar itu, orang-orang Melayu, khususnya para ulamak yang belajar di Makkah mulai mengambil kesempatan untuk menuntut ilmu di bumi Kinanah ini, sehingga akhirnya kiblat pendidikan orang Melayu beralih dari Makkah ke Mesir menjelang abad ke-20. Setelah Haji Senik menamatkan pengajiannya di sini, barulah tokoh ulamak besar Alam Melayu, Sheikh Wan Ahmad al-Fathani datang belajar di sini dan akhir mempengaruhi pandangan pelajar-pelajar Melayu terhadap Universiti al-Azhar. Murid-murid Sheikh Wan Ahmad al-Fathani mulai belajar di Mesir pada dekad terakhir abad ke-19. Pada hari ini, lepasan Universiti al-Azhar mempunyai prestij yang tersendiri kerana kedudukan universiti ini sebagai universiti terulung bagi pengikut Sunni. 

Haji Senik Seligi: Sebuah biografi ringkas

Haji Senik Seligi dicatatkan oleh beberapa pengkaji sebagai bernama Haji Senik bin Lebai Salleh bin Tok Doyan dari Kampung Seligi, Pasir Puteh, dan dikatakan seorang ulamak yang sangat alim dalam ilmu al-Quran termasuk qiraat dan taranum, sezaman dan semasyhur Tok Konok (m. 1893), ulamak terkemuka di Kota Bharu. Namun begitu, kebanyakan maklumat lisan dari keluarganya memberitahu hal yang berbeza mengenai asal-usulnya. Beliau dikatakan seorang putera dalam Istana Patani yang berkerabat dekat dengan Sultan Mohammad II (m. 1785), Sultan Patani. Walau bagaimanapun, ekoran kekalahan Patani di tangan Siam pada 1832, keluarganya telah berundur ke Kelantan dan menyembunyikan maklumat keturunan mereka demi keselamatan politik.

Haji Senik dikatakan asalnya bernama Tuan Ahmad bin Tuan Salleh, di mana Tuan Salleh adalah putera kepada Tuan Sulong bin Long Jaafar (Datu Pangkalan), Raja Patani (1817-1932). Datu Pangkalan adalah Raja Patani (1791-1808) yang berasal dari keturunan Raja Khadi, Raja Besut yang kemudian menjadi Raja Sai di Teluban. Hasil persemendaan Datu Pangkalan dengan cucunda Sultan Mohammad II, baginda melahirkan Tengku Lamidin (Raja Patani, 1786-1891) dan Tuan Sulong. Tuan Sulong juga berkerabat dengan Long Yunus (Raja Kelantan, 1762-1795) dan Sultan Zainal Abidin (Raja Terengganu, 1708-1739) di sebelah ibunya, Nang Benua binti Sultan Mohammad II Patani. Tuan Sulong diangkat menjadi Raja Patani pada 1817 mengganti Raja Patani berbangsa Cina, Nai Phai.

Pada 1831, Tuan Sulong sebagai Raja Patani telah berpihak kepada Tengku Kudin dari Kedah dalam Musuh Bisik, iaitu peperangan di antara Kedah dengan Siam. Kerana marahkan tindakan Patani, Siam telah menyerang Patani pada 1832 dan menakluk negeri itu, sehingga memaksa Tuan Sulong dan keluarganya berundur ke Kelantan. Tetapi kerana Siam menyerbu Kelantan dan membunuh Dato’ Seri Maharaja Wan Ahmad, Perdana Menteri Patani dan memaksa Sultan Mohammad I menyerahkan Tuan Sulong, keluarga Tuan Sulong telah dipindahkan secara sulit ke Padang Pak Amat, Pasir Puteh dan akhirnya mereka menetap di Kampung Seligi yang dikuasai oleh Engku Sungai, cucu Long Ghafar. Untuk mengelakkan ditangkap oleh Siam, mereka telah menukar identiti keluarganya.

Haji Senik dianggarkan lahir sekitar 1818 di Istana Gerisik, Patani sedangkan ayahanda dan nendanya berasal dari Kelantan. Ketika beliau tiba di Kelantan, usianya masih belasan tahun. Beliau dipercayai belajar ilmu agama dan ilmu persilatan di Padang Pak Amat kerana turut berhijrah ke sana adalah beberapa orang ulamak dan panglima perang dari Patani. Sekitar 1842, Haji Senik telah dihantar ke Makkah untuk mendalami ilmu agama dan belajar di Makkah sekitar 19 tahun sehingga menjadi seorang yang alim, khususnya dalam ilmu al-Quran lagi hafiz al-Quran. Tidak berpuas hati dengan pencapaian dirinya, sekitar 1860, beliau telah berangkat ke Mesir dan memasuki Universiti al-Azhar sebagai pelajar pertama dari Nusantara yang belajar di sana.

Beliau menadahi halaqat-halaqat ilmu di sana selama enam tahun iaitu ketika universiti tersebut dipimpin oleh Sheikh Muhammad al-Hifnawi (1758-1767) dan Sheikh Abdul Rauf as-Sajini (1767-1769) sebagai Sheikhul Azhar. Pada 1866, beliau meninggalkan Universiti al-Azhar dan kembali ke Makkah untuk mengajar agama di sana, sezaman dengan Tok Wan Ali Kutan, Sheikh Wan Mohd Zain al-Fathani dan lain-lain. Beliau dikatakan mengajar di Makkah selama 15 tahun sehingga berlakunya tragedi ribut taufan di Kelantan pada 1880. Salah seorang muridnya, Sheikh Wan Mohammad Wan Hussein (kemudiannya Mufti Wan Mat Perak), telah mengajaknya pulang ke Kelantan, lalu beliau meninggalkan Makkah bersama dua anaknya yang masih kecil dan tiba di Kelantan pada sekitar 1882.

Dua tahun setelah kepulangannya, Kelantan telah kehilangan Mufti Haji Wan Abdul Rahman Muda yang meninggal dunia pada 1884 setelah berkhidmat sebagai mufti sejak 1842. Sultan Mohammad II telah menawarkan kepada Haji Senik untuk menjadi Mufti Kelantan, tetapi beliau menolaknya kerana bimbang tidak mampu untuk menegakkan syariat. Beliau sebaliknya telah membuka surau di Kampung Seligi untuk mengajar al-Quran. Kerana kemasyhurannya di Makkah, dalam masa yang singkat, suraunya telah bertukar menjadi kampus perpondokkan dengan para pelajar yang datang dari pelbagai tempat terutama dari Perak dan Terengganu. Nama beliau semakin meningkat naik ekoran kematian guru al-Quran terkemuka di Kelantan, Tuan Konok pada 1893.

Pondok Seligi yang diasaskan oleh Haji Senik pada awal 1880-an ini menjadi penerus kepada Pondok Pangkalan Tangga di Semerak dan Pondok Tok Merbol di Saring yang diasaskan pada 1830-an. Bahkan, Pondok Seligi sangat masyhur di kalangan peminat ilmu al-Quran kerana Haji Senik diakui kebolehannya sejak menjadi guru di Makkah lagi dan dianggap lebih hebat daripada Tok Mesir (m. 1909) dan Tok Segora (m. 1930), iaitu guru-guru al-Quran yang terkemuka di Kelantan dan Makkah sezaman dengannya. Kebolehan Haji Senik dalam ilmu tajwid, qiraat dan taranum telah melengkapkan kedudukan beliau sebagai seorang ulamak yang hafiz al-Quran. Beliau mengajar al-Quran di pondoknya dan surau-surau sekitarnya sehingga berlakunya bah besar pada 1926.

Selain alim ilmu al-Quran dan cabang-cabang ilmu agama yang lain, Haji Senik juga terkenal kerana menguasai dan mengamalkan ilmu tasawuf serta bertarekat dengan Tarekat Naqsyabandi Ahmadiyah. Beliau dikatakan mempunyai bilik suluk di rumahnya dan sering kali bersuluk apabila mendapati dirinya mempunyai kecenderungan kepada hal-hal keduniaan. Dipercayai bahawa tindakannya menolak jawatan mufti yang ditawarkan juga adalah berpunca dari kebimbangan beliau terhadap pengaruh kebendaan. Haji Senik juga turut memiliki ilmu seni mempertahankan diri sehingga beliau mampu menewaskan musuh-musuhnya dalam pertarungan setelah kedudukan terancam, terutama oleh gugatan politik Siam ke atas keturunan Raja-raja Patani.

Kerana keuzuran, terutamanya masalah pendengaran dan penglihatan ketika usianya sudah melebihi 100 tahun, telah memaksa beliau berhenti mengajar di pondoknya itu. Keuzuran yang diakibatkan oleh sakit tua telah membuatkan beliau terlantar beberapa tahun dan akhirnya telah menghembuskan nafas terakhirnya dalam tahun 1929 ketika usianya sudah mencecah 111 tahun. Sebahagian keturunannya meriwayatkan secara rawak, bahawa beliau meninggal dunia sekitar usia 120 tahun. Beliau dikebumikan sebagai seorang ulamak, bukan sebagai putera raja di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seligi, tidak jauh dari pondoknya. Haji Senik meninggal beberapa anak daripada beberapa orang isterinya, termasuk Hajah Nik Limah Tok Chor dan Hajah Fatimah Awang Hitam iaitu: 

I. Hajah Lijah
II. Haji Abdul Rahman
III. Haji Abdul Aziz
IV. Imam Haji Che Mamat
V. Hajah Che Bunga
VI. Che Munah
VIII. Che Omar

Peranan Haji Senik terhadap pendidikan Islam di Kelantan

Kepulangan Haji Senik dari Makkah pada awal 1880-an, iaitu selepas peristiwa ribut taufan di Kelantan pada 1880 telah memberikan dampak yang besar kepada perkembangan pendidikan Islam di Kelantan. Walaupun beliau enggan menerima jawatan mufti, tetapi langkahnya membuka pondok di Seligi telah mengembangkan pengajian al-Quran pada tahap tinggi di Kelantan. Walaupun Kelantan mempunyai ramai ulamak, tetapi tidak ramai yang mengkhusus dalam ilmu al-Quran selain Tok Konok, Imam Haji Che Samat Kampung Laut (m. 1896), Tok Mesir dan beberapa yang lain pada akhir abad ke-19 itu. Kehadiran Haji Senik sebagai seorang guru al-Quran yang terkemuka di Makkah sejak pertengahan 1860-an telah mendorong ramai pelajar memenuhi Pondok Seligi ketika itu. 

Dalam sejarah pengajian al-Quran di Kelantan, beberapa nama seperti Sheikh Ibnu Abdul Mu’thi al-Kalantani, penulis kitab Mir’atul Quran (1779) dan Haji Wan Senik atau Tok Tebing (m. 1760-an) merupakan guru al-Quran terkemuka pada akhir abad ke-18, sebelum kemunculan Tok Konok dan Tok Ayah Banggol (Haji Abdul Salam) sejak pertengahan abad ke-19, dan akhirnya Haji Senik Seligi menyertai Imam Haji Che Samat, Tok Mesir, Haji Nik Mat Dagu Sungai Budor (m. 19921), Pak Chu Haji Mat Saman Lambor (m. 1924) dan lain-lain sebagai pengembang ilmu al-Quran di Kelantan. Namun begitu, di kalangan guru-guru al-Quran yang terkemuka pada era ini, mereka tidak dapat mengatasi kebolehan dan kemasyhuran Haji Senik.

Selain jasanya dalam ilmu al-Quran, pembukaan Pondok Seligi pada awal 1880-an sebenarnya bukan sahaja mengaktifkan semula kegiatan perpondokan dalam Jajahan Pasir Puteh, tetapi turut menjadi pondok yang penting dalam dekad 1880-an dan 1890-an, iaitu ketika Kelantan berada di puncak pengaruhnya sebagai pusat pendidikan Islam terbesar di Nusantara sehingga ia digelar Serambi Makkah. Dalam era pemerintahan Sultan Mansor (1891-1900), kemunculan pondok yang banyak di Kota Bharu dan kawasan sekitarnya telah berhasil pula melahirkan ulamak-ulamak besar pada generasi Tok Kenali (m. 1933) seperti Tok Padang Jelapang (m. 1935), Tok Selehor (m. 1935), Haji Abdul Malik Sungai Pinang (m. 1934), Tok Bachok (m. 1953) dan Tok Kemuning (m. 1934).

Langkah penting Haji Senik menerokai peluang pengajian agama di Mesir pada 1860-an sebenarnya telah membuka ruang baru kepada anak-anak Kelantan dalam pendidikan mereka. Setelah Haji Senik kembali ke Makkah menjelang akhir 1860-an, iaitu selepas enam tahun di Mesir dan mula menjadi guru di Makkah, telah memberi inspirasi kepada Sheikh Wan Ahmad al-Fathani yang masih muda saat itu untuk turut belajar di Mesir. Setelah itu, beberapa pelajar Melayu mulai pergi ke Mesir seperti Tok Guru Haji Mohamad Amin Nat Dang, Patani, Tok Guru Haji Daud Kubang Bunut, Tok Mesir dan Tok Guru Haji Abdul Mubin Pulau Beluru. Sejak itu, anak-anak Kelantan mula menjadikan Mesir sebagai tempat pengajian mereka, dan anak Kelantan merupakan kelompok Melayu yang terbesar di Mesir.

Secara tempatan, Haji Senik melalui kegiatannya di Pondok Seligi dan surau-surau di sekitar daerah Selising dan Padang Pak Amat telah berjaya membentuk kehidupan beragama bagi masyarakat setempat. Anak-anak muridnya bukan sahaja menjadi guru al-Quran, bahkan memegang jawatan-jawatan penting seperti imam, khatib dan bilal di beberapa buah masjid, termasuk anaknya sendiri, Haji Che Mamat yang menjadi menjadi Imam Mukim Seligi, manakala Haji Abdul Aziz menjadi guru al-Quran di Kampung Panggung. Sebenarnya peranan seorang tokoh ulamak terhadap penghayatan kehidupan beragama masyarakat setempat sangat penting dalam menilai sumbangan mereka terhadap pendidikan Islam di Kelantan, dan inilah antara peranan besar Haji Senik.

Keseluruhannya, ketokohan Haji Senik sebagai seorang ulamak dari kalangan kerabat diraja Kelantan-Terengganu-Patani memang sangat jelas. Walaupun terpaksa menghadapi keperitan hidup akibat kejatuhan Patani di tangan Siam pada 1832, beliau cepat bangkit melalui permukiman ilmu di Makkah selama 19 tahun sejak 1842 dan di Mesir selama enam tahun, kemudian melayakkannya menjadi guru agama di Makkah selama 15 tahun. Akhirnya, beliau kembali ke Kelantan dan membangunkan Pondok Seligi yang masyhur sebagai pusat pendidikan ilmu-ilmu al-Quran. Kegiatan beliau di Kelantan sejak 1882 itu berakhir dengan peristiwa bah besar pada 1926, dan beliau telah meninggalkan jasa yang sangat besar dalam membangkitkan Kelantan sebagai pusat keilmuan Islam yang penting ketika itu. 

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin – HARAKAHDAILY 27/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -