Generation End Game (GEG)

- Advertisement -

MISI supaya mereka yang lahir bermula Januari 2005 bebas daripada rokok!

Isu berkaitan tembakau dan produk merokok juga merupakan satu ancaman kepada generasi masa hadapan kita kerana produk-produk ini boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan mereka apa lagi jika mereka telah mula merokok sejak usia yang sangat muda.

Di Malaysia, secara keseluruhannya, prevalens perokok yang dilaporkan dalam laporan National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2019 adalah 21.3 peratus. Terdapat sedikit pengurangan berbanding dengan prevalen yang dilaporkan dalam laporan National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2015 iaitu 22.8 peratus.

Dianggarkan 4.8 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas kini merokok. Selain itu, dianggarkan juga lebih daripada 27,000 kematian rakyat Malaysia setiap tahun adalah berkaitan dengan merokok. Prevalenperokok di kalangan orang dewasa di Malaysia tidak menunjukkan pengurangan yang ketara dalam tempoh satu dekad yang lepas.

Berdasarkan World Health Organization (WHO) Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC), Pelan Strategik Kebangsaan bagi Kawalan Tembakau atau National Strategic Plan on Tobacco Control telah dibangunkan bermula tahun 2015 untuk memperkukuh pelaksanaan kawalan tembakau di Malaysia.

Pelan Strategik 2015 – 2020 adalah merupakan Pelan Strategik pertama di mana sasaran utama adalah untuk mengurangkan prevalen perokok kepada 15 peratus menjelang tahun 2025, selaras dengan WHO Non-Communicable Diseases Global Target; dan ke arah sasaran untuk mencapai ‘The Endgame’ tembakau di Malaysia menjelang 2045 di mana prevalen perokok kurang dari 5 peratus.

Walau bagaimanapun, melalui Pelan Strategik Kebangsaan bagi Kawalan Tembakau dan Produk Merokok yang kedua bagi tempoh 2021 – 2030, sasaran untuk mencapai ‘The Endgame” diawalkan kepada tahun 2040. Ini berikutan isu lambakan produk merokok di pasaran termasuk rokok elektronik atau vape serta penambahan beban kos kesihatan yang terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan akibat komplikasi merokok.

Kos rawatan juga adalah lebih tinggi bagi merawat perokok yang dijangkiti COVID-19 kerana melalui kajian yang dijalankan di kalangan 5,889 pesakit COVID-19 di Malaysia, perokok mempunyai risiko dua (2) kali ganda lebih tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk berbanding orang yang tidak merokok.

YB USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN 
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Negeri Perak – HARKAAHDAILY 27/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -