Evolusi teknologi kewangan dan cabarannya

- Advertisement -

KEDATANGAN Rasulullah S.A.W dan penetapan Sunnah Baginda menandakan perpisahan dari gaya hidup kaum Musyrikin Quraisy yang bukan sahaja ketinggalan zaman namun juga zalim dan menindas. Mata wang denarius emas Rumawi dan drakhma perak Parsi Sassaniyah, setiapnya lazim dan terkenal dalam kalangan bangsa Arab sebagai dinar dan dirham, dipilih dan diiktiraf sebagai mata wang yang sah bagi menampung urus niaga dalam suq (pasar) yang diasaskan dengan tujuan memecahkan monopoli ekonomi tidak adil yang diamalkan sekian lama.

Perkataan ‘karat’ berasal dari perkataan Arab qirat, iaitu satu unit berat yang diukur dari biji karob. Berat dinar ditetapkan 24 qirat bersamaan dengan 4.5 gram emas tulen. Al-Quran mengiktiraf tarikan alamiah galian berkilauan kepada manusia dan menyebutkan ganjaran syurgawi berbentuk emas, perak, dan perhiasan bertatahkan permata untuk para solihin di Akhirat (Surah al-Kahf ayat 31; Surah Hajj ayat 23; Surah Fatir ayat 33; Surah al-Waqi‘ah ayat 15). Menurut Imam al-Ghazali (wafat 1111 M) dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din, Allah ‘azza wa jalla menjadikan emas dan perak dengan peranan sebagai penentu nilai yang adil dalam perdagangan. 

Namun, dalam sejarah ada terakam kegiatan pemalsuan kepingan wang dengan cara mencampurkan dengan logam lain yang kurang bernilai. Oleh sebab sifat fizikal emas tulen adalah lembut, kualiti syiling emas tulen merosot dari semasa ke semasa apabila bertukar tangan, manakala kepingan yang digigit tetapi tiada meninggalkan tanda mendedahkan duit palsu. Oleh itu, cukai merupakan cara mengutip duit terpakai demi menjaga keutuhan setiap kepingan. Duit yang baru ditempa menggantikan kepingan yang lama dan diedarkan dalam bentuk gaji dan pembayaran tunai bagi mengekalkan aliran bekalan wang.

Pada abad ke-17 dan ke-18, rancangan pematematikan oleh René Descartes dan Isaac Newton membawa gambaran dunia yang mekanikal. Natijahnya, benda fizikal mudah dipecahkan kepada bahagian-bahagian dan diabstrak secara matematik termasuklah wang yang turut diabstrak dari nilai dalamannya. Penyahwangan (demonetization) mengeluarkan wang lama dari edaran dan menggantikannya dengan cetakan baru yang dilengkapkan ciri-ciri keselamatan terkini untuk mencegah pemalsuan. 

Kemunculan elektronik dan era digital membolehkan wang dipindahkan segera merentas sempadan dunia. Hal ini dapat dilaksanakan dengan sistem yang memastikan keselamatan, ketekalan, dan keutuhan nilai kewangan. Walaupun yang demikian, sebarang jenis mata wang baharu yang dibina dari sistem maya dan matematik abstrak hanya boleh berfungsi dengan baik setakat mana ia terpelihara dari sebarang tipu daya. Sejarah mengingatkan bahawa sebarang peraturan ciptaan manusia ada kelemahannya dan terdedah kepada tipu daya oleh manusia yang lain. 

Maka, sistem dalam teknologi kewangan yang kian meningkat rumit mendesak keperluan untuk lebih ramai pakar dan ilmuwan yang tidak hanya memahaminya secara keseluruhan bahkan juga terdidik dengan ilmu asas agama dan akhlak yang mencegah kerosakan dan menghindar keburukannya.

DR. MUHAMMAD HUSNI MOHD AMIN
Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM – HARAKAHDAILY 27/6/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100064392321114/posts/pfbid0QDe72GNkvZL39C7TptFfupDozPvvhvtK894f9XQDBoakykHnkALwFZhQj9ZC7CiEl/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -