EVALI: Kerosakan paru-paru akibat vape

- Advertisement -

TAHUN 2015 lagi kami dah beri amaran bahawa vape bahaya. Tetapi boleh bayangkan pada masa itu ramai vapers dan perokok tegar menyerang kami dengan menuduh mereka-cipta penyakit yang tak akan wujud. 

Ya lah pada masa itu bukti kecederaan paru-paru akibat sedut vape adalah terhad. Jumlah kes pada masa itu tidak nampak dengan jelas, kecuali beberapa kajian kes yang serius berlaku di luar negara. Vapers menyangkalnya dengan menuduh kes-kes tersebut adalah terpencil.

Kami bersyukur, sejak 2015 sekarang, kami masih utuh menyatakan vape itu bahaya. Setelah 7 tahun berlalu, bukti kerosakan umat semakin menyerlah akibat sedut vape.

Majlis Fatwa pun turut bersama KKM dengan memutuskan fatwa vape adalah haram. Keputusan rasmi MKI pada 21 Disember 2015 jelas memutuskan pengharaman vape atas beberapa dasar hukum. 

Antara asas fiqh yang dinyatakan adalah vape itu membahayakan kesihatan, membazir dan tidak terbukti membantu rawatan penagih rokok. 

Kita tidak mahu rentak yang sama atas pengharaman rokok sekitar 50 tahun lalu. Oleh kerana ketidaktegasan pihak berwajib dan keputusan hukum pada masa tersebut, rokok terus subur berleluasa. 

Hinggakan kerajaan sendiri membuka industri tembakau bagi meraih ekonomi negara. Sekarang kita menanggung kerosakan umat hasil dari bahana tembakau yang terlalu sukar dibanteras. Kerajaan terpaksa menanggung RM4 bilion setahun bagi merawat perokok dan komplikasinya. 

Kita wajib belajar dari sejarah ini. Vape perlu dibanteras segera dan tegas! Usaha kami tidak akan berhasil jika semata-mata mengharapkan KKM, tetapi semua pihak termasuk setiap individu dalam masyarakat mempunyai kesedaran ini.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 27/6/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -