Ceroboh hutan: MGP jadi mata, telinga pihak berkuasa

- Advertisement -

KAMPAR: Malim Gunung Perhutanan (MGP) akan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa bagi membendung sebarang kegiatan pencerobohan hutan selain menjadi panduan kepada pendaki gunung.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kehadiran MGP itu antara lain dapat membantu Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dari segi penguatkuasaan pencerobohan hutan, pemburuan haram dan kepupusan haiwan.

- Advertisement -

“Selain tugasnya bagi meningkatkan tahap keselamatan pendaki, MGP turut menjadi mata dan telinga berkenaan penguatkuasaan hutan.

“Jika kita lihat ketika ini pemburuan Harimau Malaya dan gajah semakin berleluasa, jadi bagi mengatasi masalah ini, mereka (MGP) akan menjadi antara mata dan telinga kepada kerajaan,” katanya selepas menutup kursus MGP Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata kementerian bersetuju untuk pemberian insentif one-off sebanyak RM600 kepada 590 MGP seluruh negara yang telah menjalani kursus selama enam puluh jam pada tahun ini.

“Setakat ini kita menyasarkan sasaran seramai 1,000 orang. Saya percaya tawaran saya hari ini dapat menarik minat ramai orang lagi untuk turut serta,” tambahnya.

MGP merupakan konsep yang diperkenalkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan diterajui oleh Jabatan Perhutanan yang antara lain bagi memastikan pengurusan aktiviti pendakian lebih teratur dan selamat. – BERNAMA

- Advertisement -