Badan beruniform bentuk personaliti, kapasiti diri

- Advertisement -

PENGAKAP pula! Sewaktu di sekolah rendah, saya hanya mampu memandang sahaja kawan-kawan memakai uniform pengakap, berlatih kawad dan menyertai perkhemahan pengakap. Keluarga tidak ada kemampuan untuk membeli uniform, walaupun sekadar skarf di leher. 

Di sekolah menengah saya sertai aktiviti ko-kurikulum yang tidak perlukan uniform khusus, jadi saya sertai Seni Silat Pusaka Gayung, yang hanya perlu pakai track suit hitam dengan baju melayu hitam (mak pinjam daripada arwah Pak Long Mud saja).

Masuk Universiti, saya sertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) TLDM kerana disediakan elaun latihan dan elaun tahunan. Mudah-mudahan saya tidak perlu meminta duit daripada mak ayah lagi sepanjang pengajian. Betul! Saya habiskan pengajian di universiti tanpa meminta belanja daripada mak ayah lagi. 

Hanya ketika mahu membeli motosikal Suzuki Best terpakai berharga RM1,600 di tahun 3, saya meminta bantuan daripada Abang Budin yang masih berkhidmat sebagai penyelam dalam TLDM sebanyak RM1,000. Kerana duit tidak cukup untuk membeli motosikal, sahabat sejati dalam PALAPES TLDM, saudara Heng Chin Yan ‘sedekah’ elaunnya tanpa perlu bayar semula RM400. 

Uniform juga ditempah pakai duit elaun itu. Walaupun uniform percuma memang disediakan, tapi fabrik kasar dan keras itu kurang kemas dan kurang sesuai untuk pegawai. Kasut,stokin, tali pinggang, dan topi saja boleh pakai yang dibekalkan. 

Daripada niat nak dapat elaun, timbul pula minat dan keseronokan menjalani latihan fizikal dan akademik dalam TLDM. Tambahan pula saya dilantik sebagai Rank Holder (Thana Div) dan kemudian dilantik sebagai Pegawai Memerintah (CO) PALAPES TLDM USM.

Menyertai badan beruniform sememangnya membentuk disiplin, menambah ilmu, meningkatkan kemahiran dan membina kapasiti diri. Sebahagian besar personaliti dan kapasiti terbentuk melalui aktiviti badan beruniform, apatah lagi melalui latihan ketenteraan. 

Kepada adik-adik dan anak-anak yang berpeluang menyertai aktiviti seperti ini, rebutlah peluang keemasan yang hanya datang sekali sahaja dalam hidup ini ketika usia masih muda. Jangan membuang masa muda kita dengan perkara sia-sia. Usia muda dan peluang itu tidak akan datang kepada kita lagi.

YAB DATO’ SERI MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 27/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -