PAS: Wadah politik terbaik

- Advertisement -

SAYA yakin ramai yang sedang mencari wadah politik terbaik untuk negara ketika ini. Oleh itu, saya ingin mengajak semua untuk berfikir beberapa alasan berikut sebagai pendorong untuk memilih PAS.

PAS merupakan sebuah parti politik yang mengekalkan nuansa kepimpinan ulama. Beberapa tokoh ulama yang memimpin masyarakat telah lahir daripada sulbi perjuangan PAS antaranya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat serta Tuan Guru Haron Din.

Kepimpinan semasa di bawah YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS serta Mursyidul Am, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin menerajui PAS serta masyarakat amnya berpandukan kepada landasan syariat Islam.

Parti ini sudah melepasi usia tujuh dekad, namun masih mengekalkan relevansinya. Segala tindak-tanduk PAS berdasarkan kepada prinsip dan rujukan agama yang jelas dan banyak mata-mata masih mengintai perjalanan parti ini.

- Advertisement -

Tindakan yang diambil kepimpinan PAS tidak hanya sekadar menuruti kepentingan politik, bahkah PAS ada hujah yang tersendiri untuk bertindak atas sesuatu sikap dan tindakan. Dengan keterbatasan kekuatan politik yang dimiliki oleh PAS, PAS istiqamah meletakkan kepentingan Islam, perpaduan ummah dan negara sebagai keutamaan.

PAS dilatari oleh sokongan pelbagai golongan dan latar masyarakat. Ada petani, penoreh getah dan pesawah. Bahkan ada juga golongan profesional yang menjadi pendukung kuat perjuangan ini.

Mereka memilih PAS kerana prinsip Islam yang diperjuangkan PAS adalah jelas. Malah, PAS juga menggariskan gagasan yang telus bagi mentadbir negara melalui Wawasan Induk Negara Sejahtera.

PAS mempelopori budaya politik matang dan sejahtera (BPMS) dan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah adalah antara contoh terbaik bagaimana BPMS diterjemah ke dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Budaya ‘hapus buang’ dasar kerajaan lama hanya kerana kepentingan politik dihentikan. Sebaliknya apa jua dasar yang baik untuk rakyat tetap diteruskan serta ditambah baik.

Pentadbiran PAS sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan telah terbukti bebas rasuah dan salah laku. Malah selepas dua tahun pemerintahan di bawah Kerajaan PN juga tidak ada pimpinan PAS yang disabitkan kes rasuah.

Ini semua adalah nilai ihsan yang diterapkan dalam diri. Ia menjadi pendinding kuat kepada kepimpinan PAS di mana jua tempat mereka dikalungkan dengan amanah dan tanggungjawab.

YB SENATOR USTAZ DATO’ AHMAD YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
26 Zulkaedah 1443 / 26 Jun 2022 – HARAKAHDAILY 26/6/2022

- Advertisement -