Ladang solar kurangkan 131,400 tan metrik karbon dioksida

- Advertisement -

PASIR MAS: Projek Ladang Solar Danau To’ Uban dijangka dapat mengurangkan 131,400 tan metrik karbon dioksida setiap tahun yang memberi kesan negatif terhadap kehidupan manusia.

Anggota Exco kerajaan negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, projek ladang solar dapat mengurangkan kesan terhadap rakyat Kelantan khasnya apabila berlaku perubahan iklim dan cuaca di luar jangkaan.

Katanya peningkatan karbon dioksida (CO²) dapat mengakibatkan pemanasan global yang membawa kepada rantaian peristiwa malapetaka seperti kenaikan purata suhu yang mengakibatkan kenaikan paras laut, perubahan keadaan iklim dan corak taburan hujan.

- Advertisement -

“40 giga tan CO² yang larut ke lautan boleh menyebabkan kesan pengasidan yang ketara sehingga boleh membunuh haiwan bercengkerang dan hidupan laut lain,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Kata beliau jumlah CO² terlarut menyebabkan suhu lautan dan bumi akan meningkat dan menyebabkan perubahan iklim yang besar.

Menurutnya kawasan berhampiran khatulistiwa akan menjadi tandus dan hutan hujan akan tumbuh di kawasan beriklim sederhana.

“Karbon dioksida yang berlebihan dalam darah dikenali sebagai hypercapnia. Pesakit hypercapnia secara akut boleh mengalami pernafasan laju, jantung berdebar-debar takikardia, dispnea, kulit kemerah-merahan, kekeliruan, sakit kepala dan pening.

“Sekiranya hypercapnia semakin teruk sehingga menjadi kronik, pesakit akan terdedah kepada kegagalan jantung kanan untuk berfungsi, masalah metabolik dan risiko kematian mengejut,” katanya.

Oleh itu kata beliau bagi mengurangkan kadar pelepasan CO² ke udara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mengurangkan 50 peratus penggunaan arang batu pada tahun 2035 dan tidak menggunakan bahan api fosil pada tahun 2050.

Menurutnya juga pembangunan tenaga hijau yang boleh diperbaharui sangat penting bagi menjamin kelestarian dan kelangsungan hidup di planet ini.

Tuan Saripudin juga berkata, kelancaran kerja-kerja pemasangan pulau solar terapung di Danau To’ Uban hampir siap di mana 19 pulau sudah lengkap dan bakinya hanya sebuah pulau lagi.

“Kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam melaksanakan setiap projek yang dibangunkan termasuk projek ladang solar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/6/2022

- Advertisement -