PRU15: PAS Perak pelawa Tajuddin bertanding atas tiket PN

Sekiranya kerusi Parlimen Pasir Salak jadi milik PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Negeri Perak mempelawa Dato’ Seri Tajuddin Abdul Rahman untuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) mewakili PAS sekiranya kerusi Parlimen Pasir Salak menjadi milik parti ini dalam pembahagian kerusi bersama PN.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria memberi reaksi sedemikian sebagai membayangkan kemungkinan Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak tidak diberi peluang bertanding lagi di kerusi tersebut pada PRU15 mewakili Barisan Nasional (BN).

Pandangan tersebut susulan Tajuddin yang baharu dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia telah digugurkan daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno melalui surat Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, 21 Jun lalu.

Bagaimanapun, Zahid dalam surat itu difahamkan tidak menyatakan sebarang sebab pemecatan Ahli Parlimen Pasir Salak itu, sebaliknya dalam reaksi kemudian setelah itu ada dilaporkan media bahawa dia berkata Tajuddin tahu sebabnya.

Tajuddin yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia pada jawatannya dalam MKT Umno merupakan Pengarah Strategi Pilihan Raya Umno dan telah berkecimpung dalam politik sejak awal tahun 1980-an lagi.

Razman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak menegaskan bahawa pendirian PAS sama sekali tidak akan mencampuri urusan dalaman mana-mana parti lain.

“Tetapi sekarang telah diuar-uarkan bahawa pilihan raya akan diadakan pada bila-bila masa. Bukan sahaja oleh mereka dalam kalangan Kluster Mahkamah tetapi juga kenyataan Perdana Menteri.

“Jika sekiranya berlaku PRU15 dan Dato’ Tajuddin tidak diberi tempat dalam BN, maka PAS Perak sedia menawarkan beliau bertanding atas tiket PN mewakili PAS.

“(Itu) sekiranya kerusi Pasir Salak itu menjadi milik PAS dalam pembahagian kerusi bersama PN,” ujar beliau yang juga ADUN Gunung Semanggol. – HARAKAHDAILY 25/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -