Malaysia rancang subsidi RM77.3 bilion perangi inflasi

Unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan berjumlah RM77.3 bilion bagi 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh kerajaan Malaysia.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka membelanjakan sebanyak RM77.3 bilion ringgit dalam bentuk subsidi dan bantuan tunai pada tahun ini, jumlah terbesar dalam sejarah, untuk membantu meredakan kesan kenaikan harga.

Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan pada Sabtu (25 Jun) menegaskan bahawa negara ini diunjurkan bagi membelanjakan sebanyak RM51 bilion untuk subsidi pengguna termasuk bahan api, elektrik dan makanan.

- Advertisement -

“Unjuran subsidi kepenggunaan ini meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) (RM37.3 bilion); minyak masak paket 1 kilogram (RM4 bilion); dan lain-lain termasuk ayam, telur, tepung dan sebagainya bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, serta bil elektrik (RM9.7 bilion), tidak termasuk bantuan kebajikan lain.

“Kerajaan juga akan mengagihkan Bantuan Kebajikan Masyarakat, termasuk Bantuan Keluarga Malaysia sebanyak RM11.7 bilion) dan RM14.6 bilion ringgit untuk lain-lain subsidi,” katanya.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Tambah Zafrul, unjuran subsidi untuk 2022 itu adalah jika harga bersubsidi serta harga pasaran minyak, arang batu dan komoditi lain kekal pada paras semasa.

“Kerajaan juga ingin memaklumkan bahawa bagi subsidi menyeluruh (blanket subsidies) meliputi petrol, diesel, air dan elektrik, yang mana golongan M40 dan T20 juga mendapat manfaat yang besar,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, kerajaan peka dengan harga barangan yang telah melonjak di Malaysia sejak beberapa bulan kebelakangan ini akibat gangguan rantaian bekalan, kekurangan buruh dan kesan perang di Ukraine.

Terdahulu, kerajaan Malaysia pada Rabu (22 Jun), berkata ia akan mengagihkan sebanyak RM1.74 bilion pada bulan ini untuk membantu isi rumah menghadapi peningkatan kos makanan dan sara hidup. – HARAKAHDAILY 25/6/2022

- Advertisement -