Jijiknya rasuah di mata rakyat Kelantan

- Advertisement -

BILA bercakap bab rasuah, teringat akan ucapan Allahyarham Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat:

“Dalam Islam integriti dipupuk dalam dua rukun Iman iaitu keimanan kepada Allah dan keimanan kepada hari pembalasan. Dua rukun ini menjadi inti utama bagi menghalang manusia dari melakukan sebarang maksiat.”

Mutakhir ini, ada pihak menyebut kerajaan Kelantan hari ini tidak sama dengan zaman Allahyarham Tok Guru Nik Aziz. Tetapi mereka terpaksa bersetuju bahawa kerajaan di bawah Menteri Besar Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob terus berpegang teguh dengan dua rukun iman di atas.

Dalam kalangan pimpinan utama PAS, tiada seorang pun yang didakwa di mahkamah atas isu rasuah. Manakala jika kita lihat kebelakangan ini, ramai pimpinan utama parti-parti lain didakwa atas pertuduhan rasuah dan pecah amanah.

Dari Umno, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak bekas Presidennya yang juga bekas Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Pekan telah disabit bersalah di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk pula sedang berhadapan dengan puluhan tuduhan rasuah.

‘Wakil’ Pakatan Harapan, Lim Guan Eng dari DAP juga Ahli Parlimen Bagan dan bekas Menteri Kewangan serta bekas Ketua Menteri Pulau Pinang pula sedang dibicara di bawah pertuduhan yang sama.

Begitu juga dari MUDA yang baru setahun jagung dalam politik, Presiden parti mereka yang merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan juga Ahli Parlimen Muar sendiri sedang dibicarakan atas pertuduhan pecah amanah.

Mereka ini bukan pimpinan bawahan. Mereka semua pimpinan utama parti.

Bila melihat keadaan ini, teringat pula akan kuliah Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Hadi. Beliau menceritakan mengenai dialog Abu Sufyan RA dan Raja Rom yang bernama Heraclius. Heraclius ingin tahu mengenai sifat Rasulullah SAW.

Di antara soalan Raja Rom itu berkenaan Rasulullah SAW adalah, “Adakah Muhammad ini pernah melakukan khianat?”. Dan Abu Sufyan menjawab bahawa Baginda tidak pernah mengkhianati amanah.

Dengan sifat itu, Raja Rom itu akhirnya mengakui bahawa inilah ciri-ciri seorang Rasul utusan Allah.

Rasulullah SAW itu contoh terbaik bagi sekalian manusia, dan ciri inilah yang menjadi ikutan pimpinan PAS. Pimpinan PAS tidak pernah didakwa, bukan kerana kelebihan diri sendiri. Manusia itu tidak mulia kerana dirinya, tetapi mulia kerana berpegang dengan ajaran Islam.

Pimpinan PAS, merekalah yang selalu berpesan kepada diri mereka sendiri dan kepada ahli PAS bahawa kita semua hanyalah hamba yang mempunyai Tuhan, dan setelah mati akan dihidupkan kembali untuk bertemu Tuhan kita di Hari Pembalasan.

Dipasak sekuat-kuatnya, mereka yang makan rasuah ini, mungkin kaya di dunia, tetapi pasti miskin papa kedana di akhirat. Diulang-ulang dalam ucapan dan tulisan, sehingga akhirnya rasuah dan pemakan rasuah dilihat jijik! Tidak layak diambil menjadi kawan, apatah lagi untuk diangkat menjadi pemimpin.

Ibarat mudah, seorang yang berwuduk, tidak akan solat di belakang imam yang tidak berwuduk. Lagi parah, jika seorang imam yang terkentut dan seluruh makmum mengetahui dia tidak lagi layak menjadi imam, masih berkeras ingin memimpin solat.

Begitulah halnya dengan parti-parti yang seluruh rakyat Malaysia sudah tahu bahawa pimpinan utama mereka terpalit dengan kes rasuah, tetapi dengan muka tidak tahu malu terus meminta rakyat memilih mereka dan terus bercakap soal integriti. Cakap tidak serupa bikin.

Rakyat Kelantan sedar sepenuhnya, sepanjang 32 tahun PAS mentadbir Kelantan, tidak ada seorang pun pimpinan utama kerajaan negeri yang didakwa di mahkamah di bawah pertuduhan rasuah dan pecah amanah. Di dalam hati rakyat Kelantan ada ketenangan yang menyejukkan, kerana mereka tahu negeri mereka dipimpin oleh ‘ore bejughuh’.

Negeri Kelantan mungkin dilihat mundur di mata manusia, tetapi mulia di sisi Allah. Mulia kerana mengambil agama Allah sebagai dasar dalam pentadbiran. Dan rakyat Kelantan yang masyhur dengan kefahaman ilmu agama, sentiasa yakin bahawa negeri ditadbir oleh kerajaan yang diredhai Allah, pasti akan makmur dan diberkati.

“Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, pasti Kami(Allah) akan melimpahkan ke atas mereka keberkatan dari langit dan bumi..” (Al-A’raf: 96)

“Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah akan jadikan baginya jalan keluar.” (At-Talaaq: 2)

MUHAMMAD NABIL ZULKIFLI
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 25/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -