HFMD: Tiada kes di Kedah alami komplikasi teruk

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Sehingga sekarang tiada kes pesakit yang mengalami penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, semua kes yang dilaporkan hanya mempunyai gejala ringan dan diberi rawatan pesakit luar.

Katanya, Kedah mencatat 531 kes baharu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sehingga 18 Jun lalu.

Menurut beliau jumlah berkenaan menunjukkan penurunan sebanyak 171 kes (24.4 peratus) berbanding minggu lalu.

- Advertisement -

“Jumlah kes HFMD di Kedah sehingga 18 Jun lepas sebanyak 5,425 kes berbanding ketika fasa pandemik Covid-19 (2019) 4,605 kes (561.6 peratus),” katanya pada satu kenyataan di sini.

Kata beliau pada minggu sama sebuah taska diarah tutup berikutan dilaporkan terdapat kes wabak baharu HFMD, tindakan itu selaras Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya, dalam tempoh sama 51 kes HFMD dikesan, di mana 98 peratus berlaku di pusat asuhan kanak-kanak.

“Sebanyak 49 daripadanya diarahkan tutup sementara bagi tujuan sanitasi untuk mencegah jangkitan,” ujarnya.

Daerah Kuala Muda mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 1,337 kes (24.6 peratus), diikuti Kulim 806 kes (14.9 peratus), Kubang Pasu 797 kes (14.7 peratus) dan Kota Setar 537 (9.9 peratus).

Penyakit HFMD disebabkan jangkitan pelbagai jenis virus, terutama virus Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71). Virus merebak melalui kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.

“Majoriti jangkitan menunjukkan gejala ringan (mild) seperti demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah,” katanya.

Menurutnya juga hampir keseluruhan pesakit yang menghidap HFMD pulih tanpa memerlukan rawatan khusus dalam masa tujuh hari ke-10.

Bagaimanapun katanya, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis (jangkitan otak), pneumonitis (paru-paru) dan myocarditis (otot jantung).

Oleh itu katanya Jabatan Kesihatan Kedah berharap orang ramai berwaspada dan mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko dijangkiti.

Antaranya menjaga kebersihan diri, rumah dan persekitaran, kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun dan elak menghantar anak bergejala atau mempunyai tanda jangkitan ke pusat jagaan atau sekolah.

“Sekiranya anak dilihat mempunyai tanda-tanda atau gejala terutama demam, ruam di tangan, kaki dan mulut, segera bawa ke klinik untuk rawatan.

“Jangan membawa anak-anak ke tempat awam yang sesak seperti kolam renang, pasar, pusat membeli belah dan pasar malam,” tambahnya.

Beliau turut menasihat pengusaha dan pengurusan pusat jagaan seperti taska, tadika dan prasekolah melakukan disinfeksi nyah kuman pada permukaan tercemar. – HARAKAHDAILY 24/6/2022

- Advertisement -