Pupuk kepakaran kaum wanita dalam sektor teknologi

- Advertisement -

PETANG ini (semalam) saya menerima kunjungan delegasi dari Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan di pejabat saya MOSTI. Sesi ramah mesra dan bertukar pandangan selama satu jam setengah ini berlangsung dengan penuh kemesraan.

Saya memulakan pertemuan dengan memperkenalkan MOSTI dan agensi-agensi yang diselia oleh MOSTI serta bidang kuasa serta tanggungjawab di bawah MOSTI.

Delegasi yang diketuai oleh Yang Dipertua PAS Wilayah, Al Fadhil Ustaz Haji Azhar bin Yahya tadi begitu berminat terhadap maklumat yang telah dikongsikan.

Antaranya berkenaan Pandemik COVID-19. Kunci kepada kejayaan negara dan dunia keluar dari Pandemik COVID-19 ialah program vaksinasi. Kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dikendali bersama KKM dan MOSTI telah membawa Malaysia memasuki fasa peralihan Endemik pada 1 April 2022 yang lalu.

Saya turut menyentuh berkenaan wanita dan profesionalisma. Saya cukup merasa gembira apabila apa yang sentiasa saya bincangkan dengan Dato’ Dr. Ts. Siti Hamisah Tapsir, Presiden Malaysia Board of Technologies MBOT, ketika beliau masih menjadi Ketua Setiausaha Kementerian MOSTI mengenai memastikan bakat dan kepakaran kaum wanita dalam sektor teknologi dipastikan terus dipupuk, dipertahankan dan tidak sia sia ekoran tekanan tanggungjawab lain wanita sebagai isteri, ibu sedang diusahakan.

Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) telah menubuhkan satu jawatankuasa yang dipanggil Women Technologist Chapter bagi menggalakkan jumlah teknologis profesional dalam kalangan wanita yang masih rendah peratusnya di Malaysia. 

MBOT kini dalam perancangan untuk laksanakan program-program seperti bagaimana mahu mengimbangi antara kerjaya dan keluarga, bagaimana menguruskan stres dan sebagainya dalam tahun ini bagi memperkasakan golongan ini.

PAS sebenarnya tidak pernah ketandusan profesional di kalangan lelaki mahupun wanita yang siap siaga menjadi barisan hadapan jika diperlukan negara. Di dalam PAS terdapatnya sebuah jabatan yang dinamakan Jabatan Profesional Muda (JPro) di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia yang di dalamnya terdapat ramai pakar-pakar dalam pelbagai bidang.

Saya juga menyebut mengenai konsep keluarga yang selalu disebut oleh Presiden PAS, Tan Sri Dato’Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Kita mesti jadikan PAS tempat yang boleh diletak pergantungan, harapan oleh semua, termasuk kaum lain.

PAS mesti sentiasa memberi isyarat bahawa semua kaum didekati dan tidak diketepikan.

Sekali lagi saya ucapkan terima kasih atas kunjungan pada hari ini. Semoga ada kebaikan di sisi Allah S.W.T, InsyaAllah

YB DATO’ AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
Timbalan Menteri
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) – HARAKAHDAILY 24/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -