PRU: PAS setuju habis penggal, jika perlu boleh disegera

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

MARANG:
PAS pada dasarnya bersetuju pilihan raya umum (PRU) diadakan sehingga habis penggal (PRU14) pada Julai 2023.

Namun, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, jika keadaan memerlukan bagi membina kekuatan dalam sesebuah kerajaan pilihan raya perlu disegerakan.

“Pada dasarnya, kita bersetuju pilihan raya diadakan sehingga habis penggal. Tetapi, kadang-kadang keadaan yang memerlukan untuk membina kekuatan dalam kerajaan perlu disegerakan pilihan raya itu, tengok keadaanlah,” ujarnya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, hari ini.

Ketika ditanya tentang kritikan pihak tertentu terhadap kepimpinan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri paling lemah, Tuan Guru Abdul Hadi menafikannya.

“Tak betul tu, itu salah. Tak boleh beban atas dia seorang. Dia kena sedar, dia semua Perdana Menteri ini memerintah secara kolektif, (ada) dengan Kabinet dia.

“Alhamdulillah, berjaya menangani banyak masalah dalam suasana yang sangat mencabar. Covid-19, wabak yang belum habis lagi, kita kena sedar,” jelasnya.

Sebaliknya, kata beliau pencapaian Perdana Menteri cukup baik kerana banyak masalah rakyat dapat diatasi dalam keadaan penuh cabaran.

“Alhamdulillah, pencapaiannya baik, dalam keadaan yang mencabar dan nak selesai 100 peratus, tak boleh tapi banyak yang selesai.

“Beliau memikul bebanan peninggalan kerajaan dahulu, terpaksa kena baiki baliklah. Kita harap beri sokonganlah kepada Perdana Menteri. Selesai isu-isu ini dan rakyat jadi pembantu,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menyifatkan masalah inflasi yang menimpa negara kerana kesan daripada yang berlaku di seluruh dunia.

“Masalah inflasi yang melanda seluruh dunia, bukan Malaysia sahaja. Malaysia duduk dalam dunia, bukan Malaysia luar dunia.

“Kita menghadapi masalah inflasi dunia yang mencabar. Orang cakap tu, orang tak reti, tak tahu. Orang yang jahil politik,” tegasnya.

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi, setiap minggu Kabinet bermesyuarat bersama bagi mencari penyelesaian masalah rakyat.

Selain itu, katanya PAS masih meneruskan hubungan dalam Muafakat Nasional (MN) demi mempertahankan perpaduan ummah.

“PAS masih terus hubungan, agenda kita mempertahankan perpaduan ummah. Pertahankan MN dan perkukuhkan PN, dua-dua sekali,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/6/2022

- Advertisement -