NGO desak siasat bekas Adun di bawah Akta Hasutan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Laporan polis terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Siti Aisyah Sheik Ismail dibuat oleh Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), di sini, petang tadi.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa, laporan polis itu berikutan kenyataan Siti Aisyah melalui satu rakaman video di Facebook yang dilihat berbahaya kerana menyebarkan kebencian kepada kerajaan.

Malah katanya, kenyataan Siti Aisyah boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan kerana mendakwa kerajaan akan menghapuskan semua subsidi dalam negara.

Sedangkan kata Mohd Zai, hakikat sebenarnya tidak semua subsidi dihapuskan kerajaan.

“Kenyataan beliau ini juga telah disebar luas dalam media sosial seperti WhatsApp. Oleh itu, saya minta pihak polis membuat siasatan ke atasnya,” katanya dalam satu kenyataan, selepas selesai membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, hari ini.

Siti Aisyah dalam video berkenaan berkata, bermula 1 Julai ini, semua subsidi dalam negara akan dilupuskan semua.

Katanya, semua subsidi yang membantu rakyat dari bebanan harga semuanya akan diambil semula oleh pemerintah negara.

Tambah Siti Aisyah, 1 Julai bukanlah tarikh keramat, tetapi adalah tarikh derita.

Justeru, Mohd Zai percaya kenyataan Siti Aisyah merupakan ini satu kesalahan di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu menyebut “Seseorang yang menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain; adalah melakukan suatu kesalahan”. – HARAKAHDAILY 24/6/2022

- Advertisement -