Muslimat Perak pergiat kempen penambahan ahli PAS

- Advertisement -

IPOH: Pengundi baharu merupakan antara kelompok sasaran utama yang perlu diberi perhatian bagi mejayakan kempen penambahan ahli PAS, demikian kata Ketua Muslimat PAS Negeri Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad. 

Serunya, Muslimat PAS khususnya seluruh 24 kawasan di negeri ini hendaklah terus berdaya saing mempergiat usaha mendekati golongan berkenaan dan memberi kesedaran berpolitik agar mereka tidak leka dalam mengambil tahu hal-hal politik negara. 

Menurut Najihah, kempen penambahan ahli PAS bukan sahaja boleh dilangsungkan secara bersemuka melalui program ziarah mahupun kaunter bergerak, malah jaringan platform media sosial juga hendaklah dimanfaatkan sebaiknya. 

“Zaman sekarang ni program kita tidak terbatas kepada ziarah rumah ke rumah ataupun penganjuran himpunan-himpunan besar. Muslimat perlu ‘bergerak’ melalui segenap penjuru yang ada. (Program) ziarah jalan (laksanakan). Program-program atas talian buat juga. 

“Keduanya harus bergerak seiring. Apa yang penting sasaran kita untuk mencapai penambahan ahli baharu dalam PAS khususnya daripada golongan pengundi baharu berjaya dilaksanakan. Saya juga syorkan, agar PAS kawasan menyediakan insentif sebagai tanda penghargaan kepada Cawangan atau ahli yang berjaya mencapai sasaran,” cadangnya.

Dalam pada itu, Dr Najihah turut berpesan agar Muslimat PAS komited mengajak ahli keluarga, sahabat dan jiran tetangga untuk turut sama menyokong usaha kempen penambahan ahli PAS ini.

Setakat 14 Jun ini, sebanyak 3,531 jumlah pertambahan ahli Muslimat PAS Malaysia berjaya direkodkan di mana Terengganu mendahului dengan jumlah penambahan 1,117, diikuti Kedah dengan jumlah 806 dan Perak 374. 

Insya-Allah, dengan usaha yang lebih gigih lagi selepas ini, saya yakin kerja kuat Muslimat PAS akan berjaya menyumbang kepada kejayaan kempen penambahan ahli baharu dalam PAS ini,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 24/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -