Kenapa ibu bapa pilih Kelantan untuk pendidikan anak-anak? (2)

- Advertisement -

KEPUTUSAN SPM 2021 diumumkan minggu lepas sememangnya antara pencapaian yang mengujakan. Tahniah kepada para pelajar yang memperoleh kecemerlangan, termasuk ibu bapa dan para guru mereka.

Bagi pelajar yang gagal, mesti bangun berusaha lagi. Tiada istilah putus asa kerana mencipta masa depan adalah satu kemerdekaan. Usaha dan gerak kerja berterusan amat penting.

Namun, di sebalik semua itu, minggu lepas juga dunia pendidikan negara digegarkan oleh pendedahan mengenai kepincangan tadbir urus dan hala tuju sistem. Ia bukan isu baharu, tetapi telah lama menjadi polemik yang sepertinya tidak berpenyelesaian.

Biarkan di situ dengan harapan ada langkah holistik diambil pihak-pihak bertanggungjawab, tetapi tulisan ini ingin menyambung janji dari Siri 1 tajuk ini. Hasratnya, agar dokumen Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) sedia dan sudi dinilai sebaiknya oleh pakar-pakar pendidikan negara.

Kami di Kelantan penuh percaya, ada natijah baik sekiranya gagasan acuan Islam ini dapat diimplementasikan ke atas pendidikan negara. Berikut secara ringkas dipetik daripada dokumen tersebut:

Konsep

Akar kepada konsepnya adalah pada perkataan ‘Rabbani’ itu sendiri yang berasal dari kata ‘Rabb’ yakni ‘Tuhan’. Di mana ia merujuk – mendidik manusia dengan ilmu, serta menambah baik diri dan masyarakat bersama segala urusan mereka hingga terbangun menuju takwa kepada Allah.

Matlamat

1. Mewujudkan acuan ilmu berdasarkan wahyu sebagai teras pengetahuan.
2. Penyemaian dan pembinaan elemen ketuhanan dalam proses pendidikan.
3. Pembangunan kurikulum yang bersifat holistik dan futuristik.
4. Latihan berterusan dan peningkatan profesionalisme pendidik.
5. Perkongsian pintar secara sistematik antara institusi pendidikan.
6. Mewujudkan persekitaran pembelajaran kondusif secara teori dan amali.
7. Penerapan kemahiran kritis, kreatif dan inovatif dalam pembelajaran.

9 Prinsip

1. Ilmu bermatlamatkan Allah.

     Ilmu dituntut adalah berteras dan terarah kepada Allah S.W.T di mana pelajar sebagai hamba-Nya mengakui bahawa Allah adalah pemilik ilmu itu dan Dia-lah yang mengurniakannya. Juga mengakui sumber asal ilmu adalah bertunjangkan al-Quran dan as-Sunnah. Penuntut juga perlu ikhlas mencari ilmu semata-mata kerana Allah dengan menetapkan matlamatnya untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. 

     Kefahaman ini akan diterapkan menjadi amalan tarbiyah berterusan ke atas pelajar di mana segala disiplin ilmu dihubungkan dengan Allah, serta membudayakan rujukan kepada sumber asal. Kisah Nabi Musa A.S dan Nabi Khidir A.S; kisah burung gagak ketika tragedi Qabil-Habil; pengorbanan guru pondok Kelantan serta peristiwa Israk dan Mikraj menjadi model prinsip ini. 

2. Keutamaan ilmu dan kefaqihan.

     Iaitu pendidikan menjurus ke arah melahirkan individu yang memahami tingkat ilmu dan mencapai tahap kepakaran dalam bidangnya bermula dari penguasaan terhadap ilmu fardu ain dengan sempurna. 

     Ini diikuti memperolehi ilmu menurut tertib keutamaan dan susunan yang betul mengikut turutan atau leluhurnya. Ia menuju kepada proses membangun individu hingga menguasai dan mahir secara mendalam. Pengintegrasian aqli dan naqli serta duniawi dan ukhrawi akan melahirkan peribadi cerdas mental menurut perspektif Islam selari budi pekerti, jiwa dan akhlaknya.

     Individu faqih memiliki kefahaman kukuh dalam satu-satu disiplin ilmu diceburi dan sesuai tuntutan semasa. Ia mampu berinteraksi dengan permasalahan semasa dan menawarkan penyelesaian. Juga kesinambungan penggantian individu pakar. 

     Model Penghayatan Solat al-Ghazali; kaedah ulamak silam berguru; mempelajari Fiqh Imam as-Syafie; model Ismail Faruqi di Universiti Islam serta Maahad Integrasi Tahfiz dan Teknologi JAIS disarankan sebagai rujukan prinsip ini. 

3. Kemenjadikan insan mulia.

    Individu dididik ke arah pembentukan peribadi beradab dan berakhlak mulia di mana memiliki minat atau kecintaan untuk menguasai pelbagai bidang ilmu ke peringkat tertinggi. Juga istiqamah melazimi suruhan agama hingga berpenampilan seperti dinyatakan. Berdakwah iaitu dia turut bermasyarakat dengan memiliki kemampuan kemahiran komunikasi berkesan dalam pergaulannya di lapangan kehidupan, selain mempunyai keprihatinan memulihara alam sekitar.

     Rujukan prinsip ini antaranya dari zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rashid; model pendidikan al-Ghazali; karakter Sultan Muhammad al-Fatih; mencontohi budaya bersosial dan berkoloni semut dan lebah; serta kurikulum pendidikan di Jepun.

Bersambung……….

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 24/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -