ECRL: Pencapaian bersejarah negara – PM

- Advertisement -

PROJEK ECRL merupakan satu pencapaian bersejarah negara, bakal beroperasi pada bulan Januari 2027 melibatkan jarak jajaran 665 kilometer merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. 

Dari segi tambang, saya meminta Kementerian Pengangkutan berbincang dengan pihak berkepentingan bagi merangka kadar tambang yang amat berpatutan serta mesra rakyat. 

Pengorekan Terowong Berkembar Genting ECRL yang saya rasmikan semalam dijangka selesai dalam tempoh 2 1/2 tahun hingga 3 tahun, menjadikannya terowong rel terpanjang di rantau ini. 

Lebih unik, pengorekan terowong ini menggunakan kaedah Mesin Pengorek Terowong (TBM), yang terbesar di Asia Tenggara dan merupakan satu-satunya daripada penggerudian 59 terowong yang menggunakan kaedah TBM, berbanding kaedah gerudi dan letup bagi terowong-terowong sebelum ini.

Projek ECRL ini akan mempunyai 20 buah stesen menghubungkan bandar raya, bandar-bandar, taman-taman perindustrian dengan rel berkelajuan 160 kilometer sejam yang turut dihubungkan dengan LRT Kelana Jaya Line di ITT Gombak, sekali gus mengurangkan masa perjalanan ke Kelantan kepada 4 jam berbanding 7-12 jam ketika musim perayaan.

Malah, projek ECRL ini berpotensi melahirkan lebih ramai warga tempatan berkemahiran tinggi melalui program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) yang dijangka membuka peluang pekerjaan kepada 5,000 anak muda dari Pantai Timur. 

Demi memelihara persekitaran dan alam sekitar, kira-kira 128 kilometer jajaran ECRL akan melibatkan penyediaan jambatan atau jajaran bertingkat bagi mengelak gangguan kepada hidupan liar serta risiko banjir di musim tengkujuh.

DATO’ SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
Perdana Menteri – HARAKAHDAILY 24/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -