TDM Berhad sasar perkembangan masa hadapan positif

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi TDM, Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata, melangkah ke tahun kedua Pelan Perniagaan Strategik lima tahun syarikat, Kumpulan TDM lebih giat memanfaatkan trend makro yang menggalakkan dalam kedua-dua industri perladangan dan penjagaan kesihatan.

Setakat ini, katanya pihak TDM telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan dalam rancangan pengembangan strategik syarikat dan usaha untuk mencipta nilai daripada aset sedia ada.

Menurutnya, kumpulan TDM telah mendapat manfaat daripada kenaikan mendadak harga purata jualan minyak sawit mentah (CPO) yang meningkat daripada RM2,822 satu tan metrik pada 2020 kepada RM4,447 pada 2021.

- Advertisement -

Pada suku pertama 2022, harga purata jualan CPO melonjak lebih tinggi kepada RM5,904 satu tan metrik.

“TDM juga bekerjasama rapat dengan pihak-pihak terlibat dalam memuktamadkan cadangan pelupusan dua anak syarikat di Indonesia yang mengalami kerugian sejak tahun pertama pengeluaran dan pengambilalihan.

“Ini adalah satu langkah positif kerana pelupusan tersebut akan menjana tunai RM115 juta, mengurangkan pinjaman dan menambah baik keperluan modal,” ujarnya pada Mesyuarat Agung Tahunan TDM Berhad ke-57 di sini.

Katanya, daripada mengekalkan operasi yang merugikan, TDM akan menggunakan sumber syarikat untuk memperkukuhkan perniagaan di Malaysia yang menjana pulangan positif.

Tam ahnya, ekoran ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, isu keselamatan makanan telah menjadi kebimbangan di peringkat global dan di Malaysia.

Jelasnya, dalam menyumbang kepada kecukupan makanan di Malaysia dan mempelbagaikan aliran pendapatan syarikat, TDM akan memanfaatkan kawasan yang tiada penanaman kelapa sawit untuk mengusahakan tanaman kontan.

Beliau berkata, bermula dengan penanaman cili yang kini sedang dijalankan di kawasan seluas lima ekar, usaha ini disasarkan untuk berkembang kepada 200 ekar menjelang tahun 2025.

Katanya, bagi meningkatkan hasil tanaman dan mengurangkan kos operasi, Kumpulan TDM mengguna pakai teknik pertanian pintar Internet of things untuk memantau kawasan tanaman dengan bantuan penderia dan mengautomasi sistem pengairan.

“Bagi segmen penjagaan kesihatan syarikat, pandemik global dan populasi yang semakin menua di Malaysia telah meningkatkan keperluan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini,” ujarnya.

Oleh itu, kata beliau pihak syarikat merancang untuk memperluaskan liputan perkhidmatan melalui pengembangan brownfield dan greenfield.

Tambahnya lagi, syarikat baru-baru ini telah selesai mengambil alih Tawau Specialist yang kini dikenali sebagai KMI Tawau Medical Centre berikutan pelan pasca pengambilalihan kumpulan, di bawah strategi sedemikian.

“Bagi pelaksanaan pengembangan greenfield, Kumpulan TDM menggerakkan usaha ke arah menyediakan rangkaian hospital pakar pelbagai disiplin untuk memberi perkhidmatan kepada lebih banyak komuniti di Pantai Timur Malaysia,” ujarnya.

Tambahnya, usaha semasa syarikat melibatkan pembinaan hospital pakar pertama dengan kapasiti 100 katil di atas tanah seluas 5.4 ekar di Kemaman yang dijangka bermula tahun hadapan, dan sebuah lagi hospital swasta dengan kapasiti 94 katil di atas 9.56 ekar tanah di Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu.

Menurutnya lagi, penubuhan Pusat Jagaan Ambulatori di lokasi strategik di sepanjang Pantai Timur Malaysia kini sedang berjalan dan bergerak seperti yang dirancang.

“Selain usaha pengembangan ini, pihak syarikat juga meneroka potensi kerjasama bersama hospital-hospital terkemuka lain untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan baharu,” tambahnya.

Beliau menjelaskan, pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK2021), pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi bahagian perladangan melonjak 96.5 peratus kepada RM176.5 juta manakala segmen penjagaan kesihatan melaporkan 80.2 peratus peningkatan EBITDA kepada RM23.6 juta.

Semasa mesyuarat, ujarnya pemegang saham TDM telah meluluskan dividen akhir satu peringkat untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 sebanyak 0.35 peratus daripada 1,722,881,001 saham biasa.

Katanya, pertumbuhan dan kecekapan operasi syarikat telah mendorong kepada pembayaran dividen sebanyak RM6 juta.

Beliau menambah, para pemegang saham turut memberikan sokongan untuk pembayaran dividen akhir satu peringkat sebanyak 0.35 sen sesaham biasa.

Ini, ujarnya menyumbang kepada jumlah dividen sebanyak 0.64 sen sesaham biasa bagi TK2021, rekod tertinggi sejak tahun 2016.

“Bagi TK2022, TDM yakin untuk terus kekal membina momentum positif daripada keputusan operasi TK2021 yang kukuh.

“Dengan sokongan enjin pertumbuhan berkembar perladangan dan penjagaan kesihatan, pihak syarikat bersiap sedia untuk mencipta nilai yang lebih baik bagi para pemegang saham melalui sasaran masa hadapan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 23/6/2022

- Advertisement -