Rakyat dapat nikmati internet berkelajuan tinggi

Agong bangga MEASAT-3d beri khidmat jalur lebar satelit

- Advertisement -

ADALAH dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia serta pengendali satelit utama negara, Measat Global Berhad (MEASAT), atas kejayaan pelancaran Satelit MEASAT-3d pada awal pagi hari ini.

Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa sukacita dengan kejayaan ini kerana ianya amat bermakna khususnya buat rakyat Malaysia apabila rakyat dapat menikmati internet berkelajuan tinggi tidak kira di kawasan bandar dan pinggir bandar atau pedalaman di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak menerusi perkhidmatan jalur lebar satelit.

Seri Paduka Baginda bertitah ianya juga selaras dengan inisiatif Kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam usaha merapatkan jurang ketersambungan digital dan mewujudkan masyarakat inklusif digital tanpa meminggirkan mana-mana kelompok rakyat di negara ini.

Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar dengan akses internet yang stabil dan pantas, rakyat Malaysia akan memperoleh pelbagai manfaat sosioekonomi seperti penyertaan dalam aktiviti e-Dagang dan pembelajaran digital.

Seri Paduka Baginda, selaku Ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan, turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atas pelancaran Pelan Strategik MAIWP 2021-2025 dan Manfaat Kewangan Asnaf yang juga telah berlangsung pada pagi hari ini.

Seri Paduka Baginda telah dijadualkan berangkat untuk menyempurnakan majlis pelancaran tersebut tetapi keadaan kesihatan Baginda tidak mengizinkan berikutan kegeringan Baginda yang menjalani rawatan dan pemantauan pakar perubatan di sebuah hospital di sini sejak Isnin lalu (20 Jun 2022).

Walaupun sedang menjalani rawatan, Seri Paduka Baginda telah berkenan meluangkan masa menzahirkan Titah Diraja menerusi rakaman video di kamar istirahat Baginda di hospital tersebut kelmarin untuk ditayangkan di majlis pelancaran hari ini.

Seri Paduka Baginda dalam rakaman titahnya, selain ucapan tahniah, menzahirkan harapan agar inisiatif-inisiatif yang telah dirangka berjaya mencapai sasaran dan hasrat penubuhannya dalam menyemarakkan sinar Islam dan membantu mereka yang memerlukan.

Adalah dimaklumkan juga bahawa Seri Paduka Baginda telah menjalani prosedur intervensi sendi buku lali dan lutut Baginda dengan jayanya pada Isnin lalu (20 Jun 2022) dan kini berada dalam keadaan stabil serta tidak membimbangkan.

Ekoran daripada prosedur intervensi tersebut, Seri Paduka Baginda telah selanjutnya dinasihatkan untuk menjalani pemantauan dan pengawasan rapi pakar perubatan. Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara pada hujung minggu ini setelah selesai menjalani rawatan pemantauan dan pengawasan rapi tersebut Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang telah mendoakan kesejahteraan Baginda.

DATO’ INDERA AHMAD FADIL SHAMSUDDIN
Datuk Pengelola Bijaya Diraja
Istana Negara – HARAKAHDAILY 23/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -