Pelajar SRITI juara tilawah Ihtifal KAFA Perlis

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Pelajar Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), Sri Al Furqan (SRIAF) Mohd Suhail Ahmad, 11, muncul juara kategori tilawah Ihtifal KAFA Peringkat Negeri yang diadakan semalam.

Suhail merupakan anak bongsu ahli Majlis Syura PAS Tuan Guru Ahmad Ali mewakili SRIAF bersama enam lagi rakan menyertai pertandingan tersebut dalam empat kategori.

Penolong Kanan Pentadbiran SRIAF, Mohd Suhairi Ghazali berkata, pihaknya merakam ucapan terima kasih kepada guru pembimbing, waris dan pelajar yang memberi komitmen terbaik untuk menyertai pertandingan itu.

Advertisement

“Alhamdulillah, kita mendapat kerjasama yang baik daripada guru, peserta dan keluarga yang sentiasa berusaha mengadakan latihan.

“Kami menaruh harapan tinggi supaya Suhail dapat membawa pulang pingat pada peringkat kebangsaan nanti.

“Sebelum ini pertandingan diadakan secara atas talian dan tahun ini akan diadakan secara bersemuka,” katanya di sini.

Suhairi juga berkata, pihaknya tidak mahu memberi tekanan kepada Suhail, namun apa yang penting beliau mendapat pengalaman berharga daripada pertandingan tersebut.

Tempat ketiga kategori tilawah turut dimenangi pelajar SRIAF, Rhian Iris Marwaa Shardi Elvisly, manakala kategori bercerita, Mohamad Amir Faizuddin Mohd Sofian mendapat naib johan.

Maryam Mahfuzah Mohd Sanirwan memenangi tempat ketiga dan Abdullah Wajdi Mohd Fadzli memenangi tempat kelima kategori hafazan.

Manakala pertandingan khat pula, SRIAF mendapat tempat kelima yang diwakili Abdullah Fahmi Azman. – HARAKAHDAILY 23/6/2022