Najib punyai kuasa buat keputusan 1MDB – Ahmad Husni

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kuasa membuat keputusan dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukan beliau.

Ahmad Husni, 70, berkata ini dapat dilihat apabila bekas Perdana Menteri itu masih meneruskan projek usahasama 1MDB dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) walaupun saksi ke-20 pendakwaan itu telah melahirkan kebimbangannya berhubung projek itu.

“Pada 2009, saya beritahu Najib bahawa 1MDB tidak boleh ditubuhkan tanpa kajian kebolehlaksanaan, yang Najib mengatakan bahawa beliau akan meneruskan (penubuhan syarikat pelaburan itu) dan memintanya agar tidak masuk campur. 

“Berhubung projek usaha sama dengan PSI, saya beritahu beliau yang pertama, masih belum ada telaga minyak lagi. Jika tiada minyak, bermakna kita akan hilang pelaburan… 1MDB tidak mempunyai rekod prestasi dalam petroleum. Saya juga beritahu beliau bahawa 1MDB tidak ada pengalaman dalam bidang cari gali minyak dan sepatutnya diserahkan kepada Petronas.

“Tetapi beliau beritahu saya agar tidak campur tangan lagi. Itu menunjukkan beliau mempunyai kuasa kerana tiada perbincangan,” katanya ketika sesi pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan Najib berhubung penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Sebelum ini, saksi itu memberi keterangan bahawa beliau bertemu dengan Najib di pejabatnya untuk memberitahu bahawa 1MDB tidak boleh ditubuhkan tanpa kajian kebolehlaksanaan, kerana tujuan kajian kebolehlaksanaan itu adalah untuk membuat penilaian praktikal terhadap cadangan projek serta risiko dari segi perniagaan dan kewangan.

Sri Ram: Dicadangkan kepada anda bahawa bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh telah menyifatkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi sebagai seorang penjenayah. Adakah anda mengetahui Shahrol mendapat arahan daripada siapa? Saksi menjawab: “daripada Najib Tun Razak”.

Sri Ram: Najib Tun Razak, maksud anda tertuduh? Ahmad Husni menjawab: “Ya”.

Saksi itu menambah beliau tidak mengetahui sama ada Shahrol Azral pernah menerima imbuhan lain sebagai pekerja selain daripada gajinya.

Sri Ram: Semalam, semasa pemeriksaan balas, anda ditanya mengenai PETRONAS, anda diberitahu bahawa PM mempunyai monopoli terhadap perniagaan itu (PETRONAS). Apakah perniagaan utama Petronas?

Ahmad Husni: Ia berkaitan dengan petroleum bukan sahaja di seluruh negara tetapi juga pelaburan antarabangsa dalam sektor itu.

Sri Ram: Dalam kes 1MDB, adakah ia ada kaitan dengan sumber asli?

Ahmad Husni: ‘Tidak’.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. – BERNAMA

- Advertisement -
- Advertisement -